Purple Flowers

Thursday 20 February 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 11}



Sebelah petangnya…

Sedang ralit Sharizana melayan kerenah anak buahnya, kelihatan dua buah kereta memasuki perkarangan rumah mereka. Shahrizana segera ke pintu.

“Ibu! Ayah! Kak Zie dah sampai!” laungnya seraya memakai selipar bagi menyambut kehadiran teman baik Shahriza.

“Kak Zie…” tubuh Norzie dipeluk sebaik sahaja wanita itu turun dari kereta.

“Zana… apa khabar? Macamana dengan Iza?”

“Akak ada dalam bilik. Masih tak nak makan,” Shahrizana memandang sayu wajah Norzie.

“Tak apa. Kak Zie ada bawak doktor. Dia ni Psychiatrist. Jiran kak Zie dulu sebelum dia pindah KL. Mari kak Zie kenalkan,” Norzie menarik tangan Sharizana ke kereta lagi satu.

Seorang wanita anggun yang sedang membuka pintu belakang keretanya, menoleh dengan senyuman menawan terpamer di wajahnya.

“Zana, ini Doktor Lubnah. Lub, ini Zana, adik kawan baik aku,” Shahrizana diperkenalkan dengan wanita anggun tadi. Mereka bersalaman.

“Doktor… jom masuk. Tu ayah dengan ibu. Kak Zie, come!”

Sesi perkenalan berlaku seketika. Kemudiannya, Norzie dan Doktor Lubnah dibawa masuk terus ke bilik Shahriza.

Setelah selesai pemeriksaan dilakukan, Doktor Lubnah keluar dari bilik dan diikuti Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina.

“Macamana doktor?” tanya Hajjah Raja Zarina.

“Pakcik, makcik jangan risau ya? Shahriza tu tak apa-apa. Mungkin trauma sikit. Mungkin juga dia kurang tidur, membuatkan fikiran dia asyik teringatkan kejadian yang berlaku. Saya dah bagi injection dan dia akan tidur untuk seketika. Nanti bila dia sedar, Insyaallah dia akan kembali seperti biasa,” penerangan Doktor Lubnah memberi sedikit kelegaan pada kedua-dua mereka.

“Syukur Alhamdullillah. Terima kasih doktor, ” lafaz syukur diluahkan Haji Shahri.

“Mari doktor, minum dulu, Zana dah siapkan ni. Zie! Mari minum!” panggil Hajjah Raja Zarina pada Norzie yang masih di dalam bilik. Norzie yang dengar namanya dipanggil, segera mampir dan duduk sekali bersama mereka di ruang tamu.

“Doktor selalu buat house call macam ni?” tanya Haji Shahri sekadar untuk berbual.

“Tak pakcik. Saya selalu dekat klinik. Tapi kadang-kadang di hospital. Datang sini pun sebab Norzie ni. Beria-ia dia minta tolong. Demi kawan, saya sekadar membantu mana yang mampu,” ujar Doktor Lubnah sopan.

Mereka berbual seketika, sehingga Doktor Lubnah mohon diri untuk pulang.

“Terima kasih sekali lagi doktor, sebab sudi luangkan masa datang ke mari. Kami sekeluarga benar-benar menghargainya,” ucap Haji Shahri tatkala Doktor Lubnah membuka pintu keretanya.

“Bang! Tu… Tok Ketua dengan abang Man…” bisik Hajjah Raja Zarina pada suaminya sambil menunding ke arah laluan masuk ke perkarangan rumah mereka. Kelihatan Haji Harun dan isteri, bersama-sama bekas besan mereka datang berkunjung.

Haji Shahri segera mendapatkan tetamu yang sedang melangkah menghampirinya. Tangan dihulur menyalami tetamu lelaki. Manakala yang perempuan terus mendapatkan Hajjah Raja Zarina. Dalam pada masa yang sama, Hajjah Raja Zarina melambai pada Doktor Lubnah yang sudahpun mengundurkan keretanya dan memandu meninggalkan kawasan rumah mereka.

“Siapa tu?” tanya Mak Tipah yang juga memerhati kereta Doktor Lubnah.

“Itu doktor. Datang tengok Iza,” jawab Hajjah Raja Zarina dengan wajah ceria. “Mari naik kak Tipah… kak Ziah,” pelawanya.

“Iza macamana Rina? Teruk ke dia?” tanya Puan Aziah kerisauan.

“Entahlah kak Ziah. Tadi pun doktor tu dah cucuk bagi dia tidur. Marilah naik atas,” pelawa Hajjah Raja Zarina pada tetamu-tetamunya.

