Purple Flowers

Tuesday 25 March 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 12}




Keesokan harinya…

“Bang… nah kopi,” pelawa Puan Aziah pada suaminya.

“Letak je dekat situ. Adoi!!! Lenguh pula kaki ni. Semalam bukan jauh mana pun kita jalan. Pagi ni pulak terasa lenguhnya,” rungut En Rahman yang sedang memicit-micit kakinya.

“Itu le abang! Kurang sangat bersenam. Selalu ke mana-mana naik kereta. Baru jalan sikit dah sakit. Badan tu makin naik, tu yang kaki tak boleh tampung tu,” bebel Puan Aziah pula. “Meh sini. Lunjur kaki tu biar saya urut.”

“Hmmm… terima kasih. Sayang jugak awak pada saya ya?” usik En Rahman pada isterinya. Puan Aziah hanya menjeling.

“Assalamualaikum!” terdengar suara orang memberi salam dari luar.

“Siapa tu Ziah? Awak pergi tengok. Entah-entah budak berdua tu dah balik.”

Puan Aziah terus bangun dan menjenguk melalui tingkap. Matanya memandang tajam ke arah dua susuk tubuh yang sedang membuka pintu pagar rumah mereka.

“Siapa Ziah?” tanya En Rahman lagi. Dia sedikit hairan bila lihat isterinya kaku memandang ke luar tingkap.

Belum sempat soalan En Rahman dijawab, tetamu yang datang sudah pun berdiri di muka pintu. Terbeliak mata En Rahman memandang susuk tubuh anak sulungnya di situ.

“Huh! Ingatkan dah lupa jalan balik ke sini! Buat apa balik? Kami belum mati lagi ni!” En Rahman bangun dari sofa yang didudukinya dan terus menghilang ke dalam bilik, tanpa menoleh sedikit pun pada anaknya itu.

Tergamam Adi Razman dengan tindakan bapanya. Terkaku Adi Razman di muka pintu. Puan Aziah yang masih berdiri di tempat tadi, hanya mendiamkan diri.

“Mak! Mak apa khabar?” sapa Adi Razman perlahan. Teragak-agak kakinya melangkah masuk ke rumah.

Tiada balasan dari Puan Aziah.

Adi Razman jadi serba salah. Tubuh ibunya dihampiri. Tangan Puan Aziah dicapai dan diciumnya lama. Sungguh dia amat rindukan ibunya. Mata Puan Aziah mula berkaca. Dia hanya memandang sayu ke wajah anak sulungnya yang amat dirindui. Namun, satu patah bicara pun tidak terkeluar dari mulutnya. Puan Aziah merenung wanita yang berdiri di sisi Adi Razman. Bagaikan memahami apa yang direnung ibunya, Adi Razman segera memperkenalkan wanita itu pada ibunya.

“Oh ya! Mak.. ini Darina, isteri Adi.” Adi Razman memberi isyarat pada Darina untuk segera menyalami tangan ibunya. Namun, wanita yang berwajah sombong itu hanya endah tak endah sahaja. Bila Adi Razman menolak sedikit tubuh isterinya ke depan, baru dia menghulurkan tangannya dengan wajah masam mencuka. Huluran tangan Darina dibiarkan tanpa disambut Puan Aziah.

“Duduklah,” Puan Aziah berpaling dan terus menghilangkan diri ke dapur.

“Itu le awak! Saya dah cakap saya tak nak ikut, awak paksa-paksa saya!” dalam nada berbisik, Darina menghamburkan marahnya pada Adi Razman.

“Awak ni kenapa? Bila lagi awak nak kenal dengan keluarga saya, kalau setiap kali ajak balik asyik tak nak je? Salam tangan mak saya pun awak tak nak? Susah sangat ker nak bagi hormat pada mak abah saya?” geram Adi Razman dengan perangai isterinya.

“Awak jangan banyak bising ya? Apa yang saya suka atau tak suka, itu hak saya. Jangan awak pandai-pandai nak ajar saya. Awak sendiri pun tak habis belajar, ada hati nak ajar orang!” tungkah Darina tanpa memikirkan di mana dia berada. Adi Razman menghempaskan tubuhnya di sofa. Dia melepaskan keluhan berat. Kepala disandarkan dan mata dipejam. Cuba mencari ketenangan.

Tanpa Adi Razman sedari, pertengkaran dia dengan isterinya didengari adik-adiknya, Adi Rosman dan Adi Roslan. Adik-adik kembarnya kini sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Setiap minggu pasti kedua-dua adiknya pulang, kerana ingin makan masakan ibu mereka. Adik kembarnya memang rapat dan manja dengan Puan Aziah.

“Ehem…” Adi Roslan berdehem.

Adi Razman membuka matanya. Terperanjat dia bila lihat kedua-dua adiknya ada di situ, memandang padanya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

“Abang long bila sampai?” sapa Adi Rosman sebaik sahaja masuk ke rumah. Mereka bersalaman seketika.

