Purple Flowers

Thursday 26 December 2013

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 6}



Hari semakin meninggi, namun cuaca begitu redup. Kalau kata nak hujan, tak nampak seperti hari mendung nak hujan. Semakin laju langkah Shahriza meninggalkan bangunan Mahkamah Syariah Melaka itu. Risau dia kalau memandu dalam hujan nanti.

“Min cepat Min. Nampak macam nak hujan. Risau pulak aku kalau memandu dalam hujan. Perjalanan aku jauh ni,” tangan Jazmin ditarik ke arah keretanya.

“Sabarlah Iza. Hari redup je. Tak nampak pun awan gelap nak hujan. Awan tutup sinar matahari adalah,” balas Jazmin yang terkedek-kedek ditarik Shahriza.

“Aku tahu! Kau nak lari dari bekas laki kau tu kan?” duga Jazmin dengan senyuman mengusiknya.

“Tak da masa aku nak lari dari dia. Bukannya dia kejar aku pun,” Shahriza memuncungkan mulutnya yang membuatkan Jazmin gelihati. Lekuk di dagu Shahriza begitu terserlah. Jazmin sendiri suka perhatikan lekuk yang menambahkan kejelitaan di wajah Shahriza.

“Tapikan, tadi aku tengok dia macam terpaku pandang kat kau masa memula kita sampai tadi. Masa hakim suruh dia lafazkan talak pun, tergagap-gagap dia. Macam dia tak rela pula nak lepaskan kau,” beria-ia Jazmin menceritakan apa yang dia dengar dan pandang.

“Ya ke? Aku tak perasan ler pulak?”

“Betul Iza! Aku rasa dia terpegun tengok kau dah berubah. Makin cantik pulak tu. Eh! Berapa lama korang tak bertentang mata bersua muka ek?”

“Dah.. dah.. jom masuk. Nanti lambat pulak sampai,” ujar Shahriza sambil tangan membuka pintu kereta.

Jazmin segera membuka pintu kereta. Sebelum dia masuk ke dalam kereta, sempat dia menoleh ke belakang. Ternampak pula bekas suami Shahriza dengan isteri barunya berjalan pantas ke arah mereka.

“Iza! Laki kau tu…” Jazmin bersuara.

“Bekas laki lah!” cemberut wajah Shahriza memandang temannya itu.

“Hey perempuan!” tiba-tiba Shahriza disergah. “Kau jaga sikit perangai tu. Laki aku ni dah tak nak dekat kau jangan pulak kau terhegeh-hegeh nakkan dia balik.”

Berkerut dahi Shahriza dan Jazmin. Jazmin memandang tajam ke arah wanita tersebut. Wanita yang sedang memeluk lengan Adi Razman, mencerlung pandangan matanya ke arah Shahriza.

“Akak ni siapa?” Shahriza bertanya lembut.

“Aku isteri Adi Razman. Aku tahu yang kau masih terhegeh-hegeh nakkan laki aku ni. Jadi aku nak kasi amaran sama kau. Jangan….” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Shahriza segera memotong bicaranya.

“Maaf kak. Saya rasa akak salah orang. Memang saya bekas isteri dia. Tapi saya tak pernah terhegeh-hegeh nakkan dia balik. Dah hampir enam bulan saya tak bertemu dengan dia dan saya tidak bercakap dengan dia. Macamana akak boleh kata saya yang terhegeh-hegeh nakkan dia?” tegas kedengaran tutur kata Shahriza.

Wanita tadi seperti tergamam. Berkerut dahinya memandang wajah Adi Razman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, namun matanya tetap tak lepas pandang wajah Shahriza.

