Purple Flowers

Thursday 26 December 2013

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 6}



Hari semakin meninggi, namun cuaca begitu redup. Kalau kata nak hujan, tak nampak seperti hari mendung nak hujan. Semakin laju langkah Shahriza meninggalkan bangunan Mahkamah Syariah Melaka itu. Risau dia kalau memandu dalam hujan nanti.

“Min cepat Min. Nampak macam nak hujan. Risau pulak aku kalau memandu dalam hujan. Perjalanan aku jauh ni,” tangan Jazmin ditarik ke arah keretanya.

“Sabarlah Iza. Hari redup je. Tak nampak pun awan gelap nak hujan. Awan tutup sinar matahari adalah,” balas Jazmin yang terkedek-kedek ditarik Shahriza.

“Aku tahu! Kau nak lari dari bekas laki kau tu kan?” duga Jazmin dengan senyuman mengusiknya.

“Tak da masa aku nak lari dari dia. Bukannya dia kejar aku pun,” Shahriza memuncungkan mulutnya yang membuatkan Jazmin gelihati. Lekuk di dagu Shahriza begitu terserlah. Jazmin sendiri suka perhatikan lekuk yang menambahkan kejelitaan di wajah Shahriza.

“Tapikan, tadi aku tengok dia macam terpaku pandang kat kau masa memula kita sampai tadi. Masa hakim suruh dia lafazkan talak pun, tergagap-gagap dia. Macam dia tak rela pula nak lepaskan kau,” beria-ia Jazmin menceritakan apa yang dia dengar dan pandang.

“Ya ke? Aku tak perasan ler pulak?”

“Betul Iza! Aku rasa dia terpegun tengok kau dah berubah. Makin cantik pulak tu. Eh! Berapa lama korang tak bertentang mata bersua muka ek?”

“Dah.. dah.. jom masuk. Nanti lambat pulak sampai,” ujar Shahriza sambil tangan membuka pintu kereta.

Jazmin segera membuka pintu kereta. Sebelum dia masuk ke dalam kereta, sempat dia menoleh ke belakang. Ternampak pula bekas suami Shahriza dengan isteri barunya berjalan pantas ke arah mereka.

“Iza! Laki kau tu…” Jazmin bersuara.

“Bekas laki lah!” cemberut wajah Shahriza memandang temannya itu.

“Hey perempuan!” tiba-tiba Shahriza disergah. “Kau jaga sikit perangai tu. Laki aku ni dah tak nak dekat kau jangan pulak kau terhegeh-hegeh nakkan dia balik.”

Berkerut dahi Shahriza dan Jazmin. Jazmin memandang tajam ke arah wanita tersebut. Wanita yang sedang memeluk lengan Adi Razman, mencerlung pandangan matanya ke arah Shahriza.

“Akak ni siapa?” Shahriza bertanya lembut.

“Aku isteri Adi Razman. Aku tahu yang kau masih terhegeh-hegeh nakkan laki aku ni. Jadi aku nak kasi amaran sama kau. Jangan….” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Shahriza segera memotong bicaranya.

“Maaf kak. Saya rasa akak salah orang. Memang saya bekas isteri dia. Tapi saya tak pernah terhegeh-hegeh nakkan dia balik. Dah hampir enam bulan saya tak bertemu dengan dia dan saya tidak bercakap dengan dia. Macamana akak boleh kata saya yang terhegeh-hegeh nakkan dia?” tegas kedengaran tutur kata Shahriza.

Wanita tadi seperti tergamam. Berkerut dahinya memandang wajah Adi Razman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, namun matanya tetap tak lepas pandang wajah Shahriza.

“Akak… saya rasa macam ni lah. Lebih baik akak balik dan jaga suami akak ni baik-baik. Walaupun bukan saya yang terhegeh-hegeh nakkan dia, saya takut dia yang terhegeh-hegeh nakkan wanita lain. Tak pun, dia pulak yang terhegeh-hegeh nakkan saya semula. So, lebih baik akak jaga dia sebaik mungkin. Assalamualaikum,” segera Shahriza memboloskan diri ke dalam kereta. Jazmin juga melakukan yang sama. Tanpa berlengah lagi, kereta diundurkan. Adi Razman dengan isteri barunya seperti terperanjat dengan tindakan Shahriza. Mereka segera ke tepi, takut dilanggar Shahriza.

“Wow! Hebat Iza! Tak sangka kau boleh balas macam tu. Tapikan… apa kena dengan perempuan tu?” tak puashati sungguh Jazmin dengan tindakan wanita tadi. Apatah lagi dengan sikap Adi Razman yang menikus.

“Entahlah Min. Mungkin itu kut kesan pada orang yang merampas hak orang lain. Dia sentiasa takut dan risau apa yang pernah dia buat terjadi pada dia semula. Takut pada bayang-bayang sendiri,” balas Shahriza tenang.

“Kita tengok sejauh mana Adi boleh bertahan dengan perempuan macam tu,” geram Jazmin mengenangkan sikap wanita tadi.

