Purple Flowers

Tuesday 26 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 4}



Esoknya…

Perlahan kereta Myvi ungu gelap milik Shahriza, yang dipandu Shahrizal, masuk ke perkarangan rumah orang tua mereka. Sebuah Proton Waja dan sebuah lori yang membawa barang-barang milik Shahriza mengikut dari belakang. Kelihatan kedua ibubapa mereka sedang menanti di pintu.

Sebaik sahaja Shahriza keluar dari kereta, ibunya segera menerpa dan memeluknya. Sementara ayahnya pula mendapatkan Adi Shafeer, cucu tunggal mereka.

“Iza apa khabar nak? Awat kurus sangat ni?” Raja Zarina bertanya dalam sebak. “Kenapa dari awal kami tidak dimaklumkan?” tanyanya lagi.

“Udah ler dulu. Nanti kita bercerita. Moh masuk dulu. Tu ada kawannya ikut sekali. Ajak dema masuk,” ayah Shahriza, Haji Shahri bersuara.

“Pergi masuk dulu. Biar yob uruskan barang-barang ni,” Shahrizal menepuk bahu adiknya.

“Ibu, ibu ingat lagi tak dengan Jazmin, jiran juga teman baik Iza?” Shahriza memimpin tangan Jazmin sambil memperkenalkan pada ibunya.

“Ibu ingat. Lama sungguh tak jumpa. Min apa khabar?” Raja Zarina menyambut salam yang dihulur Jazmin.

“Memang lama sangat makcik. Maklum lah makcik lama tak ke rumah Iza. Ni pun saya tetap nak ikut sebab nak tahu mana Iza tinggal. Senang saya nak jenguk-jenguk Iza dengan Shafeer nanti,” jelas Jazmin dengan panjang lebarnya.

“Terima kasih Min. Hah!.. suaminya mana? Awat tak ajak naik sekali?”

“Ada dekat bawah tu. Tolong angkat barang dari lori.”

“Ishh.. ada pulak tetamu buat kerja. Panggil dia naik Iza,” arah Raja Zarina, ibu Shahriza.

“Tak payah makcik. Tak nak abang Zamil tu naik. Dekat sana tadi pun dia yang tolong yob. Jadi biarlah dia dengan yob tu,” halang Jazmin bagi pihak suaminya.

“Kalau macam tu, mari Min… duduk dulu. Makcik ke dapur buat air.”

“Tak apa ibu. Biar Iza yang buat. Ibu duduk sini ya?” bingkas Shahriza bangun dan melangkah ke dapur.

Tidak lama kemudian, Shahriza kembali dengan dulang di tangan.

“Dekat yob dengan orang-orang di bawah tu dah bagi air, Iza?” tanya  Raja Zarina pada anaknya.

“Dah bu. Ayah tolong hantarkan,” balas Shahriza sambil meletakkan gelas-gelas di dulang ke atas meja. “Minum Min,” pelawa Shahriza sebaik sahaja kerjanya selesai.

“Budak-budak mana Iza?”

“Ada dengan atoknya, bu.”

“Ada cucunya mulalah dah tak ingat lain orang tua tu,” gumam  Raja Zarina.

“Aik… takkan ibu cemburu kut?” usik Shahriza melihatkan wajah cemberut ibunya.

“Ishh… tak ada masa ibu nak cemburu. Ibu bukan apa. Tahu sangat… nanti dimanjanya cucunya itu. Payah kita nanti Iza,” balas  Raja Zarina.

“Kau jangan heran Min. Ayah aku tu nanti semua benda dia buat dia heretnya cucu dia sekali. Kalau balik sini, memang tak boleh renggang. Sampai makan pun tak kesah dah, kalau asyik ikut kehendak cucu dia saja. Lepas tu mula lah si Shafeer tu tak pedulikan kami lagi,” terang Shahriza pada Jazmin.

“Cucu tunggal… biasa lah tu,” balas Jazmin ringkas.

“Hah! Nak ke mana pulak tu tergesa-gesa?” tiba-tiba Raja Zarina bersuara bila lihat suaminya kelam kabut keluar masuk bilik mereka.

“Aku nak pergi kedai. Cucu aku nak aiskerim,” jawab Haji Shahri sambil laju menuruni anak tangga rumah.

“Tengok tu! Kan dah cakap dah!” Raja Zarina menjuihkan bibirnya ke arah suaminya. Mereka kemudiannya ketawa melihatkan gelagat  Raja Zarina dan Haji Shahri.