“Akak… saya rasa macam ni lah. Lebih baik akak balik dan jaga suami akak ni baik-baik. Walaupun bukan saya yang terhegeh-hegeh nakkan dia, saya takut dia yang terhegeh-hegeh nakkan wanita lain. Tak pun, dia pulak yang terhegeh-hegeh nakkan saya semula. So, lebih baik akak jaga dia sebaik mungkin. Assalamualaikum,” segera Shahriza memboloskan diri ke dalam kereta. Jazmin juga melakukan yang sama. Tanpa berlengah lagi, kereta diundurkan. Adi Razman dengan isteri barunya seperti terperanjat dengan tindakan Shahriza. Mereka segera ke tepi, takut dilanggar Shahriza.

“Wow! Hebat Iza! Tak sangka kau boleh balas macam tu. Tapikan… apa kena dengan perempuan tu?” tak puashati sungguh Jazmin dengan tindakan wanita tadi. Apatah lagi dengan sikap Adi Razman yang menikus.

“Entahlah Min. Mungkin itu kut kesan pada orang yang merampas hak orang lain. Dia sentiasa takut dan risau apa yang pernah dia buat terjadi pada dia semula. Takut pada bayang-bayang sendiri,” balas Shahriza tenang.

“Kita tengok sejauh mana Adi boleh bertahan dengan perempuan macam tu,” geram Jazmin mengenangkan sikap wanita tadi.

“Hiish… tak baik cakap macam tu. Sepatutnya kita doakan semoga hubungan mereka itu aman dan kekal.”

Jazmin memandang Shahriza sekilas. Mengeleng kepalanya.

“Min, kita singgah lunch dulu ya? Lepas tu aku hantar kau balik. Aku nak tumpang solat dekat rumah kau.”

“Okey… no problem.”

Hampir jam 2 petang baru mereka tiba di rumah Jazmin. Tika itu hujan sudah mula renyai-renyai.

Setelah selesai solat, Shahriza mohon diri untuk bergerak pulang.

“Iza, hujan ni. Kau tidur sini lah,” pujuk Jazmin. Dia tahu betapa Shahriza kurang selesa memandu dalam hujan.

“Terima kasih Min. Tapi aku terpaksa balik juga petang ni. Aku dah janji pada ayah aku, yang aku akan balik petang ini juga. Dia pun risau dengan aku tu.”

“Kau telefon je ayah kau bagitahu,” pujuk Jazmin lagi.

“Tak apa lah Min. Maybe lain kali. Maafkan aku ya?” tangan dihulur pada Jazmin untuk bersalam. Bila salamnya disambut, Shahriza segera mencium pipi Jazmin. Shahriza menghulur salam pada ibu Jazmin, yang jadi pemerhati sedari tadi.

“Aku balik dulu, Min. Sampaikan salam aku pada abang Zamil. Juga peluk cium aku pada Akir,” pinta Shahriza. Semasa dia tiba di rumah Jazmin, Muzakir sedang tidur. Dia sebolehnya tak mahu berhadapan dengan anak Jazmin itu. Dia tak mampu untuk menjawab segala soalan anak kecil itu tentang anaknya Adi Shafeer. Memisahkan kedua-dua anak kecil itu pun sudah menyesakkan hatinya.

“Pandu hati-hati ya Iza? Sampaikan salam aku pada famili kau. Sampai rumah kau call aku. Ingat tu!” Jazmin terpaksa akur dengan kehendak Shahriza, walaupun dia sangat-sangat berharap Shahriza sudi bermalam di rumahnya.

“Insyaallah. Assalamualaikum,” Shahriza melambai dari dalam kereta dan terus memandu meninggalkan kawasan perumahan yang pernah didudukinya dahulu. Hatinya kembali dipagut pilu.

Sudah lebih sejam dia memandu. Hujan semakin lebat. Shahriza pandu lebih hati-hati. Dalam hati dia berzikir memohon ketenangan tatkala memandu. Tiba di traffic light, lampu kuning sedang menyala.

“Baik aku stop. Takut tak sempat lepas, tiba-tiba lampu merah menyala, baru kelam kabut,” ngomelnya sendirian.

GEDEGANG!!!

