Purple Flowers

Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 20}



Jam ditangan sudah menunjuk ke angka 11.  Matanya melilau ke merata kawasan pusat membeli-belah itu. Yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Janji pukul 10 pagi. Tapi kenapa masih tak muncul-muncul lagi? Satu keluhan dilepaskan. Jari-jemari mula mengetuk meja, melagukan lagu tanpa irama. Orang sekeliling dah mula pandang semacam.

'Apa tengok-tengok? Baru sejam aku dekat sini, ngapa nak kecoh?' rungutan dilepaskan, tapi hanya dalam hati. Dia dah mula rimas.

Tiba-tiba satu tepukan kuat hinggap di belakangnya. Terkejut dia dibuatnya. Bila dia berpaling ke belakang, dilihatnya dua lelaki sedang tertawa terbahak-bahak. Pantas tangannya menggosok bahu yang ditepuk tadi. Pedih!

"Hah! gelak le lagi! Gelak le... dah panas buntut aku duduk di sini tunggu korang, bila sampai jer bukan tahu nak bagi salam," wajah yang masam berserta  jelingan tajam diberikan menandakan yang dia benar-benar tengah marah.

"Sorry lah Irfan... bukan sengaja pun aku lambat. Ha... along kau ni aku tak tahu. Tadi aku terserempak dengan dia dekat parking lot." ujar ASP Zahid.

"Along lambat sebab hantar umi dengan Mak Ton ke pasar. Faham-faham je lah… kan? Bukannya angah tak tahu," jawab Irwan Shah pula.

"Memang le angah tahu. Tapi takkan lama sangat?"  Irfan Shah masih tidak puashati. "Hah... yang kau pula Zahid, kata cuti hari ni. Nak kata layan bini, kawin pun belum. So, apa alasan kau?" ASP Zahid terpinga-pinga bila disergah begitu. Baru saja dia hendak meneliti menu yang ada depan mata, dah kena sergah...

"Aku tadi dari ofis. Memang le aku cuti, tapi biasalah cuti tak cuti sama saja. Bila ada call kena attend," jelas ASP Zahid.

"Telefon kan ada. Call le aku bagitau. Ni aku cuba call tak dapat-dapat!" geram Irfan Shah masih belum reda.

"OK lah... Oklah... kita dah sampai pun. Sorry sesangat! But now, aku dah lapar. Dari pagi belum makan lagi ni," ASP Zahid cuba meredakan kemarahan Irfan Shah. Dia  tahu sangat perangai Irfan Shah ni. Pantang kalau janji dimungkiri.

"Ya la angah, kami minta maaf ok? Bukan disengajakan pun," Irwan Shah pula cuba memujuk Irfan Shah. Jelas riak di wajah Irfan Shah berubah. Kelihatannya dia sudah kembali tenang.

ASP Zahid segera memanggil pramusaji restoran. Seusai pesanan dibuat, mereka bertiga berbual-bual kosong.

Sepuluh minit kemudian, pesanan mereka tiba.  Sambil makan mereka berbual-bual ringan sehinggalah Irfan Shah mula bertanya tentang perkembangan siasatan tentang kemalangan yang meragut nyawa Tan Sri Shahrom.

Sudu dan garpu diletakkan. ASP Zahid menghirup minuman sambil mata memandang wajah Irfan Shah. Gelas diletak di meja namun mata masih memandang Irfan Shah. Seketika kemudian dia menoleh dan memandang pula pada Irwan Shah. ASP Zahid masih tidak bersuara.  Dia akhirnya bersandar di kerusi sambil berpeluk tubuh. Keluhan nipis dilepaskan.

"How to say this...." nafas ditarik dan dilepaskan.  "so far kami masih belum dapat mengesan individu yang bertanggungjawab yang memotong brek kereta itu. Tapi kami masih mencari."

"Meaning?" Irfan Shah bertanya ringkas.

"Meaning that kami dah dapat maklumat tentang individu terbabit. Tapi sayang, dia sudah menghilangkan diri. So sekarang ni kami tengah cuba untuk mengesan keberadaannya sekarang," jelas ASP Zahid.