“Hiish… tak baik cakap macam tu. Sepatutnya kita doakan semoga hubungan mereka itu aman dan kekal.”

Jazmin memandang Shahriza sekilas. Mengeleng kepalanya.

“Min, kita singgah lunch dulu ya? Lepas tu aku hantar kau balik. Aku nak tumpang solat dekat rumah kau.”

“Okey… no problem.”

Hampir jam 2 petang baru mereka tiba di rumah Jazmin. Tika itu hujan sudah mula renyai-renyai.

Setelah selesai solat, Shahriza mohon diri untuk bergerak pulang.

“Iza, hujan ni. Kau tidur sini lah,” pujuk Jazmin. Dia tahu betapa Shahriza kurang selesa memandu dalam hujan.

“Terima kasih Min. Tapi aku terpaksa balik juga petang ni. Aku dah janji pada ayah aku, yang aku akan balik petang ini juga. Dia pun risau dengan aku tu.”

“Kau telefon je ayah kau bagitahu,” pujuk Jazmin lagi.

“Tak apa lah Min. Maybe lain kali. Maafkan aku ya?” tangan dihulur pada Jazmin untuk bersalam. Bila salamnya disambut, Shahriza segera mencium pipi Jazmin. Shahriza menghulur salam pada ibu Jazmin, yang jadi pemerhati sedari tadi.

“Aku balik dulu, Min. Sampaikan salam aku pada abang Zamil. Juga peluk cium aku pada Akir,” pinta Shahriza. Semasa dia tiba di rumah Jazmin, Muzakir sedang tidur. Dia sebolehnya tak mahu berhadapan dengan anak Jazmin itu. Dia tak mampu untuk menjawab segala soalan anak kecil itu tentang anaknya Adi Shafeer. Memisahkan kedua-dua anak kecil itu pun sudah menyesakkan hatinya.

“Pandu hati-hati ya Iza? Sampaikan salam aku pada famili kau. Sampai rumah kau call aku. Ingat tu!” Jazmin terpaksa akur dengan kehendak Shahriza, walaupun dia sangat-sangat berharap Shahriza sudi bermalam di rumahnya.

“Insyaallah. Assalamualaikum,” Shahriza melambai dari dalam kereta dan terus memandu meninggalkan kawasan perumahan yang pernah didudukinya dahulu. Hatinya kembali dipagut pilu.

Sudah lebih sejam dia memandu. Hujan semakin lebat. Shahriza pandu lebih hati-hati. Dalam hati dia berzikir memohon ketenangan tatkala memandu. Tiba di traffic light, lampu kuning sedang menyala.

“Baik aku stop. Takut tak sempat lepas, tiba-tiba lampu merah menyala, baru kelam kabut,” ngomelnya sendirian.

GEDEGANG!!!

Shahriza terdorong ke depan akibat hentakan di belakang keretanya. Nasib baik pakai seat belt. Shahriza menarik nafas panjang. Dia merenung melalui cermin pandang belakang.

“Isshhh… payah ni! Takut aku nak turun,” gumam Shahriza. Dah macam-macam dia dengar tentang wanita yang jadi mangsa bila kereta dilanggar dari belakang. Matanya melikas ke arah cermin pandang belakang dan cermin sisi keretanya. Dalam hujan yang kembali renyai, dia nampak kelibat seorang lelaki keluar dari kenderaan yang baru melanggar keretanya tadi. Shahriza memejamkan matanya.

Tiba-tiba kedengaran cermin keretanya diketuk dari luar. Shahriza membuka matanya. Seorang polis trafik berdiri di sisi keretanya.

“Cik? Cik okey ke? Cik tak apa-apa?” soal anggota polis tadi sebaik sahaja cermin kereta diturunkan. Shahriza mengeleng kepalanya tanda dia tak apa-apa.

“Cik, lampu sudah hijau. Tolong pandu ke arah depan sana. Berhenti di kawasan lapang tepi tu. Kita bincang di sana,” pinta anggota polis trafik tadi. Shahriza menganggukkan kepalanya. Sebaik sahaja keretanya mula bergerak, Shahriza lihat anggota polis tadi memberi isyarat pada lelaki yang melanggarnya untuk sama-sama ke arah kawasan lapang di hadapan.

Tiba di kawasan yang disebutkan, Shahriza menghentikan keretanya. Enjin dimatikan, namun dia masih tidak keluar dari kereta. Anggota polis trafik tadi memakirkan motornya di hadapan kereta Shahriza. Bila dia berpaling dan bergerak menghampirinya, Shahriza diminta keluar dari kereta. Shahriza memandang sekilas ke arah kenderaan di belakangnya. Pemandu kenderaan tersebut juga kelihatan sudah keluar dan menuju ke arahnya.

“Cik, betul cik tak apa-apa?” soalan yang sama masih ditanya oleh anggota polis trafik tadi. Shahriza mengangguk lemah. “Kereta cik teruk ni. Nak buat lapuran tak?” tanyanya lagi.