Shahriza terdorong ke depan akibat hentakan di belakang keretanya. Nasib baik pakai seat belt. Shahriza menarik nafas panjang. Dia merenung melalui cermin pandang belakang.

“Isshhh… payah ni! Takut aku nak turun,” gumam Shahriza. Dah macam-macam dia dengar tentang wanita yang jadi mangsa bila kereta dilanggar dari belakang. Matanya melikas ke arah cermin pandang belakang dan cermin sisi keretanya. Dalam hujan yang kembali renyai, dia nampak kelibat seorang lelaki keluar dari kenderaan yang baru melanggar keretanya tadi. Shahriza memejamkan matanya.

Tiba-tiba kedengaran cermin keretanya diketuk dari luar. Shahriza membuka matanya. Seorang polis trafik berdiri di sisi keretanya.

“Cik? Cik okey ke? Cik tak apa-apa?” soal anggota polis tadi sebaik sahaja cermin kereta diturunkan. Shahriza mengeleng kepalanya tanda dia tak apa-apa.

“Cik, lampu sudah hijau. Tolong pandu ke arah depan sana. Berhenti di kawasan lapang tepi tu. Kita bincang di sana,” pinta anggota polis trafik tadi. Shahriza menganggukkan kepalanya. Sebaik sahaja keretanya mula bergerak, Shahriza lihat anggota polis tadi memberi isyarat pada lelaki yang melanggarnya untuk sama-sama ke arah kawasan lapang di hadapan.

Tiba di kawasan yang disebutkan, Shahriza menghentikan keretanya. Enjin dimatikan, namun dia masih tidak keluar dari kereta. Anggota polis trafik tadi memakirkan motornya di hadapan kereta Shahriza. Bila dia berpaling dan bergerak menghampirinya, Shahriza diminta keluar dari kereta. Shahriza memandang sekilas ke arah kenderaan di belakangnya. Pemandu kenderaan tersebut juga kelihatan sudah keluar dan menuju ke arahnya.

“Cik, betul cik tak apa-apa?” soalan yang sama masih ditanya oleh anggota polis trafik tadi. Shahriza mengangguk lemah. “Kereta cik teruk ni. Nak buat lapuran tak?” tanyanya lagi.

Shahriza segera bergerak ke belakang keretanya. Matanya dipejam tatkala dia melihat akan keadaan keretanya. Memang teruk. Bumper dan pintu bonet kemek ke dalam. Lampu pecah. Shahriza melepaskan keluhan. Namun dia masih tidak bersuara.

“Cik! Bagaimana? Nak buat lapuran?” Shahriza mengelengkan kepalanya. Dia malas nak fikir panjang. Dia malas nak panjang-panjangkan hal yang dirasakan dia sendiri pun ada salahnya.

“Takpe encik. Saya tak nak buat lapuran. Kecil jer ni,” balas Shahriza tanpa menoleh ke arah anggota polis tadi.

“Baiklah kalau macam tu. Elok cik dengan encik selesaikan hal ni baik-baik. Saya pergi dulu,” ujar anggota polis trafik itu. Shahriza memandang sekilas dengan senyuman hambar di bibir.

Sebaik sahaja anggota polis trafik itu hilang dari pandangan, pemuda yang berada hampir dengan Shahriza tiba-tiba bersuara.

“Kenapa cik brake mengejut tadi?” soalnya sedikit keras.

Shahriza memandang ke arah kenderaan yang melanggarnya. ‘Toyota Hilux! Padan ler teruk Myvi aku jadinya,’ getusnya dalam hati. Satu lagi keluhan dilepaskan.

“Mungkin salah saya juga. Maafkan saya. Tak apa lah encik. Kereta encik pun takde apa-apa kerosakan. So, kira settle sajalah ya?” kata Shahriza sambil memandang ke wajah lelaki yang berdiri di hadapannya.