Mak Tipah dan Puan Aziah ikut Hajjah Raja Zarina naik ke atas rumah, manakala suami masing-masing terus ke ruang tamu di bawah. Sedia menanti di pintu, Shahrizal yang sedang mendukung Adi Shafeer.

“Laaaa…. Kesiannya anak mak,” Puan Aziah tanpa menunggu lagi terus saja menerpa Shahriza yang sedang tidur. Diciumnya wajah bekas menantunya dengan penuh kasih.

“Rina, akak minta maaf sangat-sangat dengan apa yang Tajul lakukan. Akak benar-benar malu,” Mak Tipah terus memeluk tubuh Hajjah Raja Zarina. Shahrizana dan Norzie yang sedari tadi duduk dalam bilik Shahriza, hanya memerhati dengan sayu.

“Kak Tipah, kami sekeluarga dah lama maafkan Tajul. Akak jangan risau. Akak sabar ya?” Hajjah Raja Zarina mengeratkan pelukan dengan tujuan untuk memujuk. Tetapi yang memeranjatkan semua di situ, bila Mak Tipah menghamburkan tangisannya dalam pelukan Hajjah Raja Zarina itu.

“Aku malu Rina! Aku malu!” ngongoinya dalam tangisan.

“Ishh… udah le kak lang! Nanti naik pulak abang lang, mau membebel dia tak berhenti,” Puan Aziah mencelah demi untuk mententeramkan Mak Tipah.

“Ucu! Nak cucu!” Adi Shafeer tiba-tiba muncul di muka pintu. Semua di situ terperanjat. Berhenti terus tangisan Mak Tipah. Namun sedu sedan beliau masih kedengaran.

“Hah? Nak cucu? Afeer kena kawin dulu ler, baru boleh kita arrange untuk dapatkan cucu!” sahut Shahrizana dengan selambanya.

“Ish! Apa kamu merepek ni Zana?” Hajjah Raja Zarina menampar bahu Shahrizana dengan mata yang sengaja dibeliakkan.

“Ha! Dah dia minta cucu… macamana Zana nak bagi? Zana pun belum kawin lagi.”

“Kamu ni kalau tak nyakat memang tak sah! Dah tahu dia tu pelat. Udah, bangun dari situ. Pergi buat susu cepat,” tungkah Hajjah Raja Zarina pada anak gadisnya.

Mengekek-ngekek Shahrizana. Namun, arahan ibunya dituruti. Dia segera keluar bilik dan terus ke dapur. Di tangga, dia bertembung dengan Shahrizal yang sedang duduk di anak tangga. Mungkin yobnya yang hantar Adi Shafeer ke atas tadi, sebab Shahrizana tahu anak buahnya itu tidak dibenarkan meniti tangga sendirian.

“Afeer! Nah susu…”

Terbeliak mata Adi Shafeer memandang ke arah botol susu yang dipegang Shahrizana.

“Nak ini.. kena ikut ucu cakap dulu,” agah Shahrizana sambil mengoncang-goncang botol susu di hadapan muka Adi Shafeer. “Sebut suuu….”

“Suuuu…” ajuk Adi Shafeer.

“Su!”

“Su!”

“susu!”

“cucu!”

“Haip! Suka tau macam tu! Ucu tak nak bagi susu ni kang baru tau!” geram Shahrizana dengan anak saudaranya ini. Mak Tipah, Puan Aziah dan Norzie gelihati dengan gelagat kedua-dua mereka. Hajjah Raja Zarina yang sudah biasa dengan keadaan seperti ini, tersenyum nipis.

“Ish Zana ni. Selagi budak tu tak nangis, selagi tu asyik nak sakat je. Cepat! Bagi je susu tu. Dah ngantuk dah si Shafeer ni. Mata pun dah kuyu,” ujar Hajjah Raja Zarina.

“Meh sini, ucu bawa pergi tidur. Nah botol,” Shahrizana mendukung Adi Shafeer dan melangkah keluar bilik. Namun langkahnya terhenti bila dengar anak saudaranya itu merengek-rengek. Shahrizana lihat Adi Shafeer menunjuk-nunjuk ke arah Shahriza yang sedang tidur.

“Zana, bawak Shafeer sini. Dia nak tidur dekat mamanya tu,” Hajjah Raja Zarina bersuara.

Tanpa membuang masa, Shahrizana membaringkan Adi Shafeer di sebelah Shahriza. Kelihatan anak kecil itu baring mengereng rapat di sebelah mamanya dengan meletakkan tangannya ke atas perut Shahriza, umpama dia sedang memeluk mamanya. Mata terpejam, susu dihisap, akhirnya Adi Shafeer tidur dengan aman.