"You guys don't worry ok?" sambung ASP Zahid apabila kedua beradik di hadapannya berdiam diri dan sekadar memandang padanya sahaja. "Kami especially aku akan terus mencari.  Aku takkan biarkan mereka terlepas begitu sahaja.  Tan Sri Shahrom pun dah seperti walid aku juga.  Ini kes high profile, pihak polis takkan lepaskan begitu sahaja, percayalah."

Irwan Shah dan Irfan Shah mengangguk kepala mereka. Tanda mereka faham.

"Kami percayakan kau Zahid. Harapan kami juga pada kau.  Harap sangat kalian dapat segera tangkap siapa dalang sebenar di sebalik malapetaka ini," Irwan Shah bersuara sayu.  Luluh hatinya bila mengenangkan cara walidnya pergi.

"Insyaallah along. Baik kita sentiasa doakan agar segala persoalan ini terjawab segera. Dalam pada itu, elok kita terus diamkan hal ini, supaya mudah bagi pihak kami menjalankan siasatan,"

"Aku setuju," kata Irfan Shah terangguk-angguk. “Hopefully ada perkembangan terbaru dan berita baik untuk kita semua,” sambung Irfan Shah lagi.

“Insyaallah… kita doa dan berserah hanya pada Nya,” balas Irwan Shah.

“OK… now let’s go bowling…” sorak ASP Zahid. Ceria macam anak-anak kecil je.  Gelihati Irwan Shah dan Irfan Shah melihat akan gelagat ASP Zahid.  Kalau orang yang tak kenal, pasti terkejut andai tahu yang Zahid ni seorang pegawai polis. Lagak dan gayanya bila berpakaian santai begitu berbeza dengan masa dia ber uniform.  Orangnya tinggi, tegap dan berkulit hitam manis. Yang pasti ASP Zahid memang seorang yang tampan.  Tapi entah kenapa sehingga kini teman wanita pun tidak ada.  Asyik kerja saja yang difikirkannya sampaikan keluarga dah mula bising. Termasuk Tan Sri Shahrom dan Puan Sri Badariah.  Mereka dah menganggap ASP Zahid salah seorang anak mereka.  Masa belajar dahulu ASP Zahid lebih banyak menghabiskan masa di rumah mereka.  Belajar di universiti yang sama dengan Irfan Shah. Hanya subject yang berlainan.  Tinggal bersama di asrama. Ini yang menjadikan mereka rapat.  Semasa cuti semestar, pasti dia akan ikut Irfan Shah pulang ke rumah, kerana keluarga ASP Zahid pada tika itu menetap di Australia.

Ketiga-tiga mereka mula melangkah meninggalkan restoran. Irfan Shah dan ASP Zahid masih lagi berbual-bual kosong.  Irwan Shah yang ketinggalan sedikit mempercepatkan langkah sambil menjamu mata memandang sekeliling kawasan pusat membeli-belah itu. Tiba-tiba matanya terpaku bila terpandang satu susuk tubuh di koridor deretan kedai di seberang sana bangunan.  Irwan Shah menghentikan langkah. Dia ingin memastikan orang yang dilihatnya adalah orang yang sama dengan apa yang ada dalam fikirannya.  Kelihatan kelibat wanita itu memasuki salah satu premis di situ.  Irwan Shah masih menanti.  Matanya tidak lepas pandang dari arah sebelah sana.

“Wey… pehal ni?” Irfan Shah menegur. Irwan Shah masih terpaku.  Irfan Shah cuba melihat ke arah yang sama dipandang Irwan Shah. Begitu juga dengan ASP Zahid.  Mereka ingin tahu apa yang menarik perhatian Irwan Shah. Namun mereka tak nampak apa-apa pun yang menarik.

“Along!” jerkah Irfan Shah. “Along tengok apa tu?”

"Hmmm...nothing. Nothing... Jom gerak," Irwan Shah elak dari menjawab. Dia sendiri kurang pasti apa yang dilihatnya tadi. Mata masih mencuri-curi pandang ke arah premis di seberang sana sehingga hilang dari pandangan. 'Tapi siapakah lelaki yang bersama dia?' hati berbicara sendiri. Kecewakah dia?