Sebaik sahaja Shahriza memandang padanya, mata pemuda itu secara spontan membulat dan terpaku memandang pada keindahan wajah yang berada di hadapannya ini. Lidah tiba-tiba menjadi kelu. Padahal seingatnya tadi, sudah disediakan ayat-ayat sesuai untuk mengenakan pemilik kereta yang dilanggarnya tadi. Entah kenapa hatinya pula bergetar kencang. Debaran di dada begitu terasa.

Shahriza mula bergerak ke pintu keretanya.

“Cik! Sebentar…”

Shahriza berhenti dan berpaling. Wajah pemuda yang menegurnya dipandang.

“Err… cik… ma.. ma… ,” nafas ditarik dan dihembus seketika. “… macam ini lah. Biar saya bayar kerosakan kereta cik ni,” akhirnya lancar bicara yang terluah.

Berkerut dahi Shahriza. ‘Aik? Tadi salahkan aku brake mengejut!’ getusnya dalam hati.

“Tak apa encik. Saya tak nak tuntut apa-apa. Salah saya juga. Maafkan saya,” ujar Shahriza sebelum berlalu dan terus masuk ke dalam keretanya. Tidak lama lepas itu keretanya dipandu perlahan meninggalkan tempat perbincangan mereka tadi.

Pemuda tadi terkedu. Terperanjat dengan tindak balas Shahriza. ‘Ya Allah… bidadari manalah yang Kau jelmakan di hadapan ku ini? Kenapa ya jantung ku ini berdegup kencang? Bagai nak gugur dibuatnya,’ gumamnya sendirian.

Bunyi hon di tengah jalan menyedarkan dirinya dari lamunan. Segera dia kembali ke keretanya dan tanpa rancang dia memandu terus mengekori kereta Shahriza. “Aku mesti ikut bidadari tadi. Aku mesti bayar balik kerosakan yang sudah aku lakukan,” bicaranya sendiri.

Shahriza yang leka memandu, memandang melalui cermin pandang belakang. Dia terperasan akan Toyota Hilux yang melanggarnya tadi, sedang mengekorinya.

“Dia ikut aku ker?” gumamnya sendiri. “Tak apa. Aku try jalan lain pula.”

Shahriza masih tenang memandu dan sekali sekala dia memandang cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk memastikan kedudukan kereta Toyota Hilux tadi. Di simpang pertama Shahriza membelok ke kanan. Kereta itu pun ikut belok ke kanan. Shahriza meneruskan pemanduan hingga bertemu traffic light di simpang empat. Shahriza mengambil lane tengah. Kereta itu turut sama di lane tengah. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Shahriza tiba-tiba membuat keputusan untuk membelok ke kanan. Nasib baik dia berada di hadapan sekali. Sempat untuk dia memecut. Shahriza berasa lega bila kereta Toyota Hilux itu kelihatan terperangkap di traffic light tadi. Namun ketenangan Shahriza tidak lama, kerana tidak lama lepas itu dia nampak Toyota Hilux itu kembali mengekorinya. Shahriza melepaskan keluhan.

“Ish… tak boleh jadi ni!” katanya sambil mengetuk-ngetuk jari jemarinya pada stereng. “Apa nak buat ni?”

Tiba-tiba Shahriza terlihat papantanda menunjukkan ada balai polis di hadapan. Pantas dia masuk ke kawasan balai polis berkenaan dan terus parkir keretanya di tempat kosong. Shahriza menoleh ke belakang dan dia terkejut bila Toyota Hilux yang mengekorinya kini sudah berhenti betul-betul di belakang keretanya. Sekarang dia nak berundur pun sudah tidak boleh. Shahriza membatu di tempat duduknya. Matanya dipejamkan tanda dia menahan geram.

Kedengaran ketukan di tingkap keretanya. Shahriza membuka mata dan kelihatan pemuda tadi berdiri di sisi keretanya. Pemuda itu memberi syarat supaya dia keluar dari kereta. Shahriza yang rasa dia sudah lewat, terpaksa akur dengan desakan pemuda tadi.

