Purple Flowers

Monday 10 February 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 10}



Keesokan harinya…

Pagi yang suram. Tiada keceriaan seperti pagi-pagi yang sebelumnya. Suasana di rumah begitu sunyi, hanya sekali sekala terdengar suara rengekan dan tawa Adi Shafeer yang sedang dimandikan Shahrizana. Hajjah Raja Zarina seperti biasa, sebuk di dapur menyediakan sarapan pagi. Kedengaran suara orang memberi salam. Hajjah Raja Zarina menoleh ke arah pintu dapur. Salam disahut perlahan.

Kelihatan Haji Shahri sudah pun duduk di meja makan. Kopiah di kepala dibuka dan diletakkan di atas meja.

“Iza mana?” tanya Haji Shahri.

“Ada dalam bilik,” balas Hajjah Raja Zarina acuh tak acuh. Juadah yang telah disediakan dihidang di atas meja. Air kopi yang masih panas dituang ke dalam cawan dan diserahkan pada suaminya. “Yob mana?” tanya Hajjah Raja Zarina pula.

“Kat luar. Simpan motor,” balas Haji Shahri yang sedang menyenduk nasi goreng ke dalam pinggannya.

Shahrizana yang sedang mendukung Adi Shafeer yang hanya dibalutkan tuala, terkedek-kedek berlari menuju ke bilik.

“Tejuk! Tejuk! Errrrr…” gumam Adi Shafeer yang kesejukan.

“Seeee…juk! Ikut ucu…. Seee…juk!” agah Shahrizana.

“Seee…juk. Tejuk!” mengekek-ngekek Adi Shafeer bila Shahrizana membeliakkan matanya.

Gelihati Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina melihatkan gelagat cucu tunggal mereka. Itulah pengubat hati mereka di rumah itu.

“Bu… ayah!” Shahrizal menegur kedua ibubapanya sebaik sahaja dia melangkah masuk.

“Makan yob. Kejap lagi kita pergi rumah tok ketua. Jenazah dah dalam perjalanan tu,” Haji Shahri memaklumkan pada anaknya. Shahrizal sekadar menganggukkan kepalanya. Nasi goreng yang sudah sedia ada di dalam pinggan dijamah perlahan.

“Awak nak ikut, Rina?” tanya Haji Shahri pada isterinya.

“Malaslah saya, bang! Bila kenangkan Iza, sakit hati saya.”

“Tak baik macam tu. Dia dah tak ada. Kita sekadar menziarah tok ketua dengan kak Tipah saja. Yang pergi, kita dah tak boleh buat apa. Kita maafkan saja pada arwah,” nasihat Haji Shahri pada isterinya.

“Tak apalah bang. Biar saya duduk rumah, tengok-tengokkan si Iza tu. Risau sungguh saya. Makan apa pun tak. Asyik termenung saja dari subuh tadi.”

“Biarlah dia cari ketenangan. Janji dia masih boleh bersolat dan mengaji, dah syukur sesangat,” ujar Haji Shahri yang sudah mula melangkah menuju ke bilik nya.

Lega sedikit hati Haji Shahri bila isterinya beritahu yang Shahriza bangun pukul 4 pagi tadi dan mengerjakan solat sunat. Selepas itu, dia membaca Al-Quran sehingga subuh. Haji Shahri percaya trauma yang dialami anaknya akan pulih dengan sendirinya kerana ayat-ayat suci Al-Quran merupakan ubat yang paling mujarab.

“Yob ikut ayah?” soal Hajjah Raja Zarina pada anak bujangnya. Shahrizal mengangguk tanpa bersuara.

“Yob?” tangan Shahrizal disentuhnya. “… yob tak apa-apa kan?” lembut Hajjah Raja Zarina bertanyakan anaknya. Dia pun risau, sebab Shahrizal tak penah mendiamkan diri sebegini.

“Yob tak apa-apa bu…” Shahrizal memegang tangan ibunya dan dicium penuh kasih. “…ibu jangan risau,” pintanya.

“Mana boleh ibu tak risau? Ibu tak pernah tengok anak ibu macam ni,” kepala Shahrizal digosok perlahan.