Shahriza segera bergerak ke belakang keretanya. Matanya dipejam tatkala dia melihat akan keadaan keretanya. Memang teruk. Bumper dan pintu bonet kemek ke dalam. Lampu pecah. Shahriza melepaskan keluhan. Namun dia masih tidak bersuara.

“Cik! Bagaimana? Nak buat lapuran?” Shahriza mengelengkan kepalanya. Dia malas nak fikir panjang. Dia malas nak panjang-panjangkan hal yang dirasakan dia sendiri pun ada salahnya.

“Takpe encik. Saya tak nak buat lapuran. Kecil jer ni,” balas Shahriza tanpa menoleh ke arah anggota polis tadi.

“Baiklah kalau macam tu. Elok cik dengan encik selesaikan hal ni baik-baik. Saya pergi dulu,” ujar anggota polis trafik itu. Shahriza memandang sekilas dengan senyuman hambar di bibir.

Sebaik sahaja anggota polis trafik itu hilang dari pandangan, pemuda yang berada hampir dengan Shahriza tiba-tiba bersuara.

“Kenapa cik brake mengejut tadi?” soalnya sedikit keras.

Shahriza memandang ke arah kenderaan yang melanggarnya. ‘Toyota Hilux! Padan ler teruk Myvi aku jadinya,’ getusnya dalam hati. Satu lagi keluhan dilepaskan.

“Mungkin salah saya juga. Maafkan saya. Tak apa lah encik. Kereta encik pun takde apa-apa kerosakan. So, kira settle sajalah ya?” kata Shahriza sambil memandang ke wajah lelaki yang berdiri di hadapannya.

Sebaik sahaja Shahriza memandang padanya, mata pemuda itu secara spontan membulat dan terpaku memandang pada keindahan wajah yang berada di hadapannya ini. Lidah tiba-tiba menjadi kelu. Padahal seingatnya tadi, sudah disediakan ayat-ayat sesuai untuk mengenakan pemilik kereta yang dilanggarnya tadi. Entah kenapa hatinya pula bergetar kencang. Debaran di dada begitu terasa.

Shahriza mula bergerak ke pintu keretanya.

“Cik! Sebentar…”

Shahriza berhenti dan berpaling. Wajah pemuda yang menegurnya dipandang.

“Err… cik… ma.. ma… ,” nafas ditarik dan dihembus seketika. “… macam ini lah. Biar saya bayar kerosakan kereta cik ni,” akhirnya lancar bicara yang terluah.

Berkerut dahi Shahriza. ‘Aik? Tadi salahkan aku brake mengejut!’ getusnya dalam hati.

“Tak apa encik. Saya tak nak tuntut apa-apa. Salah saya juga. Maafkan saya,” ujar Shahriza sebelum berlalu dan terus masuk ke dalam keretanya. Tidak lama lepas itu keretanya dipandu perlahan meninggalkan tempat perbincangan mereka tadi.

Pemuda tadi terkedu. Terperanjat dengan tindak balas Shahriza. ‘Ya Allah… bidadari manalah yang Kau jelmakan di hadapan ku ini? Kenapa ya jantung ku ini berdegup kencang? Bagai nak gugur dibuatnya,’ gumamnya sendirian.

Bunyi hon di tengah jalan menyedarkan dirinya dari lamunan. Segera dia kembali ke keretanya dan tanpa rancang dia memandu terus mengekori kereta Shahriza. “Aku mesti ikut bidadari tadi. Aku mesti bayar balik kerosakan yang sudah aku lakukan,” bicaranya sendiri.

Shahriza yang leka memandu, memandang melalui cermin pandang belakang. Dia terperasan akan Toyota Hilux yang melanggarnya tadi, sedang mengekorinya.

“Dia ikut aku ker?” gumamnya sendiri. “Tak apa. Aku try jalan lain pula.”

Shahriza masih tenang memandu dan sekali sekala dia memandang cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk memastikan kedudukan kereta Toyota Hilux tadi. Di simpang pertama Shahriza membelok ke kanan. Kereta itu pun ikut belok ke kanan. Shahriza meneruskan pemanduan hingga bertemu traffic light di simpang empat. Shahriza mengambil lane tengah. Kereta itu turut sama di lane tengah. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Shahriza tiba-tiba membuat keputusan untuk membelok ke kanan. Nasib baik dia berada di hadapan sekali. Sempat untuk dia memecut. Shahriza berasa lega bila kereta Toyota Hilux itu kelihatan terperangkap di traffic light tadi. Namun ketenangan Shahriza tidak lama, kerana tidak lama lepas itu dia nampak Toyota Hilux itu kembali mengekorinya. Shahriza melepaskan keluhan.

“Ish… tak boleh jadi ni!” katanya sambil mengetuk-ngetuk jari jemarinya pada stereng. “Apa nak buat ni?”

