Purple Flowers

Monday 23 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 10}



Bilik mesyuarat kelihatan sunyi dan sepi. Walaupun ada enam orang di situ, namun ianya seperti bilik kosong. Jarum jatuh pun boleh dengar!

Puan Sri Badariah yang duduk di sebelah kanan Bahirah, tidak berhenti menggosok-gosok lengan Bahirah. Bagaikan cuba menenangkan Bahirah yang kelihatan tidak berapa selesa. Wajah Bahirah dipandang dengan penuh kasih sayang.

Shalin Zara di sebelah kanan Puan Sri Badariah pula, memandang pada umi dan abang-abangnya silih berganti.

Irfan Shah yang bersetentangan dengan Shalin Zara, memerhati gadis yang disebelah uminya dengan penuh tandatanya. Sementara Irwan Shah riak wajah seperti biasa.. tenang.

“Nampaknya semua dah ada di sini. Sebelum saya mulakan, izinkan saya perkenalkan dahulu pada yang belum kenal.” Haji Talib memulakan bicara.

“Kenalkan… ini Bahirah. Bahirah Binti Badri.” Perkenalan ringkas diberi. “Dan Bahirah… di sebelah Bahirah itu adalah Puan Sri Badariah dan yang sedang memandang Bahirah seperti tak pernah nampak orang ini, adalah anak-anak Puan Sri Badariah… Shalin Zara, Irfan Shah dan Irwan Shah.” Sempat pula Haji Talib mengusik anak-anak teman baiknya.

“Siapa Cik Bahirah ni uncle? Kenapa dia perlu ada dalam pembacaan wasiat ini?” tanya Irfan Shah tanpa berselindung.

“Sabar angah… sebentar lagi segala-gala nya akan terungkai.” Jawab Haji Talib.

Semua mata memandang Haji Talib. Haji Talib pula membuka fail dihadapan beliau dan meneliti isi kandungan yang ada di dalam kertas di fail tersebut. Terdengar ucapan Bismillah lancar di bibir Haji Talib. Walaupun perlahan ianya masih boleh didengari.

“Sebelum saya mulakan acara kita, apakata kita bertafakur sebentar dengan menyedekahkan surah Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Shahrom, Datuk Ibrahim juga Pak Osman. Tak lupa juga untuk arwah Badri Bin Burhan, yang telah pergi meninggalkan kita kira-kira 23 tahun dahulu. Al-Fatihah!” Haji Talib lantas memejamkan mata dan menunduk sedikit dan kedengaran surah Al-Fatihah dilafazkan. Serentak diikuti oleh mereka yang berada di bilik mesyuarat itu.

Kelihatan Puan Sri Badariah menyeka airmata yang menitis di pipinya. Terbit rasa rindu dihatinya. Rindu yang telah lama terpendam. Juga rasa syukur yang tidak terhingga kerana apa yang ditunggu sudah tidak lagi menjadi penantian.

“Ehem… baiklah. Semua ok?” Haji Talib bertanya.

“Insyaallah OK uncle. Tapi boleh angah tanya… yang tadi tu… yang uncle sebut Badri Bin Burhan, siapa tu?” 

‘Hmm… cekap jugak telinga Irfan ni…’ getus Haji Talib dihatinya.

“OK… since angah dah bertanya, elok lah Uncle terangkan disini.” Haji Talib menarik nafas dan kemudian dilepaskan dengan perlahan sebelum memulakan bicara.

Mata diarahkan pada Puan Sri Badariah. Memberi isyarat supaya diizinkan melakukan apa yang perlu dilakukan. Puan Sri Badariah memahami maksud pandangan Haji Talib dan menganggukkan kepalanya sedikit sebagai isyarat supaya ianya boleh diteruskan.

“Begini anak-anak semua. Badri Bin Burhan adalah merupakan abang kandung Puan Sri Badariah Binti Burhan! Dan Bahirah Binti Badri pula adalah merupakan anak tunggal arwah Badri!” suatu pengenalan yang memberi sedikit kejutan pada anak-anak Tan Sri Shahrom. Tapi tidak pada Bahirah. Bahirah benar-benar terperanjat. Kerana selama ini sangkanya dia sebatang kara!

“Apa semua ini?” bisik Bahirah.

Terbeliak mata Bahirah memandang tepat ke wajah Haji Talib.

“Apa ni Tuan Haji? Apa semua ini?” Bahirah kini tegak bersandar di kerusinya. Pening di kepala seperti sudah tidak dirasanya lagi.