“Baru saja,” jawab Adi Razman dengan senyum hambar di bibir. “Korang macamana? Study okey? Berapa lama lagi?”

“Alhamdullillah. Dua semester saja lagi.” Balas Adi Roslan acuh tak acuh. Mata melilau memerhati sekeliling. “Mak dengan abah mana?”

“Mak dapur. Abah dalam bilik,” lemah kedengaran suara Adi Razman. Darina di sisi masih seperti tadi. Masam mencuka dan sedikit pun tidak memberi perhatian pada apa yang berlaku di hadapannya. Sebuk dengan telefon bimbitnya tanpa mempedulikan orang sekeliling.

Adi Rosman dan Adi Roslan menoleh sekilas ke arah wanita disisi abang mereka. Mereka kemudian memandang sesama sendiri. Adi Rosman menjungkitkan bahunya dan Adi Roslan pula mengangkat kening.

“Kami ke dalam dulu abang long, nak jumpa mak,” ujar Adi Roslan sambil terus berlalu menuju ke dapur.

“Mak!” ceria sekali Adi Roslan menyapa ibunya. Tubuh Puan Aziah dirangkul dari belakang dan satu kucupan hinggap di pipi ibunya. “Mak buat apa sini?” Saja dia bertanya, walhal sudah nampak ibunya sedang menyusun karipap ke dalam piring.

“Lan! Man! Mak tak dengar pun kalian balik. Ingatkan tak jadi balik minggu ni?” Puan Aziah membalas pelukan anak-anak kembarnya. Kini Adi Rosman pula mencium pipi Puan Aziah.

“Balik mak, mana boleh tak balik. Duduk sana pun tak boleh buat apa sebab asyik teringatkan mak dengan abah jer,” balas Adi Rosman manja. Dagu diletakkan atas bahu Puan Aziah. Puan Azizah mengusap-ngusap rambut anaknya penuh kasih.

“Hah! Dah jumpa abah belum ni?”

“Kenapa abah dalam bilik, mak? Pengantin baru ada kat depan tu…” Adi Roslan bertanya sambil menyuap karipap ke dalam mulutnya.

“Pergi le jumpa abah dulu. Lepas tu terus ke rumah pak lang. Ziarah dia orang.”

“Ya lah! Memang nak ke sana pun. Lagi pun malam ni dah kena balik Tanjong,” balas Adi Rosman sambil menarik tangan kembarnya.

Di pintu dapur mereka bertembung dengan Adi Razman. Mereka hanya menganggukkan sedikit kepala tanpa bersuara tatkala berselisih dengan Adi Razman.

“Kenapa mak suruh adik-adik pergi ziarah pak lang? Pak lang sakit ker, mak?” tanya Adi Razman hairan. Selalunya dia tahu adik kembarnya tidak berapa suka berjalan ke rumah saudara-mara.

“Bukan sakit. Sekadar ziarah beri hormat. Tajul meninggal dua hari sudah,” balas Puan Aziah tanpa menoleh ke arah anaknya. Tangan ligat membancuh air di dalam teko.

“Meninggal? Kenapa?”

“Hummpphh… tu ler. Simpan jer nombor telefon kamu tu. Tak payah bagi kat kami. Kalau mak atau abah yang meninggal, macamana agaknya nak bagitahu kamu? Nombor lama kamu dah buang. Nampak sangat kamu dah buang kami ni. Maklumlah, dah dapat bini kaya. Kami yang buruk ni dah tak penting dalam hidup kamu…” Puan Aziah melepaskan geram yang sekian lama terbuku di hatinya.

“Tajul meninggal kemalangan. Itu pun sebab dia nak melarikan diri masa cuba nak rogol menantu aku. Kamu tahu tak? Ini semua kamu punya pasal!!” Puan Aziah mencampak sudu ke atas meja dan meninggalkan ruangan dapur terus masuk ke bilik.

Adi Razman terkedu. Terduduk dia di situ. Dia seperti kebingungan. Tiba-tiba gambaran masa silam terlayar di ingatannya. Tajul!

Ya! Dia tahu betapa Tajul begitu gilakan Shahriza. Malahan, bukan hanya Tajul, tapi ramai pemuda-pemuda lain yang turut menaruh hati pada Shahriza. Ramai di antara mereka hanya minat dalam diam. Ini disebabkan mereka takut pada Tajul. Seandainya Tajul tahu mana-mana pemuda yang menaruh hati pada Shahriza, dia pasti akan cari pemuda itu dan dipukul sesuka hatinya. Disebabkan itu, Adi Razman bertindak dalam diam. Sebaik sahaja Shahriza tamat STPM, dia terus minta keluarganya melamar Shahriza. Bila Tajul tahu akan hal ini, Tajul terus bersemuka dengan dia. Mereka bergaduh, mereka bertumbuk. Dek kerana tubuh Adi Razman lebih sasa dan tegap dari Tajul, maka dengan mudah Tajul dikalahkan.