Tiba-tiba Shahriza terlihat papantanda menunjukkan ada balai polis di hadapan. Pantas dia masuk ke kawasan balai polis berkenaan dan terus parkir keretanya di tempat kosong. Shahriza menoleh ke belakang dan dia terkejut bila Toyota Hilux yang mengekorinya kini sudah berhenti betul-betul di belakang keretanya. Sekarang dia nak berundur pun sudah tidak boleh. Shahriza membatu di tempat duduknya. Matanya dipejamkan tanda dia menahan geram.

Kedengaran ketukan di tingkap keretanya. Shahriza membuka mata dan kelihatan pemuda tadi berdiri di sisi keretanya. Pemuda itu memberi syarat supaya dia keluar dari kereta. Shahriza yang rasa dia sudah lewat, terpaksa akur dengan desakan pemuda tadi.

“Encik sebenarnya nak apa?” tanya Shahriza tanpa berselindung lagi. Matanya tertancap tajam ke wajah pemuda tadi. Pemuda itu kelihatan terpaku dengan pandangan mata Shahriza. Dia membalas pandang tanpa menjawab soalan Shahriza. Shahriza benar-benar tidak selesa.

‘Ya Allah… bidadarikah ini? Bermimpikah aku?’ pemuda itu mula melayan perasannya. Dia benar-benar terpegun. Hatinya benar-benar sudah terpaut pada wajah yang berada di hadapannya. Pandangan masih bertaut.

“Encik?” tegur Shahriza.

Pemuda tersebut masih tidak beriak. Masih pegun memandang Shahriza.

“Encik!” tegur Shahriza lagi. Kali ini sedikit kuat.

Pemuda itu tersedar dari khayalan. Wajahnya yang berkulit putih kini sudah berona merah.

“Ehem… Maafkan saya. Saya tidak bermaksud jahat dengan mengekori cik. Saya sekadar ingin membayar gantirugi di atas kerosakan yang telah saya lakukan pada kereta cik,” bagaikan orang yang baru sedar dari mimpi, lancar sahaja tutur kata menyatakan maksud yang ingin disampaikan.

Shahriza mengeleng lemah. “Encik… saya tak salahkan encik. Saya sendiri pun salah juga. Saya rasa tak perlulah encik nak bayar apa-apa. Saya redha dan saya ikhlas,” ujarnya lembut.

Pemuda tersebut mula tak karuan. “Cik… tolonglah! Jangan buat saya rasa bersalah. Saya benar-benar ingin membayar ganti rugi. Kalau tak, tak tenang hidup saya nanti. Terima ya, bantuan saya ini?” pujuk pemuda itu lagi.

Segaris senyum terpamer di wajah Shahriza. “Pelik ya… selalunya, kalau orang dah langgar orang lain. Orang tu mati-mati tak nak ngaku salah dan tak nak tanggung kerugian. Tapi encik ni beria-ia nak bayar atas kerosakan pada kereta saya,” ujar Shahriza perlahan.

Pemuda itu tersenyum. Kening diangkat.

“Dan pelik juga bila mangsa yang dilanggar mati-mati tak mahu tuntut gantirugi, walhal orang yang langgar sudah sanggup membayar,” balas pemuda itu pula dengan senyum mengusik.

Senyap!

Kedua-dua mereka mendiamkan diri. Masing-masing diam tanpa bicara. Shahriza tunduk memandang kasutnya, manakala pemuda tadi memandang Shahriza tanpa jemu. Tiba-tiba sesuatu terlintas di akalnya. Perlahan-lahan telefon bimbit di tangan diangkat sedikit. Aplikasi kamera dibuka. Tanpa Shahriza sedari, pemuda tersebut sempat mengambil gambarnya.

Menyedari Shahriza sedang memandang padanya, pemuda tadi jadi kelam-kabut. Secara spontan dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sesuatu. Seterusnya dari poket kemejanya pula, dia mengeluarkan business cardnya sebelum menghulurkannya pada Shahriza.

“Cik, tolong terima yang ini. Kalau tak cukup, cik call saya. Saya sertakan sekali call card saya agar mudah untuk cik hubungi saya nanti. Please… Or else saya akan terus ekori cik sampai ke rumah cik,” akhirnya pemuda itu yang memecah kesunyian antara mereka. Di tangannya ada beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit dan sekeping business card miliknya.

Semakin serba salah Shahriza dibuatnya. Tapi kalau dia terus menolak, nanti lagi lama dia akan tersangkut di sini. Kalau boleh Shahriza tak mahu kedua orang tuanya risau akan dirinya. Teragak-agak Shahriza membuat keputusan.

“Baiklah. Saya terima. Terima kasih encik,” Shahriza mengambil lipatan wang yang dihulurkan padanya. Begitu juga business card yang diselitkan bersama.

“Haaa… macam tu kan senang. At least tak lah saya rasa bersalah se umur hidup saya nanti,” ceria sungguh bicara pemuda itu kali ini.

“Terima kasih. Ermm… boleh encik alihkan kereta encik. Saya nak cepat. Please.”

“Okey. Saya akan alihkan. Tapi sebelum tu boleh saya tahu nama cik?” tanpa segan pemuda itu terus bertanya.