“Encik sebenarnya nak apa?” tanya Shahriza tanpa berselindung lagi. Matanya tertancap tajam ke wajah pemuda tadi. Pemuda itu kelihatan terpaku dengan pandangan mata Shahriza. Dia membalas pandang tanpa menjawab soalan Shahriza. Shahriza benar-benar tidak selesa.

‘Ya Allah… bidadarikah ini? Bermimpikah aku?’ pemuda itu mula melayan perasannya. Dia benar-benar terpegun. Hatinya benar-benar sudah terpaut pada wajah yang berada di hadapannya. Pandangan masih bertaut.

“Encik?” tegur Shahriza.

Pemuda tersebut masih tidak beriak. Masih pegun memandang Shahriza.

“Encik!” tegur Shahriza lagi. Kali ini sedikit kuat.

Pemuda itu tersedar dari khayalan. Wajahnya yang berkulit putih kini sudah berona merah.

“Ehem… Maafkan saya. Saya tidak bermaksud jahat dengan mengekori cik. Saya sekadar ingin membayar gantirugi di atas kerosakan yang telah saya lakukan pada kereta cik,” bagaikan orang yang baru sedar dari mimpi, lancar sahaja tutur kata menyatakan maksud yang ingin disampaikan.

Shahriza mengeleng lemah. “Encik… saya tak salahkan encik. Saya sendiri pun salah juga. Saya rasa tak perlulah encik nak bayar apa-apa. Saya redha dan saya ikhlas,” ujarnya lembut.

Pemuda tersebut mula tak karuan. “Cik… tolonglah! Jangan buat saya rasa bersalah. Saya benar-benar ingin membayar ganti rugi. Kalau tak, tak tenang hidup saya nanti. Terima ya, bantuan saya ini?” pujuk pemuda itu lagi.

Segaris senyum terpamer di wajah Shahriza. “Pelik ya… selalunya, kalau orang dah langgar orang lain. Orang tu mati-mati tak nak ngaku salah dan tak nak tanggung kerugian. Tapi encik ni beria-ia nak bayar atas kerosakan pada kereta saya,” ujar Shahriza perlahan.

Pemuda itu tersenyum. Kening diangkat.

“Dan pelik juga bila mangsa yang dilanggar mati-mati tak mahu tuntut gantirugi, walhal orang yang langgar sudah sanggup membayar,” balas pemuda itu pula dengan senyum mengusik.

Senyap!

Kedua-dua mereka mendiamkan diri. Masing-masing diam tanpa bicara. Shahriza tunduk memandang kasutnya, manakala pemuda tadi memandang Shahriza tanpa jemu. Tiba-tiba sesuatu terlintas di akalnya. Perlahan-lahan telefon bimbit di tangan diangkat sedikit. Aplikasi kamera dibuka. Tanpa Shahriza sedari, pemuda tersebut sempat mengambil gambarnya.

Menyedari Shahriza sedang memandang padanya, pemuda tadi jadi kelam-kabut. Secara spontan dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sesuatu. Seterusnya dari poket kemejanya pula, dia mengeluarkan business cardnya sebelum menghulurkannya pada Shahriza.

“Cik, tolong terima yang ini. Kalau tak cukup, cik call saya. Saya sertakan sekali call card saya agar mudah untuk cik hubungi saya nanti. Please… Or else saya akan terus ekori cik sampai ke rumah cik,” akhirnya pemuda itu yang memecah kesunyian antara mereka. Di tangannya ada beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit dan sekeping business card miliknya.

Semakin serba salah Shahriza dibuatnya. Tapi kalau dia terus menolak, nanti lagi lama dia akan tersangkut di sini. Kalau boleh Shahriza tak mahu kedua orang tuanya risau akan dirinya. Teragak-agak Shahriza membuat keputusan.

“Baiklah. Saya terima. Terima kasih encik,” Shahriza mengambil lipatan wang yang dihulurkan padanya. Begitu juga business card yang diselitkan bersama.