“Yob hanya rasa bersalah saja bu. Disebabkan kecuaian yob, semua ini berlaku. Iza trauma. Tajul pulak…” belum sempat Shahrizal menghabiskan ayatnya, Hajjah Raja Zarina menutup mulut anaknya.

“Hish… tak baik cakap macam tu! Qada dan qadar ni yob. Kita kena redha. Hanya sekarang, kita kena jaga Iza sebaik mungkin. Jangan sampai trauma dia melarat. Yob tak boleh bersikap begini, nanti Iza lagi teruk. Kita kena bagi dia kekuatan,” pujuk Hajjah Raja Zarina.

“Bu…!!! Oppsss!” Shahrizana terhenti di kaki tangga. Ingatkan hanya ibunya seorang saja di dapur. Wajah Shahrizal dipandang sayu. “Yob… okey?”

“I’m fine,” jawab Shahrizal dengan senyum hambar.

“Apahal panggil ibu?”

“Tak ada apa bu. Zana nak bawak nasi naik atas untuk akak. Zana ingat ibu dekat belakang.”

“Kalau ya pun ibu dekat belakang, tak payahlah jerit-jerit. Ambik je nasi dengan kopi tu bawak dekat kakak,” ujar Hajjah Raja Zarina sedikit geram.

“Sorry…” tanpa lengah lagi, pantas Shahrizana menyediakan sarapan untuk kakaknya. Setelah diisi ke dalam dulang, dia terus meniti anak tangga untuk ke atas. Shahrizal hanya memerhati sahaja setiap tindak tanduk adik bongsunya itu.

“Shafeer mana?”

“Dekat ayah, bu! Ayah nak siapkan Shafeer,” Shahrizana terus melangkah ke atas.

Shahrizana menjenguk ke dalam bilik yang pintunya memang tidak ditutup. “Akak?” tegur Shahrizana perlahan. Shahriza yang sedang termenung di jendela menoleh sekilas pada adiknya.

“Mari makan akak? Nanti perut masuk angin,” pujuk Shahrizana. Shahriza merenung wajah adiknya tanpa perasaan. Agak lama mereka bertentangan mata.

“Zana? Tajul macamana?” soal Shahriza perlahan.

Shahrizana menggaru kepalanya yang tak gatal. ‘Aik? Apa kena kakak aku ni? Rasanya tadi pun dia tanya,’ getus Shahrizana dalam hati.

“Aarr… akak makan dulu, ya? Akak tak nak jumpa Shafeer? Dari pagi dia asyik tanya akak?” Shahrizana sengaja sebut nama Adi Shafeer dengan harapan kakaknya tak terus dalam kebingungan.

Sharizana merenung kembali ke luar jendela. Airmata mula mengalir membasahi pipinya. Pada masa yang sama telefon bimbit Shahrizana berbunyi. Segera dia keluar dari bilik untuk menjawab panggilan.

“Waalaikumussalam kak Zie.”

“Zana! Macamana esok? Jadi datang tak?”

“Errmmm… kak Zie… ada problem sikit?”

“Problem? Awatnya? Zana tak jadi datang ker?”

“Entah ler kak Zie. Zana tengah risau ni ….”

“Risau kenapa pulak? Kak Zie dah excited sangat ni. Penat le kak Zie kalau Zana dengan Iza tak jadi datang. Iza mana?”

“Problem ni psai kak Iza ler. Semalam… something happened…”

“Hah! Something happened?! Apa yang berlaku, Zana?”

“Kak Zie bertenang boleh? Bagi Zana ceritakan dulu…” dan Shahrizana pun terus bercerita tentang kejadian semalam.

“Astagfirullahaladzim… biar betul ni Zana?”

“Betul le! Takkan Zana nak reka-reka cerita pulak! Sekarang ni, kami satu keluarga tengah risau tengok akak ni. Dah macam orang bingung. Berapa kali asyik tanya, Tajul macamana? Tajul macamana? Zana risau tau tak?” Shahrizana menghamburkan keresahannya pada Norzie.

Keadaan senyap seketika.

