Purple Flowers

Monday 23 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 9}


Kereta diparkir dengan cermat. Nasib baik ada ruang kosong tidak jauh dari pintu masuk. Irfan Shah mematikan enjin kereta. Irwan Shah yang duduk disebelah pemandu, segera keluar dari kereta dan terus membuka pintu belakang. Dengan penuh hormat, dia memimpin tangan Puan Sri Badariah keluar dari kereta. Irfan Shah pula sudah berada di sisi Puan Sri Badariah. Dan mereka pun memulakan langkah menuju ke pejabat Talib, Wong & Associates.

Terasa seperti ada yang kurang! Puan Sri Badariah memandang keliling. Baru beliau perasan… mana Shalin Zara!

“Angah… mana adik?”

“Hah!!!” serentak Irwan Shah dengan Irfan Shah bersuara.

Irfan Shah berpaling ke belakang. “Laaa… takkan adik tidur dalam kereta kut?”

Puan Sri Badariah dan Irwan Shah sama-sama memandang ke arah kereta. Kelihatan Shalin Zara duduk bersandar, dengan wajah masam mencuka masih di dalam kereta!

Irfan Shah segera menuju ke kereta. Tingkap kereta diketuk. Tangan lantas membuka pintu kereta.

“Adik kenapa? Awat yang masih duduk sini?”

“Angah tu… kenapa tak buka pintu adik tadi. Tak gentleman langsung!” getus Shalin Zara.

‘Adoyaiiii… mengada-ngada pulak adik aku yang sorang ni!’ getus hati Irfan Shah.

“Maaf ya Tuan Puteri! Hamba tadi ingin segera untuk membawa bonda hamba ke tempat yang dituju dengan selamat. Memandangkan Tuan Puteri masih muda, hamba begitu pasti Tuan Puteri boleh bergerak sendiri….” Irfan Shah dah mula geram dengan sikap Shalin Zara.

“Alaaa… tolong sikit pun tak boleh! Berkira!!!” Selain dari jelingan, lidah juga dijelirkan pada Irfan Shah.

Mengeleng kepala Puan Sri Badariah. Irwan Shah hanya tersenyum melihat gelagat kedua-dua adik kesayangannya itu. Anak manja!

“Cepat lah! Terhegeh-hegeh. Kalau ada sesiapa nampak, tak jadi nak buat menantu!” usik Irfan Shah tak habis-habis.

“Ummiiii……!” terjerit Shalin Zara bila Irfan Shah menolak-nolak badannya dari belakang. Shalin Zara terus berlari-lari anak ke uminya lantas lengan Puan Sri Badariah diraih.

“Nakal anak umi ni…” Puan Sri Badariah menarik hidung Shalin Zara.

“Cepat along, Umi, lif dah buka ni,” Irfan Shah memanggil. Entah masa bila pulak Irfan Shah jadi jaga lif.

Keempat-empat mereka memboloskan diri ke dalam lif. Lantas butang 20 ditekan.

Setibanya di pejabat Haji Talib, setiausaha Haji Talib sedia menunggu. Mereka kemudiannya dibawa masuk ke bilik mesyuarat.

“Puan Sri duduk lah dahulu yer. Sekejap lagi Tuan Haji datang. Saya keluar dulu,”

“Terima kasih.”

Sepuluh minit kemudian, Tuan Haji Talib tiba dengan beberapa fail yang berisi dokumen-dokumen penting di tangannya.

“Assalamualaikum Bada.” Sapa Haji Talib “Irwan Shah!!! Alhamdullillah, balik juga along yer?” sambil tangan dihulur. Lantas tubuh Irwan Shah dipeluk lama. Haji Talib juga rindukan anak sulung Tan Sri Shahrom.

“Ya Uncle… back for good!” lafaz Irwan Shah setelah pelukan dileraikan. Dengan senyum dibibir, kepala ditundukkan sedikit, tanda hormat.

“And you Irfan… how are you son? Sudah boleh berkerja semula?” tanya Haji Talib pada Irfan Shah.