“Haaa… macam tu kan senang. At least tak lah saya rasa bersalah se umur hidup saya nanti,” ceria sungguh bicara pemuda itu kali ini.

“Terima kasih. Ermm… boleh encik alihkan kereta encik. Saya nak cepat. Please.”

“Okey. Saya akan alihkan. Tapi sebelum tu boleh saya tahu nama cik?” tanpa segan pemuda itu terus bertanya.

Berkerut dahi Shahriza mendengar akan soalan dari pemuda di hadapannya itu. ‘apa perlu nak tahu nama aku? Hishhh… dia ni mengarut sungguh,’ rungut Shahriza dalam hati.

“Cik jangan salah faham. Mana tahu, lepas ni kalau kita terserempak di mana-mana, at least saya boleh tegur cik dengan nama cik. Tak adalah saya nak berhey atau berhoi,” ujar pemuda itu selepas dia perasan akan riak wajah Shahriza yang kelihatan seperti berat untuk memberikan namanya.

Shahriza mengemam bibirnya. Dia seperti memikirkan sesuatu. ‘Bagi saja lah. Itu pun entah bila lagi boleh berjumpa. Lagipun takkan dia nak ingat nama aku nanti,’ gumamnya dalam hati. Shahriza melangkah ke pintu keretanya. Pintu kereta dibuka. Sebelum dia masuk ke dalam kereta, dia memandang sekilas ke arah pemuda tadi.

“Nama saya Shahriza. Now boleh tak encik tolong alihkan kereta encik. Saya dah lewat ni, please!”

Lebar senyum di wajah pemuda tersebut. Hati bagai berbunga-bunga. “Shahriza! Wow… nice name,” tuturnya perlahan. Serentak pintu keretanya dibuka. Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, dia mengundurkan keretanya agar Shahriza boleh keluar dari tempat parkiran di balai polis itu. Mata tidak lepas memandang ke arah kereta Shahriza yang perlahan bergerak meninggalkan kawasan perkarangan balai polis. Bila Myvi ungu itu hilang dari pandangan, dia mengeluarkan telefon bimbitnya semula. Segera gambar yang diambilnya tadi dicari. Tersenyum lebar tanda kepuasan bila wajah Shahriza terpamer di dalam telefonnya. Satu sudut wajah yang begitu cantik dapat ditangkapnya. Wajah Shahriza dalam keadaan menjeling, yakni tatkala Shahriza mahu mengangkat wajahnya dari posisi menunduk.

Aidi Haiqal sudah terkena panahan cinta dari jelingan mata yang tajam yang benar-benar telah menusuk ke dalam jiwa. Bulu kening lebat hitam pekat dengan alis mata yang sedikit panjang. Hidung bak seludang. Bibir nipis yang sedikit lebar menghiasi wajah dengan tahi lalat terletak cantik di atas bibir sebelah kiri. Terawang-awang rasanya bila menatap wajah bidadari di dalam telefon di tangannya. Tidak puas mata memandang.

Bagaikan baru sedar dari mimpi, dia mula menggerakkan keretanya keluar dari kawasan balai polis. Tersenyum sambil memandu, hati begitu riang tidak terkata. Tak pernah sekali pun dia rasakan perasaan yang sebegini. Nama ‘Shahriza’ meniti di bibirnya. Tiba-tiba bagaikan baru tersedar dari mimpi, dia memukul stereng kereta dengan kedua-dua tangannya.

“Ya Tuhan! Kenapa aku tanya namanya saja? Sepatutnya aku tanya nombor telefonnya sekali! Bodoh! Arrgghhhh….” dia menjerit sambil memukul kepalanya. Nasib baik cermin kereta tertutup rapat. Kalau tak pasti pemandu lain boleh dengar jeritannya. Sepanjang jalan tak habis-habis dia merungut dan memaki dirinya sendiri.



No comments:

Post a Comment