Purple Flowers

Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 11}



28 tahun yang lalu…

“Bad.. are you sure this is what you want?” Shahrom bertanyakan pada Badri yang asyik membasuh teksi. Sofia yang sedang duduk santai di pangkin bawah pokok berhampiran dipandang sekilas.

“Then… what else you want me to do Shah?” balas Badri

“Mesti ada cara lain. Tak perlu sampai kena ke Singapura,” Shahrom risau dengan perancangan teman baiknya ini.

Berita pernikahan Badri dengan Sofia sudah sampai ke pengetahuan Tuan Burhan, papa Badri. Semenjak dari itu Tuan Burhan sering menghantar budak-budak suruhannya untuk mengganggu hidup Badri. Kalau dulu Badri bekerja dengan syarikat milik Tuan Burhan, tapi kini tidak lagi. Tuan Burhan dah buang Badri dari syarikatnya. Bagi Tuan Burhan dia tidak memerlukan seorang yang engkar arahan dia untuk menjadi pewaris bagi harta-harta dia. Ini bukan kali pertama Badri engkar arahan Tuan Burhan. Namun begitu bagi Tuan Burhan, yang pertama kali itu tidaklah berapa menyakitkan hatinya sangat.

Tuan Burhan merupakan seorang jutawan batik dan songket di Kelantan. Beliau menghantar Badri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan ke luar negara dengan harapan agar mudah bagi Badri mengurus dan memajukan syarikat milik keluarga mereka itu nanti. Namun semasa di universiti, Badri telah menukar bidang dengan mengambil Jurusan Kejuruteraan, kerana inilah bidang yang amat dia minati. Bila Tuan Badri dapat tahu akan hal ini, Tuan Badri mengugut untuk menghentikan segala bantuan kewangan. Memandangkan telah dua tahun Badri belajar kejuruteraan, maka Tuan Burhan memberi kelonggaran dengan memaksa Badri untuk mengambil Pengurusan Perniagaan juga. Maka untuk tidak merumitkan keadaan, Badri terpaksa akur dengan kehendak papanya dan Badri membuat keputusan untuk mengambil dua subjek agar bantuan kewangan dari papanya tidak tersekat. Disebabkan itu juga Badri terpaksa memanjangkan tempoh beliau untuk berada di universiti tersebut.

Shahrom juga belajar di universiti yang sama, tetapi Shahrom mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan. Setelah tamat pengajian, Shahrom tidak segera kembali ke tanahair. Shahrom terus tinggal di sana menemani Badri, tapi dalam masa yang sama Shahrom membuat kerja sambilan demi untuk mendapatkan pengalaman supaya dapat dibawa kembali nanti.

Bermacam-macam cara yang Tuan Burhan lakukan agar Badri kembali kepada nya dan tinggalkan Sofia. Ada ketikanya, beliau menyuruh budak-budak suruhannya untuk mengganggu Badri dalam apa jua pekerjaan yang Badri lakukan. Kalau Badri bekerja sebagai penjual kereta, pasti kuncu-kuncu Tuan Burhan akan rosakkan kereta yang akan Badri jual. Sehingga Badri dibuang kerja. Bila Badri cuba memohon kerja di mana-mana yang melayakkan dia memohon, pasti Tuan Burhan akan menggunakan pengaruhnya untuk menggagalkan peluang Badri itu. Sehingga ada waktunya, Badri terpaksa mengambil upah memotong rumput. Namun di situ juga dia diganggu bilamana mesin pemotong rumputnya dirosakkan ataupun dicuri.

Badri memang seorang yang sabar. Ini semua kerana Sofia.  Sofia yang tidak pernah berputus asa untuk memberi ketenangan dan kesabaran pada Badri dalam menempuh apa jua rintangan. Kata-kata semangat dari Sofia merupakan kekuatan bagi Badri.

Kini, Badri cuba pula menjadi pemandu teksi.  Sudah puas Shahrom memujuknya agar dibenarkan untuk dia membantu suami isteri malang ini.  Namun Badri kerapkali menolaknya.

“Shah, aku tau apa yang aku buat.  Dekat sini sukar bagi aku untuk membuka langkah. Aku sering diekori… sering dijejaki.  Aku tak mau seandainya tindakan papa akan mengakibatkan Badshah Sdn Bhd terancam.” Badri melepaskan keluhan.

Dia sudah tidak betah untuk menghadapi kerenah papanya.  Nak dilapurkan pada pihak berkuasa, yang nak ditentangnya itu bukan orang lain. Tapi papanya!