Namun, ianya bukan setakat itu sahaja. Bermacam-macam cara Tajul lakukan untuk menggagalkan Adi Razman dari memiliki Shahriza. Walau macamanapun, Adi Razman bersyukur kerana kalau tidak disebabkan tindakan liar Tajul, pasti dia tidak dapat kahwin dengan Shahriza dalam kadar segera. Atas permintaan Haji Harun sebagai seorang Ketua Kampung, yang tidak mahu melihat anaknya terus-terusan membuat onar, maka pernikahan Adi Razman dan Shahriza dipercepatkan. Setelah itu, Adi Razman membawa Shahriza berpindah ke Melaka kerana dia bekerja di sana. Semenjak dari itu, setiap kali balik kampung, Adi Razman tidak pernah membiarkan Shahriza balik seorang. Selalunya dia pasti ada bersama, demi keselamatan diri isterinya pada tika itu.

Nampaknya, setelah 5 tahun berlalu, keinginan Tajul masih tidak padam. Tak sangka pula ini pengakhirannya. Tapi… bagaimana dengan Shahriza? Macamana keadaan dia sekarang?

Adi Razman menunduk di meja. Dia memegang kepala dengan kedua-dua tangannya. Dia benar-benar rungsing, bingung dan resah memikirkan sikap ego isterinya, layanan keluarga pada dirinya dan tentang Shahriza.

Memikirkan Shahriza, hatinya jadi pedih. Dia kesal dengan dirinya sendiri. Bagaimana dia tergamak melakukan Shahriza sebegitu sedangkan dulu dia sanggup bermati-matian demi untuk memiliki Shahriza? Shahriza isteri yang baik. Dan disebabkan kemewahan, dia sanggup buang Shahriza.

“Awak buat apa sini?” sergahan Darina menyedarkan Adi Razman dari lamunannya. Namun, dia masih membatukan diri.

“Awak pekak ker? Awak berangan apa dekat sini? Tinggal saya sorang-sorang macam tunggul dekat luar tu.. dah lah panas!!!” herdik Darina tanpa memikirkan di mana dia berada.

Adi Roslan dan Adi Rosman yang baru keluar dari bilik ibu bapa mereka, terpaku melihat keadaan abang mereka yang ditengking isteri. Pintu bilik yang terbuka membolehkan En Rahman dan Puan Aziah dengar semua.

“Hey Adi!!! Rimas lah saya macam ni! Kalau awak nak duduk sini, duduklah! Saya nak balik. Tapi ingat, lepas ni jangan cari saya lagi. Ada awak pun menyusahkan saja. Huh!” Darina berpaling dan meluru keluar dari rumah itu. Tanpa berlengah dia terus masuk ke dalam kereta.

Adi Razman tersentak tatkala terdengar bunyi pintu kereta ditutup kuat. Bagaikan orang yang sedang mamai, dia bangun dan terus menuju ke pintu. Pada masa yang sama, kereta Mercedes Benz CLS350 milik Darina dipandu laju meninggalkan Adi Razman termangu-mangu di muka pintu. Terasa lututnya lembik, tanpa sedar, Adi Razman terjelepuk di situ. Adi Roslan dan Adi Rosman segera mendapatkan abang mereka. Adi Razman dipapah dan dibawa masuk. Tubuh Adi Razman kelihatan begitu lemah. Sebaik sahaja Adi Razman didudukkan di sofa, dia menghamburkan tangisan. Kedua-dua adiknya tercengang. Adi Rosman berpaling memandang ke arah kedua ibubapanya yang berdiri kaku di pintu bilik. Sungguh mereka tak sangka begitu sekali Adi Razman diperlakukan.

“Bawak abang long kamu masuk bilik,” arah En Rahman pada kedua kembarnya. “Inilah akibatnya menganiaya orang. Apatah lagi isteri sendiri. Isteri yang telah diamanahkan. Sekarang Allah bayar tunai. Nak sangat hidup senang, dibutakan dengan kemewahan, inilah padahnya. Tak lama pun, dua tiga bulan dah dapat balasan. Dia ingat harta kemewahan tu boleh dibawa masuk kubur? Dia lupa, hanya isteri dan anak yang soleh serta amalan dia saja yang boleh dibawa masuk kubur tu. Tuhan bagi akal tak tahu nak guna. Huh! Tanggung ler sendiri,” panjang lebar En Rahman berceramah. Adi Razman yang masih teresak-esak hanya menundukkan kepalanya. Tak berani dia hendak memandang wajah bapanya.

“Abang long… jom!” Adi Roslan dan Adi Rosman mengiringi Adi Razman hingga ke bilik.