Berkerut dahi Shahriza mendengar akan soalan dari pemuda di hadapannya itu. ‘apa perlu nak tahu nama aku? Hishhh… dia ni mengarut sungguh,’ rungut Shahriza dalam hati.

“Cik jangan salah faham. Mana tahu, lepas ni kalau kita terserempak di mana-mana, at least saya boleh tegur cik dengan nama cik. Tak adalah saya nak berhey atau berhoi,” ujar pemuda itu selepas dia perasan akan riak wajah Shahriza yang kelihatan seperti berat untuk memberikan namanya.

Shahriza mengemam bibirnya. Dia seperti memikirkan sesuatu. ‘Bagi saja lah. Itu pun entah bila lagi boleh berjumpa. Lagipun takkan dia nak ingat nama aku nanti,’ gumamnya dalam hati. Shahriza melangkah ke pintu keretanya. Pintu kereta dibuka. Sebelum dia masuk ke dalam kereta, dia memandang sekilas ke arah pemuda tadi.

“Nama saya Shahriza. Now boleh tak encik tolong alihkan kereta encik. Saya dah lewat ni, please!”

Lebar senyum di wajah pemuda tersebut. Hati bagai berbunga-bunga. “Shahriza! Wow… nice name,” tuturnya perlahan. Serentak pintu keretanya dibuka. Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, dia mengundurkan keretanya agar Shahriza boleh keluar dari tempat parkiran di balai polis itu. Mata tidak lepas memandang ke arah kereta Shahriza yang perlahan bergerak meninggalkan kawasan perkarangan balai polis. Bila Myvi ungu itu hilang dari pandangan, dia mengeluarkan telefon bimbitnya semula. Segera gambar yang diambilnya tadi dicari. Tersenyum lebar tanda kepuasan bila wajah Shahriza terpamer di dalam telefonnya. Satu sudut wajah yang begitu cantik dapat ditangkapnya. Wajah Shahriza dalam keadaan menjeling, yakni tatkala Shahriza mahu mengangkat wajahnya dari posisi menunduk.

Aidi Haiqal sudah terkena panahan cinta dari jelingan mata yang tajam yang benar-benar telah menusuk ke dalam jiwa. Bulu kening lebat hitam pekat dengan alis mata yang sedikit panjang. Hidung bak seludang. Bibir nipis yang sedikit lebar menghiasi wajah dengan tahi lalat terletak cantik di atas bibir sebelah kiri. Terawang-awang rasanya bila menatap wajah bidadari di dalam telefon di tangannya. Tidak puas mata memandang.

Bagaikan baru sedar dari mimpi, dia mula menggerakkan keretanya keluar dari kawasan balai polis. Tersenyum sambil memandu, hati begitu riang tidak terkata. Tak pernah sekali pun dia rasakan perasaan yang sebegini. Nama ‘Shahriza’ meniti di bibirnya. Tiba-tiba bagaikan baru tersedar dari mimpi, dia memukul stereng kereta dengan kedua-dua tangannya.

“Ya Tuhan! Kenapa aku tanya namanya saja? Sepatutnya aku tanya nombor telefonnya sekali! Bodoh! Arrgghhhh….” dia menjerit sambil memukul kepalanya. Nasib baik cermin kereta tertutup rapat. Kalau tak pasti pemandu lain boleh dengar jeritannya. Sepanjang jalan tak habis-habis dia merungut dan memaki dirinya sendiri.



Saturday 21 December 2013

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 5}



Satu bulan berlalu…

“Zana… kenapa ni? Macam kucing hilang anak je!” tegur Shahrizal pada adik bongsunya.

“Lambat betul dia orang balik. Zana bosan le yob,” balas Shahrizana dengan memuncungkan mulutnya.

“Tu lah… tadi ibu ajak sekali tak nak. Sekarang bising bosan pulak!”

“Malas lah nak pergi sana. Zana sakit hati bila dengar apa yang abang Adi buat pada akak. Kalau ikutkan hati, mahu saja Zana tampar pergi balik kat muka dia,” tutur Shahrizana dalam geram.

“Amboi! Manisnya bunyi. Macamlah yang nak ditampar tu budak kecil. Ingat, kalau Zana buat macam tu, si Adi tu nak duduk diam?”

“I don’t care. Akak tu lembut sangat. Tu sebab kena pijak. Kalau Zana yang kena, tahu lah macamana Zana nak buat.”

Mengeleng Shahrizal dengan gelagat adik bongsunya ini. Buku-buku latihan pelajar yang selesai diperiksa, diangkat dan disimpan ke tepi. Shahrizana dihampiri. Bahu Shahrizana dipeluk dan didorong ke arah sofa. Mereka berdua duduk sebelah menyebelah.

“Zana… akak tu bukannya dia lembut dan suka-suka biarkan orang pijak kepala dia. Tapi dia hormatkan suami dia. Dia tahu batas-batas yang perlu dia jaga. Zana tengoklah satu hari nanti. Akak Zana yang lembut tu akan jadi keras. Dan yob percaya dia akan jadi lebih keras dari Zana. You just wait and see. Yob kenal adik-adik yob,” ujar Shahrizal. Keningnya diangkat bagi membalas renungan adiknya.