“Kau tolong aku ya? Tolong jaga syarikat kita itu. Walaupun kau pun tak dapat nak mengurusnya secara langsung, tapi aku yakin Brahim boleh dipercayai. Kau dengan Talib tolong pantau ya?” sambung Badri.

“Insyaallah Bad. Aku tetap akan jaga syarikat kita itu… walau apa sekali pun!  Kau bukan sekadar teman karib aku, kau juga abang ipar aku. Dan dalam masa yang sama, aku juga akan tengok-tengokkan papa dengan syarikat nya. Aku harap satu hari nanti, papa akan dapat menerima Sofia.”

“Kalau balik Kota Bharu nanti, sampaikan salam sayang aku pada Bada ya Shah? Oh ya… peluk cium aku juga pada Irwan. Aku rindu sangat dengan dia,” sayu sungguh bicara Badri kedengaran di telinga Shahrom.

Shahrom tau betapa Badri begitu rapat dengan satu-satunya adik perempuan dia, Badariah yang juga merupakan isteri Shahrom.  Shahrom dengan Badariah sudah mendirikan rumahtangga selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak comel, Irwan Shah yang berusia dua tahun. Shahrom bersama keluarga menetap dirumah Tuan Burhan. Ini atas permintaan, yang lebih merupakan arahan, dari Tuan Burhan.

Selain dari Badariah, Badri juga ada seorang lagi adik, Basri namanya. Anak bongsu dalam keluarga. Seorang yang agak pendiam dan kurang bercampur dengan masyarakat. Basri telah berkahwin dengan seorang gadis pilihan Tuan Burhan. Gadis tersebut merupakan anak kepada teman rapat Tuan Burhan. Kalau diikutkan gadis inilah yang telah dipilih oleh Tuan Burhan untuk disatukan dengan Badri. Bila Badri menolak, maka Tuan Burhan menyuruh Basri pula untuk mengahwini gadis tersebut.

“Abang… Shah… mari minum dulu,” kedengaran suara lembut Sofia memanggil.

“Ha Shah… jom kita minum sambil sembang-sembang. Kita duduk kat pangkin ni je yer? Berangin sikit,” pelawa Badri.

Shahrom dan Badri jalan beriringan menuju ke tempat Sofia tadi. Sebail mereka melabuhkan punggung di pangkin tersebut, Sofia lantas meminta izin untuk masuk ke rumah. Sofia sebolehnya tidak mahu campur dalam perbincangan antara dua sahabat itu. Sofia tahu begitu berat bagi Shahrom untuk melepaskan Badri ke Singapura. Tapi Sofia akur dengan keputusan suaminya. Dan Sofia juga merasakan inilah jalan yang terbaik.

Dari dalam rumah, Sofia melihat ke luar jendela.  Sofia perhatikan betapa Shahrom begitu beria-ia cuba memujuk suaminya. Satu keluhan dilepaskan dan terus membawa diri masuk ke bilik.

“Bila kau bercadang untuk berangkat Bad?” soal Shahrom

“Insyaallah malam lusa. Aku dah dapat transport khas untuk bawak aku dengan Fia ke Singapura,” jawab Badri

“Kenapa malam?” Shahrom bertanya kehairanan.

“Untuk elak dari kuncu-kuncu papa,” selamba Badri menjawab.

Shahrom memandang Badri dengan pandangan yang sayu.  Berat sungguh hatinya nak melepaskan Badri pergi. Tapi apakan daya. Teman baiknya ini dah buat keputusan. Dan bila sekali keputusan sudah dibuat, jangan harap sesiapa pun yang dapat mengubahkannya. Shahrom sedar, Badri tahu apa yang dia buat.

“Macamana aku nak contact kau nanti Bad?” Shahrom terus bertanya.

“Emm.. jangan! Biar aku yang contact kau. Tapi melalui Talib. Kau taukan bahaya kalau aku contact kau terus,” Badri mengelengkan kepala.

“OK… aku faham,” Shahrom mengangguk perlahan.

“Kau jangan risau ya Shah. Aku akan tetap terus berhubung dengan Talib dan kau.  Takkan aku nak biarkan dua sahabat baik aku uruskan syarikat sendirian. Aku takkan lepas tangan.  Aku tetap akan kerja. Tetap akan cari duit selain untuk famili aku, ianya pasti untuk syarikat kita juga.” Jaminan yang diberi Badri masih kurang menyakinkan Shahrom.

Shahrom menepuk-nepuk bahu Badri tanpa berkata-kata. Sungguh dia kesal kerana gagal untuk membantu satu-satunya sahabat yang dia sayang. Semenjak dari sekolah menengah mereka tidak pernah berpisah.


No comments:

Post a Comment