“Errmmm… macam ni le. Hari ni kak Zie tak kerja. Kejap lagi kak Zie siap-siap, kak Zie balik kampung. Nanti kak Zie bawak kawan kak Zie. Dia doktor. Biar dia periksa Iza. Boleh tak?”

“Betul kak Zie? Alhamdullillah lah kalau macam tu. Zana sendiri dah buntu,” lega Shahrizana dengar cadangan Norzie.

“Takpe lah kalau macam tu. Kak Zie nak siap-siap ni. Tunggu kak Zie ya? Assalamualaikum,” terus talian dimatikan.

Shahrizana menghembus nafas kelegaan. Sekarang, dia perlu pula memujuk Shahriza untuk makan.

“Akak… mari makan. Sikit pun jadilah. Akak nak Zana suapkan?” pujuk Shahrizana.

Shahriza memandang kosong ke wajah adiknya. Perlahan-lahan dia mengelengkan kepalanya.

“Tak bolehlah macam ni! Kalau tak pun akak minum ya? Nanti perut masuk angin. Akak dah tak sayang kita orang ke?”

Shahriza menundukkan kepalanya. Airmata mula menitis. Shahrizana memegang bahu kakaknya. Shahriza memandang wajah adiknya. Seketika kemudian dia terus memeluk tubuh Shahrizana. Terhenjut-henjut dia menangis di bahu adiknya itu.

“Akak bersalah Zana! Kalau akak tak ke kedai, pasti semua ini tak berlaku. Pasti Tajul masih hidup,” tuturnya Shahriza dalam getar tangisnya.

“Akak…” Shahrizana cuba memujuk. “… akak tak boleh cakap macam tu. Itu sudah seperti menidakkan qada dan qadar. Takdir Tuhan tak siapa yang tahu.”

Shahrizana menolak tubuh Shahriza sedikit menjauh. Airmata yang membasahi pipi kakaknya diseka perlahan. Dia sendiri sebak melihat akan keadaan diri kakak kesayangannya ini.

“Akak… akak tak boleh macam ini. Akak kena kuat. Segala apa yang berlaku sudah ditentukan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa ini semua berlaku? Akak kena redha. Yang pergi biar dia pergi. Akak tak salah apa-apa. Itu sudah bahagian dia. Yang penting sekarang, hidup akak mesti diteruskan. Percayalah akak, tak ada siapa pun yang menyalahkan akak. Jadi, adalah tidak adil untuk akak menyalahkan diri sendiri. Sekarang ni, disebabkan akak macam ni, yob pulak salahkan diri yob. Akak termenung kat sini. Yob pulak termenung dekat sana. Akak tak kesian dekat ayah, ibu, yob dan anak akak, Adi Shafeer? Ada akak fikir semua itu?” dalam lembut Shahrizana cuba menyedarkan kakaknya dari terus melayan perasaan yang entah apa-apa. Airmata mula bertakung ditubir matanya.

Shahriza merenung tajam ke wajah Shahrizana. Lama ditenung dengan mata yang berkaca.

“Akak nak ke bilik air,” katanya yang sudah mula melangkah keluar dari bilik. Shahrizana melepaskan keluhan berat. Dia memandang sayu ke arah makanan di dalam dulang yang tidak langsung disentuh Shahriza.

Di tangga, Shahriza lihat Shahrizal sedang termenung di meja makan. Shahriza terus ke bilik air. Shahrizal tidak sedar akan kehadiran Shahriza tadi. Tidak lama lepas itu, kelihatan Shahriza keluar dari bilik air. Dan Shahrizal masih kaku di situ.

Tanpa sepatah bicara, Shahriza terus meniti anak tangga. Tiba di biliknya, dia segera menyarungkan tubuhnya dengan telekung. Senaskah surah Yassin di atas meja dicapai. Tanpa mempedulikan Shahrizana yang masih setia menunggunya dan memerhati setiap perbuatan kakaknya, Shahriza duduk di birai katil di tepi jendela dan terus membaca surah Yassin di tangan. Shahrizana mengelengkan kepalanya. Dia mula melangkah meninggalkan Shahriza sendirian.





No comments:

Post a Comment