Sesungguhnya Irwan Shah tidak salah pandang. Memang dia lihat Bahirah tadi bersama-sama teman-temannya. Hanya Irwan Shah tidak perasan akan kehadiran sepasang suami isteri berbangsa cina yang ada bersama Bahirah pada tika itu. Disangkanya Bahirah bersama teman lelakinya.

"Bahirah... yang ini cantik tak?" Cassy bertanya seraya mengunjukkan sebuah beg tangan kulit yang agak cantik.

"Boleh tahan... but how much? Yang tadi tak ok ker?" balas Bahirah.

Begitu lah sifat perempuan bila dapat shopping. Dari satu premis ke satu premis dimasuki. Dari satu barang ke satu barang dibelek sehingga hati mereka puas. Si lelaki yang menemani hanya mampu memerhati dan menanti dengan sabar.

"Girls... tak habis lagi ke? Kita orang ni sudah lapar tahu tak?" akhirnya Darren bersuara selepas hampir sejam menemani isterinya, Cassy dan Bahirah shopping. Sejam shopping tapi apa pun belum dibeli lagi!

"If you girls nak continue, silakan. I dengan Nasriq pergi makan dulu... boleh?" Darren memberi cadangan yang sudah pasti tidak akan dipersetujui oleh sesiapa pun. Darren sengaja hendak mengusik mereka.

"OK.. OK... coming!" jawab Cassy dengan wajah bengang. "Susah kalau shopping dengan lelaki ni. Tak pernah nak faham!" sambungnya lagi tanda tidak berpuashati.

Nasriq dan Bahirah hanya tertawa melihat gurauan kedua suami isteri ini.

"Come... let's go for lunch. Nanti ada yang pengsan sebab kelaparan pulak. Susah kita nanti," Cassy masih mengusik suaminya. Darren lantas merangkul bahu Cassy dan mula melangkah keluar dari premis itu. Bahirah dan Nasriq sekadar memandang sesama mereka dengan senyum nipis terpamir di wajah masing-masing.

Keempat-empat mereka kemudiannya berjalan menuju ke restoran Kenny Rogers yang ada di dalam pusat membeli belah itu. Setibanya mereka di restoran itu, mereka terus memilih meja yang agak terceruk sedikit. Untuk privacy, kata Cassy Tan.

"Kita order dulu ok?" Bahirah memberi cadangan. Nasriq lantas mengamit pramusaji restoran untuk memesan makanan mereka.

Setelah pesanan makanan dibuat, mereka duduk santai sambil berbual-bual kosong.

“Irah... I ingat I nak buat satu trip untuk makan angin lah. You nak join tak?" tiba-tiba Cassy Tan bertanya.

"Makan angin? Kat mana? When?" Bahirah kelihatan begitu berminat.

"Don't know yet. Somewhere overseas. Any idea?"

"Aik? Belum ada idea mana nak pergi, dah boleh nak buat plan pulak?" Nasriq bersuara. "Biasanya orang cari destinasi dulu baru merancang," sambung Nasriq lagi.

"You betul Nasriq. Tapi tak salahkan kita merancang dulu baru cari mana tempat nak pergi. Then baru kita fill in all the blanks sebelum memulakan perjalanan." jelas Cassy Tan.

"If you lah Bahirah, where you want to go? Any dream place?" Darren Tan mencelah.

"Hmmm... for me, I teringin nak pergi ke ladang bunga tulip. Especially purple tulips… soooo beautiful," jawab Bahirah beria-ia. Nampak sangat Bahirah begitu excited bila sebut tentang tulip ungu.

"That's a good idea. Tapi where's the farm?" Cassy pula yang excited dengan lokasi impian Bahirah ini.

"Setahu I, ada ladang di Oregan, US. Washington juga. Also Netherland." bersinar-sinar mata Bahirah bila topik ini dibincangkan.

"Netherlands sound interesting," Nasriq mencelah sambil tersenyum memandang Bahirah. Hmmm… apa agaknya yang Nasriq fikirkan?

"Yes... Netherlands!" serentak Cassy dan Darren bersuara. Kemudian masing-masing ketawa.

"Aik... excited betul husband and wife ni. You guys plan for honeymoon ke?" usik Bahirah.

Terbeliak mata Cassy dan Darren bila dengar usikan Bahirah sebegitu. Akhirnya keempat-empat mereka ketawa.