Shahriza bagaikan terlupa masalah yang sedang dihadapinya. Hatinya begitu tenang bila berada di samping keluarganya. Wajah mendungnya kembali berseri bila dia memandang wajah kasih ibunya. Sungguh dia bersyukur, dia masih punya tempat mengadu walaupun suami yang amat dicintai membuangnya. Khayalannya terganggu bila terdengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” sahut  Raja Zarina yang sudah pun bangun dan berdiri di muka pintu.

“Naiklah Zamil. Naik yob… ajak Zamil sekali. Yang lain-lain mana?” tanya Hajjah Raja Zarina yang meninjau ke kawasan laman rumahnya. Lori yang membawa barang anaknya sudah tidak kelihatan.

“Dia orang dah balik, bu,” jawab Shahrizal. “kata dema ada tempat lagi nak kena pergi,” sambungnya lagi.

“Ooohhh… tak apalah kalau macam tu. Ha… Zamil, apa tercegat lagi tu? Sila duduk. Makcik nak ke dapur. Korang makan tengahari sini ya?”

“Tak apa lah makcik. Kami tak nak nyusahkan makcik, lagipun…” Muzamil cuba beralasan tapi dipotong Shahrizal.

“Lagipun apanya Zamil? Tadi cakap takde nak kemana, memang hanya nak ke sini je. Tu yang sanggup balik awal dari kursus tu,” tungkah Shahrizal sebelum menuju ke dapur.

Muzamil hanya tersenyum seperti kerang busuk. Dia terperangkap dan malu juga.

“Jom bu… Iza tolong ibu. Min duduk dulu ya?”

“Min ikut sama. Mana boleh duduk saja,” cepat Jazmin mencelah. Baru dia tersedar. “Abang, Akir mana?” tanya Jazmin pada suaminya.

“Ada dekat bawah dengan pakcik. Makan aiskerim sekali dengan Shafeer,” jawab Muzamil.

Jazmin mengganggukkan kepalanya dan memberi isyarat pada suaminya sebelum ikut Shahriza ke dapur.

“Silakan Zamil… kita minum sini pulak,” Shahrizal muncul dari dapur dengan dua gelas di tangan.

Haji Shahri, seorang Pengetua pencen. Rumah beliau dibina separuh papan dan separuh batu. Di tingkat atas ada terdapat sebuah ruang tamu dan tiga bilik yang dikhaskan untuk ketiga-tiga anaknya. Bilik Puteri Shahriza dan adiknya, Puteri Shahrizana dibina bersebelahan manakala bilik abang mereka Megat Shahrizal, berhadapan dengan bilik kedua-dua adiknya. Turun dari tingkat atas, akan terus masuk ke kawasan dapur dan ruang makan. Tidak jauh dari ruang makan, ada empat anak tangga batu menuju ke tingkat bawah. Di tingkat bawah ini ada sebuah ruang tamu dan dua buah bilik. Satu bilik tetamu dan satu lagi bilik Haji Shahri suami isteri.

Ya.. nama anak-anak Haji Shahri dan  Raja Zarina berpangkalkan Megat dan Puteri. Ini adalah kerana ibu mereka berdarah raja dan bapa mereka orang kebanyakan. Namun begitu, mereka hanya menggunakan nama Megat dan Puteri hanya untuk urusan rasmi sahaja.

“Assalamualaikum Hajjah Rina oiiii!!!!” terdengar laungan orang memberi salam di pintu dapur.

“Waalaikumussalam. Laaaa… kak Tipah. Dari mana ni?” Raja Zarina menyambut kedatangan isteri ketua kampung, Mak Tipah.

“Aku dari rumah Maimon. Anak dia, Junainah bersalin. Lalu sini, nampak lori bawak barang. Yob nak kawin ke Rina?”

“Hishhh… mana pulak yob nak kawin. Iza tu balik pindah sini,” jawab  Raja Zarina tanpa berselindung. Pada masa yang sama Shahriza turun tangga dapur diikuti Jazmin.

“Ada kamu Iza? Bila kamu balik? Kamu balik pindah sini terus ker?” tanya Mak Tipah yang tanpa dipelawa menarik kerusi di meja makan dan terus duduk. Shahriza menoleh ke arah ibunya. Dahinya berkerut.

“Acik Tipah ni nampak lori punggah barang. Dia ingat yob nak buat persiapan kahwin. Ibu cakap le yang Iza balik pindah sini,” Hajjah Raja Zarina sedar anaknya sedikit hairan dengan soalan Mak Tipah tadi.

Shahriza memberi senyuman manisnya sambil bersalam dengan Mak Tipah. Namun dia sedikit pun tak menjawab soalan Mak Tipah tadi.