“Tapi yob, kenapa ayah pergi hari ni? Kenapa tak pergi masa Mak Tipah bagitahu hari tu? Ya lah, dah lebih sebulan rasanya. Tapi kenapa hari ni baru nak pergi?” tanya Shahrizana hairan.

“Entah. Rasanya ayah dengan ibu nak Iza ikut sekali. Tapi Iza tu yang tak ready. Yob ingat, Iza sendiri pun tak sanggup nak natap wajah mertua dia tu.”

“Kalau akak tak ready pun, kenapa ayah dengan ibu tak pergi saja? Tak payah lah bawak akak tu,” masih tidak puas hati Shahrizana ni.

“Yob rasa ayah dengan ibu sendiri pun masih marah dengan apa yang berlaku pada Iza. Mungkin dia orang pun tak sanggup nak ngadap muka besan,” Shahrizal bangun dan berdiri di jendela.

Kedengaran bunyi enjin kereta dimatikan di halaman rumah. Shahrizal segera buka pintu menyambut kepulangan kedua ayah ibu dan adiknya. Kelihatan Adi Shafeer lena tidur di pangkuan Hajjah Raja Zarina. Shahrizal segera mendapatkan anak saudaranya dan didukung bawa masuk ke rumah.

“Akak! Apa cerita?” terjah Shahrizana tanpa sempat kakaknya masuk ke rumah.

“Cerita apa?”

“Cerita keluarga mertua akak ler!” balas Shahrizana geram. Dia tahu Shahriza sengaja buat tak faham.

“Sebuk jer anak dara ayah ni. Nak jaga tepi kain orang,” usik Haji Shahri. Kepala Shahrizana digosoknya.

“Ala ayah ni. Zana bukan nak menyebuk. Hanya concern,” tak mahu kalah sungguh. “Akak nak kemana tu? Duduk le sini dulu. Kita sembang,” pantas tangan Shahriza yang sedang meniti anak tangga ditariknya. Shahriza memandang pelik pada adiknya.

“Kenapa ni?”

“Duduk le sini. Ada benda Zana nak cakap ni.” Shahriza akur.

“Apa lagi Zana ni? Dah malam ni. Elok masuk tidur,” Shahrizal yang baru menghantar Adi Shafeer ke bilik, kembali ke ruang tamu rumah mereka.

“Ada hal Zana nak cakap. Yob, ayah dengan ibu mari sekali. Kita bincang,” kali ini nada suara Shahrizana lebih lembut dari tadi.

“Kalian duduk dulu. Ibu ke dapur buat kopi. Sedap jugak minum kopi sambil berbual,” balas Hajjah Raja Zarina.

“Ada apa hal ni Zana, sampaikan dah tak sempat nak tunggu esok?” tanya Haji Shahri.

“Ada benda Zana nak bincang. Pasai akak. Kita tunggu ibu sat,” Shahrizana memandang sayu ke wajah kakak kesayangannya.

Tidak lama lepas itu kelihatan Hajjah Raja Zarina datang dengan menatang dulang di tangan. Segera Shahriza menyambut dulang tersebut dan dibawanya ke meja kopi di ruang tamu. Cawan-cawan dituang dengan kopi dan diberikan pada tiap seorang.

“Hah! Ibu dah ada ni. Cakaplah apa Zana nak cakap,” Haji Shahri yang sedari tadi membaca suratkhabar sementara menunggu isterinya, bersuara sambil melipat suratkhabar di tangan.

“Begini. Zana nak tanya apa plan akak lepas ni?” Shahrizana mengajukan soalan pada kakaknya.

“Apa maksud Zana?”

“Ya lah. Esok akak akan ke mahkamah. Dan sudah pasti kita tau apa jadi lepas tu. So, sekarang Zana just nak tanya apa akak nak buat lepas tu? Akak nak cari kerja ke?”

“Oh.. pasal itu.” Shahriza diam sebentar seperti sedang berfikir. “Zana, ayah, ibu… yob,” satu-satu wajah di hadapannya dipandangnya. “Iza dah fikir hal ni, hanya Iza tunggu masa sesuai untuk beritahu ayah, ibu dan yob. Dan memandangkan Zana dah bertanya elok Iza jelaskan. Kalau boleh Iza nak sambung belajar lagi.”

“Alhamdullillah. Ibu dengan ayah setuju sangat,” pantas Hajjah Raja Zarina memeluk anaknya. Dia tahu anaknya ini bukan seorang yang mudah berputus asa.

“Great! Ini yang Zana nak dengar. So sekarang, Zana nak bagitahu plan Zana pulak. Esok Zana akan ke Shah Alam ada interview. Lepas tu Zana akan jumpa kawan Zana. Sebenarnya Zana ada minta tolong dia dapatkan borang UPU. Sekarang ni borang tu sudah ada di tangan dia. Zana dah prepare awal-awal,” ceria sungguh Shahrizana menceritakan tentang tindakan pantasnya.