Ketawa mereka berhenti serentak pabila pramusaji datang membawa makanan yang dipesan tadi. Sejurus itu, mereka mula menjamu selera. Keadaan di meja menjadi senyap.  Begitu sekali mereka menikmati hidangan tengahari mereka.

Setelah selesai menjamu selera, akhirnya mereka meninggalkan Kenny Rogers dan menuju ke panggung wayang yang ada di dalam bangunan pusat membeli belah itu.

“Cassy. Guys, you all tunggu sini kejap boleh? I nak pergi solat kat surau situ,” Bahirah bersuara sambil menunjuk ke arah papantanda SURAU tidak jauh dari tempat mereka berada.

“Ye lah… nak tengok wayang karang dekat dua jam. Habis lak waktu solat masa tu,” sambil melihat jam di tangan, Nasriq juga setuju dengan Bahirah.

“OK lah.. you guys pergi dulu. We’ll wait here.” Balas Cassy Tan. Darren Tan mengangguk kepalanya.

“Thanks guys. We won’t be long,” sahut Nasriq. Nasriq mula meninggalkan suami isteri itu dan diikuti dengan Bahirah.

Se usai solat Zohor, Bahirah melangkah keluar dari surau. Tiba di luar, matanya tertancap memandang ke arah satu susuk yang juga sedang memandangnya.

“Along? Along buat apa kat sini?” Bahirah menegur setelah masing-masing saling memandang tanpa bersuara.

“Irah pulak buat apa kat sini? Sorang-sorang jer ker?” soal Irwan Shah tanpa menjawab soalan Bahirah tadi.

“Irah dengan kawan-kawan.  Baru lepas lunch and now nak menonton wayang pula,” balas Bahirah mesra.

“Assalamualaikum,” Nasriq mencelah. Dari tadi dia asyik memerhatikan Bahirah yang begitu mesra berbual dengan seorang pemuda.  Hatinya mula tak tenang. Itu yang membuatkan dia terus menegur mereka.

“Waalaikumussalam,” Irwan Shah menjawab salam serentak dengan  Bahirah.

“Nas, kenalkan ini abang sepupu aku Irwan Shah,” Nasriq diperkenalkan pada Irwan Shah.

“Nasriq Nasir,” Nasriq menghulurkan tangannya seraya memperkenalkan dirinya.

“Along… Nasriq ni office mate Irah.” Pengenalan yang rengkas dari Bahirah. Irwan Shah sambut salam yang dihulur. Mata memaku ke wajah Nasriq.  Hmm… seperti pernah ku kenal mamat ni…. Tapi di mana ya???

Tiba-tiba…

“Nasriq Nasir?” Irwan Shah bertanya dengan nada yang tinggi. Jari dipetiknya berkali-kali. “Nasriq Nasir… Victoria Institution late 90’s?  Kapten hoki sekolah, Ketua Pelajar merangkap pelajar paling popular?” sambung Irwan dengan terujanya.

Terbeliak mata Nasriq.

“Ya… saya. Tapi awak ni siapa?” tanya Nasriq kehairanan.

“Laaa Nasriq… ini akulah! Wan… Irwan Shah! Kau dah lupa ke? Kapten Sofbol sekolah yang tak popular, Komander Kadet Bomba yang low profile. Kita dalam kelas yang sama masa Form 3 hingga Form 5. Tak ingat?” Beria Irwan Shah cuba nak mengingatkan Nasriq.

Bahirah ditengah tercengang-cengang.

Giliran Nasriq pula memetik jarinya. Cuba mengingati kenangan hampir tiga belas tahun yang lalu. “Wait! Wait.. Irwan Shah anak Datuk yang sombong dan berlagak tu yer?” Nasriq teringat kembali. Sengaja dia ingin mengusik Irwan Shah.

Wajah ceria Irwan Shah bertukar kelat. Berubah air muka Irwan Shah bila dengar Nasriq kata begitu.  Tiba-tiba Nasriq ketawa kuat. Semua disekeliling dah mula memandang ke arah mereka bertiga.