“Acik Tipah sihat?” tanya Shahriza lembut.

“Alhamdullillah. Kamu ni makin cantik aku tengok. Tapi susut sungguh badan kamu ni. Kamu diet ke Iza? Aku lagi suka kamu yang dulu. Gebu jer…,” ujar Mak Tipah dengan mata tak lepas dari memandang wajah anak jiran sekampungnya itu.

Mak Tipah sebenarnya terkilan bila Shahriza memilih Adi Razman dan bukan anaknya Tajul. Tapi nak buat macamana, Tajul sendiri pemalas dan tak bekerja. Mak Tipah memang berkenan sangat dengan Shahriza. Dulu, Shahriza memang jadi rebutan ramai untuk dijadikan menantu. Selain dari cantik, walaupun sedikit tembam, orangnya bijak dan begitu sopan. Kerja dapur dia cekap. Begitu hormat orang tua. Boleh dikatakan, Shahrizalah satu-satunya anak dara di kampung itu yang mempunyai ciri-ciri lengkap sebagai seorang menantu idaman. Ramai yang kecewa bila Shahriza berkahwin sebaik mendapat keputusan STPM. Mereka ingatkan sudah pasti Shahriza akan menyambung belajar setelah mendapat keputusan cemerlang. Tapi sayang, tak sangka pula dia memilih untuk berkahwin.

Shahriza tersipu-sipu dengar pujian Mak Tipah. “Minum Acik Tipah,” Shahriza menuangkan air kopi ke dalam cawan yang sedia ada di atas meja itu.

“Kamu pindah balik sini, Iza?” soalan diulang setelah yang tadi tidak dijawab.

Shahriza jadi serba salah. Dia memandang wajah ibunya memohon bantuan.  Raja Zarina juga memandang sayu pada anak kesayangannya itu.

“Usah ler kamu nak segan dengan aku, Iza. Aku dah anggap kamu tu macam anak aku juga,” ujar Mak Tipah yang perasan akan ketidakselesaan Shahriza. Shahriza memberikan senyuman hambarnya.

“Acik Tipah duduk dulu ya… saya nak pergi masak sekejap,” dan terus dia meninggalkan Mak Tipah yang masih memandang sayu pada wajah polos yang amat menyenangkan hati isteri ketua kampung itu.

“Kak Tipah!” tegur  Raja Zarina pada temannya yang seperti orang berkhayal.

“Eh.. ya Rina. Maafkan aku. Aku nak tanya ni jangan kamu terasa pulak ya?”

“Apa dia kak Tipah?”

“Iza dengan Razman tu ada masalah ker?”

Raja Zarina terperanjat dengan soalan Mak Tipah. “Kenapa kak Tipah tanya macam tu?”

“Aku bukan apa Rina. Aku sebenarnya dah tahu pasai si Razman tu. Tu yang bila kamu cakap Iza dah balik pindah sini, jadi betullah apa yang aku dengar tu,” Mak Tipah menghirup kopi yang hampir sejuk.

Raja Zarina memandang tajam pada Mak Tipah. “Apa yang kak Tipah dengar?” tanyanya perlahan.

“Bulan lepas, aku pergi kampung sebelah. Kamu tahukan yang ayah si Razman tu sepupu abang Harun? Dia diserang sakit jantung. Bila aku ke sana, aku dapat tahu Razman dah kahwin lain. Aku terkejut sangat,” jelas Mak Tipah.

“Kenapa kak Tipah tak cerita pada kami?” Raja Zarina mula rasa tak sedap hati. Dia dapat rasakan yang orang kampung semua sudah tahu apa yang berlaku pada anaknya sedangkan dia sendiri baru tahu semalam.

“Maafkan aku Rina. Sebenarnya aku tak dibenarkan untuk bercerita pada sesiapa pun. Lagipun dia orang malu dengan kamu laki bini. Dulu beria-ia nakkan si Iza tu, sekarang macam ni pula jadinya. Tergerak juga hati ni nak bertanya pada kamu, tapi aku tak tergamak. Aku tak nak orang tuduh aku menyampai berita, bawak mulut merata,” balas Mak Tipah sayu.

Raja Zarina melepaskan keluhan. Dia memandang sayu ke arah anaknya yang sedang sebuk di dapur dan dibantu Jazmin.

“Maafkan aku Rina, kalau kata-kata aku ni kamu tak suka,” Mak Tipah rasa serba salah bila Raja Zarina mendiamkan diri.