“Amboi Zana! Macam tak sabar-sabar nak halau akak jer…” usik Shahriza.

“Apa pulak halau. Ini untuk masa depan akak dengan Shafeer juga. Sorrylah sebab tak inform awal-awal. Zana hanya ingin membantu. Lagipun, ada sebab kenapa Zana buat semua ini,” bulat mata Zana memandang ke arah ahli keluarganya. Dan semua mata terarah padanya menantikan Shahrizana menyambung bicara.

Shahrizana mengesot dan berubah tempat duduk. Dia duduk di sebelah Shahriza pula. Tangan Shahriza digenggam.

“Akak, memang kalau boleh Zana tak nak akak duduk dalam kampung ni lama-lama. Kalau boleh Zana nak akak segera keluar dari kampung ni,” tutur Shahrizana perlahan.

“Kenapa Zana cakap macam tu?” Shahrizal dah mula tegak duduknya. Bulat matanya memandang pada adik bongsunya. Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina cuma mendiamkan diri dan sekadar memerhati sahaja.

“Yob janganlah kalut sangat. Dengarlah dulu apa Zana nak cakap,” tungkah Shahrizana. Perhatian dialihkan semula pada Shahriza.

“Akak… akak ingat tak? Dulu masa akak anak dara, punya ramai pemuda-pemuda ataupun budak-budak bujang kampung ni mau pun kampung sebelah yang tergila-gilakan akak. Ingat tak?” soal Shahrizana yang tidak lepas dari memandang wajah kakak kesayangannya itu. Shahriza mengangguk lemah.

“Akak dulu walaupun badan sedikit berisi…” Shahrizana mengembungkan kedua-dua pipinya. Shahriza menampar lembut peha adiknya itu. “… namun tetap menjadi menantu idaman, boleh dikatakan semua orang kampung. Ya lah! Akak ni orang kampung panggil bidadari. Cantik… lemah lembut… sopan santun… ringan tulang… berbudi bahasa.. boleh kata hampir sempurna. Sampai ada yang sanggup bertumbuk bergaduh untuk mendapatkan akak. Akak ingat tak? Sudahnya akak pilih abang Adi. Itupun sebab keluarga abang Adi disegani dan mereka pula yang berani buka langkah untuk meminang akak dulu. Habis kecewa semua yang lain,” beria-ia Shahrizana bercerita mengenangkan kembali kekecohan yang berlaku di kampung lebih 5 tahun dahulu.

“Zana… apa dikenang cerita yang lama. Dan apa kena mengena dengan sekarang?” Hajjah Raja Zarina bertanya dengan kerutan di muka.

“Memang ada kena mengena ibu. Kalau ibu nak tahu, sekarang ni orang kampung dah tahu akak balik sebab dah berpisah dengan abang Adi. Dan…. saham akak melonjak naik. Malahan lagi bertambah teruk,” penuh semangat Shahrizana menjawab soalan ibunya.

“Apa maksud Zana?” Shahrizal kehairanan.

“Kalau dulu akak digilai bujang-bujang kampung, tapi sekarang ni suami-suami orang pun sudah mula nak turut sama,” tersengih Shahrizana. Gelihati pula dengan apa yang baru diluahkannya.

“Kamu merepek apa ni Zana?” Haji Shahri dah mula meninggikan suara. Dia tak selesa dengan apa yang baru dia dengar dari mulut anak gadisnya tadi.

“Betul ayah. Tadi masa Zana bawa Shafeer jalan-jalan, Zana singgah beli goreng pisang dekat gerai hujung kampung tu. Situ, Zana dengar ada beberapa orang perempuan tengah mengumpat. Bila Zana dengar mereka sebut nama ayah, Zana sembunyi balik tiang… pasang telinga. Mereka pun tak perasan Zana ada di situ.” Matanya beralih pada ibunya pula.

“Ibu tahu apa dia orang cakap? Dia orang cakap, elok hati-hati. Silap-silap haribulan laki dia orang pulak tergila-gilakan akak. Walaupun akak dah ada anak satu, akak lebih mengancam dari dulu. Kalau dulu hanya yang bujang saja berminat tapi sekarang sebab akak dah jadi janda, yang laki-laki orang pula dah naik miang sama. Dia orang cakap, dekat kedai kopi tu takde topik lain yang laki dia orang sembang. Semua pasai akak jer!” begitu panjang lebar penerangan Shahrizana.

Haji Shahri dah mula berdiri. Berulang alik dia berjalan dengan tangan di belakang. Sesekali dia memandang pada Shahriza yang sedari tadi menunduk saja. Shahrizal pula menghembuskan nafasnya dengan kasar. Cuak juga dia dibuatnya. Kalau sungguh benar apa yang Shahrizana cakap, maka tak mustahil masalah lama timbul kembali.

Hajjah Raja Zarina segera mendapatkan Shahriza. Anak perempuannya itu dipeluk dengan penuh kasih. Hajjah Raja Zarina faham apa yang membelenggu fikiran Shahriza sekarang. Ini bukan perkara baru. Payah jugak kalau punyai anak bak bidadari.