“Baru satu hari mamanya tak layan dia, dah macam tu jadinya,” Hajjah Raja Zarina menyeka airmata yang sedari tadi menakungi tubir matanya. Mereka yang memerhati juga turut sebak.

“Nanti macamana kalau mamanya tak ada di sisi?” sambungnya lagi.

“Kenapa Rina? Iza nak ke mana?” tanya Puan Aziah hairan.

“Dia nak cari kerja dan dalam masa yang sama nak sambung belajar, kak Ziah,” ujar Hajjah Raja Zarina lemah.

“Tak apa lah. Mula-mula mungkin janggal. Lama-lama nanti biasalah tu. Lagipun sini ada atok, opah dengan ayah yob nya,” balas Mak Tipah.

“Rina, kalau tak jadi keberatan, nanti bila-bila, boleh tak akak ambil Shafeer duduk dengan akak buat sementara,” pinta Puan Aziah dengan memandang sayu ke wajah cucu dan menantunya yang sedang lena tidur.

“Tak ada masalah kak Ziah. Iza pun ada sebut dekat saya tentang hal ini. Lagipun, kak Ziah dengan abang Man pun atok dengan wan Shafeer juga. Iza kalau boleh tak nak pisahkan anaknya dari atok dengan wan dia. Bila-bila akak nak ambil Shafeer nanti, telefon saya dulu. Boleh saya sediakan apa yang patut,” tutur Hajjah Raja Zarina menceriakan Puan Aziah.

“Terima kasih Rina. Akak betul-betul terharu. Akak mulanya risau jugak. Takut Iza marahkan kami,” balas Puan Aziah dalam sebak.

“Kak Ziah… Iza tak pernah salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku padanya. Pada Adi Razman pun dia tak salahkan. Bagi dia ini semua takdir yang telah tertulis untuk dia. Hanya, dia kecewa bila Adi Razman abaikan Adi Shafeer. Tak pernah sekali pun nak jenguk maupun tanya khabar anaknya. Itu yang membuatkan Iza betul-betul terkilan,” Hajjah Raja Zarina benar-benar terharu dengan sikap anak perempuannya ini. Shahriza terlalu baik. Mungkin disebabkan itu dia diuji sebegini.

“Lamanya kat atas. Kita yang dekat bawah nak balik dah ni. Ni... bagi aku pulak nak tengok menantu dengan cucu aku ini,” tiba-tiba En Rahman muncul di pintu bilik. Kehadiran beliau secara mengejut, memeranjatkan mereka yang sedang bersayu pilu di dalam bilik itu.

“Kau ni Man! Tak tahu nak bagi salam ker? Main terjah macam ni. Nasib baik aku tak ada sakit jantung,” marah Mak Tipah pada En Rahman.

“Kak Lang! Aku dah lama kat luar sini. Aku tengok takde siapa pun perasan aku duk tercongok kat pintu ni,” balas En Rahman dengan senyuman di bibir. “Tepi sikit. Aku nak tengok menantu aku,” arah En Rahman.

Puan Aziah dengan Hajjah Raja Zarina segera beranjak ke tepi untuk memberi laluan pada En Rahman. En Rahman menyentuh kepala Shahriza. Dia merenung lama ke wajah bekas menantunya. Bibirnya kelihatan terketar-ketar. Dengan tangan masih di ubun-ubun Shahriza, En Rahman menunduk sedikit.

“Iza anak abah. Cepat sembuh ya sayang. Walaupun Iza bukan lagi isteri Adi, namun Iza akan kekal sebagai anak abah. Bangun anakku. Bangun dan jadi seorang yang kuat dan tabah. Abah tahu Iza mampu melakukannya. Buatlah apa yang Iza nak buat. Tapi tolong jangan lupakan mak dengan abah. Jangan lupakan kami. Kami sayang Iza,” bisikan En Rahman di telinga Shahriza didengari semua yang ada di dalam bilik itu.

Rasa sebak yang bermukim di hati masing-masing akhirnya terpecah juga. Puan Aziah memeluk Hajjah Raja Zarina dan menangis. Mak Tipah mengelap pipinya yang basah dengan lengan baju. Shahrizana dan Norzie hanya tunduk dengan mata berkaca dan seperti tidak sanggup memandang ke arah En Rahman. Kelihatan En Rahman menyapu-nyapu airmatanya yang laju menitis membasahi wajahnya. Tanpa mengangkat kepalanya yang menunduk dari tadi, En Rahman melangkah keluar dengan membawa sendu tangisnya.

Shahrizal yang memerhati sedar tadi, tersandar di dinding.



No comments:

Post a Comment