“Ya Bahirah… Bahirah anak saudara Puan Sri Badariah. Dan mereka di hadapan Bahirah ni merupakan sepupu Bahirah,” penerangan lanjut Haji Talib mengejutkan bukan sahaja Bahirah malahan ketiga-tiga anak muda yang berada di situ.

“Maafkan kami Irah,” Puan Sri Badariah mencelah. “Bukan kami sengaja mengabaikan Irah. Tapi ini semua atas permintaan abah Irah, abang umi. Sebelum arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sudah buatkan kami berjanji. Kami, iaitu walid, umi juga uncle Talib ni telah dipaksa untuk berjanji. Wasiat orang yang dah tak ada, kami tak sanggup nak ingkarinya,” sambung Puan Sri Badariah. Airmata mula menuruni pipi tuanya.

Matanya beralih ke arah ketiga-tiga anaknya silih berganti, “dan selama ini juga umi dan walid sengaja tidak menceritakan apa-apa tentang keluarga umi kerana tidak mahu rahsia terbongkar, umi hanya maklumkan pada kalian bahawa kesemua mereka sudah tidak ada. Maafkan umi,” tutur Puan Sri Badariah dalam sedu sedan.

Shalin Zara segera bangun dan terus memeluk uminya. Irwan Shah dan Irfan Shah  terkesima. Mereka tidak betah melihat umi mereka menangis.

Bahirah tersandar. Terperanjat sebenarnya. Lidah pula menjadi kelu. Airmata yang cuba ditahan di juring matanya, mengalir jua. Bahirah cuba menyeka airmatanya dari terus mengalir. Terasa sebak di dada kian meruntun. Dia benar-benar tidak sangka yang dia masih ada keluarga. Semasa di rumah anak-anak yatim dahulu, dia sudah cuba untuk bertanya tentang latar belakang hidupnya. Namun tiada siapa pun yang sudi membantu. Bermula dari itu Bahirah telah berazam untuk memajukan dirinya. Suatu hari nanti, dia akan cari siapa keluarga dia yang sebenarnya. Dan kini… belum sempat Bahirah memulakan pencarian, dia pula yang telah dipertemukan. Dalam hati… Bahirah memanjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana telah memakbulkan doa nya.

“Bahirah…” perlahan suara Haji Talib memanggil Bahirah. Bahirah mengangkat wajahnya dan memandang Haji Talib tanpa bersuara.

“You never alone, my dear. Selama ini uncle dengan Tan Sri yakni walid Irah yang sering pantau progress dan perjalanan hidup Irah. Salah seorang pengasuh di rumah anak-anak yatim di situ bekerja untuk Tan Sri. Dalam diam dia dikhususkan untuk menjaga Irah. Kami tidak pernah biarkan Irah sendirian. Hanya kami tidak pernah munculkan diri di hadapan Irah. Kami tidak dibenarkan kerna pada tika itu, ia belum waktunya lagi. Itu perjanjian kami dengan abah Irah” Haji Talib terus bersuara.

Bahirah masih membisu. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Padahal dalam kepala punya banyak persoalan yang ingin ditanya. Memang sudah tertanam dihatinya untuk bertanya segala macam soalan seandainya dia ditakdirkan untuk bertemu dengan keluarganya. Tapi kini… semua nya hilang!

Suasana di bilik umpama hanya ada tiga orang sahaja. Irwan Shah, Irfan Shah dan Shalin Zara sekadar mendiamkan diri. Tidak berani untuk mencelah maupun bertanyakan soalan.

“Kami dah pujuk abah Irah agar benarkan umi yang jaga Irah. Masa tu Irah baru empat tahun… terlalu kecil untuk ditinggalkan. Tapi abah Irah tak izinkan,” tersedu-sedu Puan Sri Badariah tatkala menceritakan kisah lalu.

“Apa yang sebenarnya telah berlaku uncle? Puan Sri?” Bahirah mula bertanya.

Tak terbendung lagi rasa ingin tahu yang membuatkan dia terpaksa dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Apakah dia tidak layak untuk disayangi? Apakah dia tidak layak untuk dibelai dan dimanja? Walaupun tanpa ibu kandung, dia rupanya masih mempunyai seorang ibu saudara. Dan dari apa yang dia lihat dan dengar tadi, dia tahu yang ibu saudaranya ini amat menyayangi dirinya.

Puan Sri Badariah meneliti wajah Bahirah dengan perasaan yang berbagai. Secara langsung, memorinya terimbau kembali kepada cerita sedih yang berlaku lebih dua puluh lapan tahun dahulu yang pastinya cerita tersebut mungkin tidak dapat dipadamkan dari sudut memorinya.



No comments:

Post a Comment