“Macam ni lah. Ayah setuju dengan rancangan Zana. Apply untuk sambung belajar. Pasai perbelanjaan, jangan risau. Ayah akan tanggung. Kalu tak cukup ayah akan cari sampai cukup. Sementara itu elok cari kerja dan sewalah mana-mana. Ayah bukan nak halau anak ayah, tapi ayah tak nak hidup kita tak tenang seperti dulu. Iza faham kan?”

Shahriza mengangguk lemah.

“Pasai perbelanjaan masa belajar, yob pun ada. Yob akan bantu ayah. Dan yob juga setuju Iza cari kerja mana-mana dulu,” Shahrizal memandang sayu wajah adik kesayangannya. Usia mereka berbeza setahun. Itu yang membuatkan mereka berdua rapat. Kadang-kadang orang ingat kembar.

“Iza ikut mana yang terbaik. Tapi macamana dengan Shafeer?”

“Shafeer tinggalkan dengan ibu. Iza pun kalau dah duduk tempat lain jangan pulak tak balik. Kalau boleh setiap minggu balik. Bukannya kami halau dan langsung tak benarkan Iza balik. Tapi untuk sementara waktu ini, sebelum timbul apa-apa kekecohan, elok kita pasang kubu siap,” lembut Hajjah Raja Zarina menasihati anaknya. Dia tahu pasti berat Shahriza untuk berpisah dengan anaknya.

“Elok lah macam tu. Dah! Dah! Dah tengah malam ni. Esok masing-masing ada hal. Pergi masuk tidur. Ayah pun dah ngantuk ni,” Haji Shahri dah mula meninggalkan ruang tamu menuju ke bilik tidurnya. Hajjah Raja Zarina menurut dari belakang.

“Terima kasih Zana, yob. Iza harap Iza tak menyusahkan semua orang,” sayu suara Shahriza tatkala menuturkan ayat itu.

“Iza merepek apa ni? Kita satu famili. Susah senang kita tetap akan bersama. Takde istilah menyusahkan sesama sendiri dalam kamus famili kita. Walau apapun, selagi yob masih waras, yob akan pikul segala masalah adik-adik kesayangan yob ni. Hanya satu pinta yob, kalau korang ada masalah tolong jangan simpan sendiri-sendiri. Share dengan yob. Supaya yob tahu yang yob amat berharga, diperlukan dan bererti pada kalian.”

Shahriza dan Shahrizana terpaku dengar tutur bicara abang sulung mereka. Segera tubuh Shahrizal dipeluk. Kedua-dua mereka menitiskan airmata dalam dakapan Shahrizal.

“Kami sayang yob. Sampai akhir nyawa kami tetap sayang yob,” esakan mereka membawa sebak pada Shahrizal. Tanpa dapat dihalang, airmata jantannya turun membasahi pipi.




Tuesday 17 December 2013

~ Pelancaran Kasih Bertamu di PB1M PWTC - 14 Dec 2013




Inilah 'wajah' sebenar novel Kasih Bertamu setelah ianya diterbitkan.

Berikut disertakan gambar-gambar sepanjang majlis pelancaran novel tersebut dan suasana ketika di Booth Karystos Creative sempena Pesta Buku 1 Malaysia di PWTC





 Bersama novelis-novelis Karystos



Thursday 12 December 2013

~ Karya kedua -- BIDADARIKAH AKU?

Hmm... sementara menunggu lahirnya karya pertama dalam bentuk cetakan, saya telah mulakan karya kedua.  Telah lebih setahun ianya baru mencecah 400 mukasurat dengan 45 bab.  Sesungguhnya tak dapat nak agak penamat nya bila.  Walaupun telah ada cara untuk menamatkan cerita ini, namun ianya masih perlu diolah dan ditambah agar ianya tidak terlalu pantas ditamatkan. Harap sangat idea untuk meneruskan penceritaan ini tidak terbantut.


Cantik tak sample cover ni? Well...  terima kasih yang tidak terhingga pada Aryssa Najwa kerana design yang begitu menggoda (bagi saya).  

Harap isi ceritanya juga seindah covernya.  Nantikan karya terbaru saya BIDADARIKAH AKU?



Tuesday 10 December 2013

~ Cover Novel Kasih Bertamu (Belum Waktu)

Perkenalkan inilah cover untuk novel kerya pertama saya. 


 Ini pula cover depan dan belakang novel tersebut.


Bagaimana untuk memilikinya?  Mudah sahaja.
Pada 14 Dec 2013 sebelah petang akan diadakan majlis pelancaran novel saya ini.


Luangkan sedikit masa anda untuk ke sana dan dapatkan novel ini sebagai salah satu koleksi novel dalam simpanan anda.  Andai anda tidak dapt hadir, anda boleh juga dapatkan novel ini melalui Order Online di blog Karystos Creative.  Juga bakal ada di kedai-kedai buku berdekatan.

Terima kasih di atas sokongan anda.