“Aku gurau le Wan! Sorry ya… aku sengaja nak nyakat kau. Sekarang baru aku ingat… anak manja yang kurang berkawan tapi jenis diam-diam ubi berisi ni,” bahu Irwan Shah ditepuk-tepuknya. Nasriq kemudian meraih tubuh Irwan Shah dan terus memeluknya.  Irwan Shah juga membalas pelukan Nasriq.

“La… kau kemana selama ni? Aku ada jugak cari kau kat rumah lama kau. Tapi masa tu jiran kau cakap famili kau dah berpindah and diaorang tak tahu alamat baru kalian,” jelas Nasriq sebelum sempat Irwan Shah bersuara.

“Aku ikut famili aku pindah ke Putrajaya.  Aku ingat lagi aku cuba call kau tapi tak dapat. Aku nak pergi rumah kau, kau tau-tau je ler… walid aku bukan bagi aku merayap.” Irwan Shah pula beralasan.  Walhal, dia sendiri yang memang malas nak kemana-mana pun.

“Aku dengar lepas dapat result SPM, kau terus sambung belajar kat Australia kan?” tanya Irwan Shah pada Nasriq.

“Yeap… begitu lah. Tapi mana kau dengar?” soal Nasriq kehairanan.

“Aku ada jumpa dengan Nik Rustam dulu. Dia yang bagitau aku. Lepas itu kita semua hilang macam tu saja.”

“So.. kau buat apa sekarang?” Nasriq pula tanya Irwan Shah.

“Aku baru balik dari US. Dulu kerja sana. Tapi sekarang lepas walid aku meninggal, aku kena jaga syarikat dia pula,” jawab Irwan Shah lemah. Nasriq mengangguk-angguk kecil.

“Takziah dari aku,” ujar Nasriq perlahan.

“Kau dah kahwin or masih solo?” Irwan Shah ubah topik.

Nasriq memandang Bahirah. “Tak ada orang nak Irwan,” mata dijeling sekilas ke arah Bahirah. Bahirah pada tika itu sedang menggamit ke arah Cassy Tan dan suaminya. Berubah air muka Irwan Shah bila lihat kerlingan Nasriq. Irwan Shah tunduk.

“What about you Wan? Married?” Nasriq pula bertanya pada Irwan Shah.

“Aku? Belum masanya lagi Nasriq.  Famili aku lebih aku utamakan apatah bila walid dah tak ada. Aku sebenarnya….” Tergantung ayatnya di situ bila melihat akan kehadiran dua individu yang tidak dikenali menghampiri mereka.

“Cassy… Darren.. sorry kita tersangkut dekat sini. Ada adegan jejak kasih tadi,” usik Bahirah pada Irwan Shah dan Nasriq.

‘Jejak kasih? You dengan this handsome guy ke Bahirah?” Cassy bertanya tanpa berfikir.

Gelak besar Bahirah. “No lah! Ini abang sepupu aku… Irwan Shah. Jejak kasih aku dengan dia happened few days ago. Ni jejak kasih antara Nasriq ni haa.. dengan abang sepupu aku,”

“Ye lah Cassy… ini classmate aku masa kat VI dulu. Yang juga merupakan abang sepupu Cik Bahirah kita. What a small world.” Nasriq mengiyakan kenyataan Bahirah tadi.

“Dunia kita memang terasa kecil. Sebab penghuninya dah semakin ramai,” Darren menyampuk. Serius wajahnya. Lari topik pula tu! Kesemua mereka akhirnya ketawa hingga tidak menghiraukan orang sekeliling.

“Kejap kejap!” Bahirah memetik jari untuk mendapatkan perhatian. “Boleh Irah tahu, macamana along boleh kenal Nasriq ni? Maksud Irah dengan penampilan Nasriq yang seperti ini… serabai,” sempat jugak dia mengusik Nasriq.  Nasriq menjeling manja pada Bahirah.

“Sama saja Irah… dulu dan sekarang. Hanya dulu tak seserabai sekarang.” Ketawa besar Irwan Shah mengusik Nasriq. “Sebenarnya Irah, Nasriq masa sekolah dia kemas selalu, tapi kalau masa cuti panjang lebih kurang macam ni lah! Ada yang nak disorokkannya tu,” sambung Irwan Shah lagi. Mata dikenyitkan pada Nasriq.

“Hmmm… I wonder,” Cassy mencelah.




No comments:

Post a Comment