Raja Zarina mengeleng kepalanya. “Tak kak Tipah. Kak Tipah tak perlu minta maaf. Sebenarnya saya dengan abang Shahri pun baru tahu pagi semalam. Itu pun sebab yob nak ke Melaka. Kami pun tak tahu selama ini rumahtangga mereka bergolak,” Raja Zarina mula rasa sebak bila mengenangkan nasib anak perempuannya.

Mak Tipah menepuk-nepuk tangan Raja Zarina.

“Assalamualaikum ibu!”

Terperanjat Raja Zarina dan Mak Tipah yang sedang melayan perasaan, dengan suara yang tiba-tiba memberi salam.

“Astaghfirullahaladzim anak bertuah ni! Terkejut Acik Tipah!” pantas Mak Tipah mengurut dadanya. Benar-benar dia terperanjat dengan jerkahan dari pemberi salam.  Raja Zarina mengeleng-ngeleng kepalanya.

“Eh? Acik Tipah ada sini? Maafkan Zana. Zana ingat ibu kat belakang tadi.” kelam kabut gadis manis yang muncul tiba-tiba mendapatkan Mak Tipah. Tangan Mak Tipah diraih dan diciumnya sebagai tanda hormat pada isteri ketua kampung itu.

Puteri Shahrizana, anak bongsu Haji Shahri dan Raja Zarina. Beliau baru pulang setelah tamat pengajian di USM.

“Zana, awak tu anak dara. Lain kali belajar sopan sikit,” tegur Raja Zarina pada anak gadisnya yang menunduk cium tangannya. Pipi anak bongsunya dicium lembut. “Balik dengan apa ni?” tanya Raja Zarina.

“Dengan kawan-kawan bu. Maafkan Zana ya ibu? Ya acik Tipah? Tak sengaja tadi sebab selalunya waktu ini ibu dekat dapur….” terhenti bicaranya bila dia ternampak kelibat Shahriza di ceruk dapur. “Hah! Akak? Bila akak balik ibu?” tanyanya pula. Namun belum sempat Raja Zarina menjawab, Shahrizana sudah meluru ke dapur.

“Akak! Bila akak balik? Rindu sangat dengan akak,” ujarnya sambil tubuh kurus Shahriza dipeluk dari belakang. Terperanjat Shahriza dibuatnya.

“Zana? Zana dah balik?” Shahriza yang masih terpinga-pinga segera membalas pelukan adik bongsunya.

“Kalau ikutkan last week dah nak balik. Tapi Zana ikut rombongan kawan-kawan pergi makan angin. Ni yang baru balik hari ni,” tak puas rasanya memandang wajah kakaknya yang amat dirindui. “Lama ya kak, kita tak jumpa? Eh… awat dah kurus sangat ni?”

“Biasa jer… Zana tu yang sebuk manjang. Langsung takda masa nak jenguk akak dekat Melaka,” pipi Shahrizana dicubitnya. Shahrizana segera cium pipi Shahriza. Sayang sangat dia pada kakaknya. Matanya tiba-tiba terpandang Jazmin yang sedari tadi asyik memerhatikan kedua beradik melepas rindu.

“Ini kak Min kan? Jiran akak?”

Jazmin menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Mereka bersalam dan melaga pipi seketika.

“Akak, hero adik mana?”

“Ada dengan atok dia ler… mana lagi,” Shahriza yang menyambung semula kerjanya memandang sekilas pada Shahrizana. Shahrizana segera meninggalkan dapur dengan mulutnya riuh memanggil anak saudaranya.

“Hish… anak dara sorang ni. Tak tahu malu langsung. Zana… segan ler sikit. Atas tu ada suami kak Jazmin kau tu. Nanti apa pulak dia orang pikir,” Raja Zarina menegur anaknya yang masih bersikap keanak-anakan. Maklumlah anak manja.

“Oopppsss… Maaf ibu. Over excited ni. Abang Adi pun ada dekat atas ker?” soalan ditanya tidak mengharapkan balasan. Dengan tersipu-sipu malu memandang Mak Tipah, Shahrizana turun ke bawah rumah untuk mencari ayah dan anak saudaranya.

“Tak apa lah Rina. Kak Tipah balik dulu. Nanti bising pulak abang Harun kalau akak ni lama sangat,” Mak Tipah bangun dan mula menapak ke arah pintu.

“Ya lah kak Tipah,” Raja Zarina menemani Mak Tipah hingga ke pintu. “Oh ya… macamana dengan abang Man sekarang? Lupa pulak saya nak tanya tadi?”

“Alhamdullillah… sihat dah.”

“Nantilah, saya ajak abang Shahri pergi ziarah. Tak sedap pula bila dah dengar macam ni.”

“Elok lah tu.”



No comments:

Post a Comment