“Insyaallah Uncle. Along is here soooo I’m gonna be his sidekick, boleh camtu?” Irfan Shah memeluk bahu Irwan Shah. Begitu mesra kedua beradik ni.

“And you baby girl…. Berapa lama lagi nak habis belajar ni?” soalan diaju pada Shalin Zara pula.

“Setahun lagi Uncle, Insyaallah..” balas Shalin Zara

“Then, what are you going to do? Join the company?“ Haji Talib bertanya.

“Not sure yet. Sampai masa baru Zara decide,” sopan Shalin Zara berbicara. Macam bukan dia je!

Pintu diketuk dari luar.

“Masuk!”

Kelihatan wanita merangkap setiausaha Haji Talib masuk dengan dulang ditangan. Setelah hidangan diletakkan di meja, beliau bergerak mendekati Haji Talib dengan membisikkan sesuatu. Terpancar keceriaan di wajah Haji Talib.
                                                  
“Sebentar ya semua. Uncle keluar sekejap. Ada hal. Bada, saya keluar sebentar. Jemput lah minum,” Haji Talib memohon diri dan keluar meninggalkan bilik mesyuarat.

Setibanya di luar, setiausahanya menunjukkan ke arah bilik pejabat Haji Talib. Haji Talib segera menuju ke bilik. Sebaik tombol dipulas dan pintu ditolak, Haji Talib lihat akan seorang wanita sedang sandar di sofa dibiliknya. Matanya terpejam. Wajah kelihatan pucat sekali.

“Assalamualaikum Bahirah…” perlahan tonasi suara Haji Talib. Takut Bahirah terkejut.

Bahirah membukakan matanya. “Waalaikumusalam Tuan Haji. Maaf,” Bahirah membetulkan duduknya. Malunya! Awat le mata ni asyik nak terpejam jer tak kira tempat.

“Bahirah OK ker? Uncle tengok Bahirah pucat sangat? Tak sihat ker?” kerisauan terpancar di wajah Haji Talib. Lain macam sungguh Bahirah hari ni.

“Saya tak apa-apa Tuan Haji. Mungkin penat. Kepala pun pening sikit.” Jelas Bahirah.

“Bahirah panggil saya Uncle, ye? Supaya lebih mesra…” pinta Haji Talib.

Segaris senyum tersungging di bibir Bahirah. Kelihatan tawar. Orang tak sihat le kata kan!

“Tuan Haji… emm.. sorry… Uncle, takkan saya seorang saja? Keluarga Tan Sri mana?”

“Ada Bahirah. Bahirah rehat dulu. Uncle tidak mahu andai ada kejutan nanti Bahirah pengsan pula. Apatah lagi Bahirah nampak tak berapa sihat ni,” Haji Talib terus ke meja nya dan menekan intekom.

“Nani, masuk sekejap”

Kedengaran pintu diketuk sebelum ianya dibuka dari luar. Wanita yang menyambut Bahirah tadi kelihatan tersenyum memandangnya.

“Nani, tolong temankan Cik Bahirah di sini sebentar. Saya nak ke bilik mesyuarat. Bagi Cik Bahirah ni berehat dalam lima belas minit. Biar dia baring di sofa tu. Nanti saya datang semula,” Haji Talib memberi arahan pada pekerjanya.

“Baik Tuan Haji,”

“Bahirah relax dulu ya. Baring ler kalau perlu. Uncle tengok Bahirah lemah sangat. Uncle keluar dulu? Bahirah rehat,” dengan pesanan itu, Haji Talib terus menghilang dibalik pintu yang ditutup.

Setibanya di bilik mesyuarat.

Puan Sri Badariah meluru ke arah Haji Talib sebaik saja Haji Talib memasuki bilik mesyuarat. Dengan nada berbisik… “Abang Talib? Kenapa abang Talib? Dia datang ker abang Talib?”
                                                                 
Haji Talib tersenyum melihat gelagat Puan Sri Badariah. Dia faham sangat keterujaan Puan Sri Badariah disebabkan apa. Pandangan mata Haji Talib beralih dari Puan Sri Badariah dan kini ke wajah anak-anak arwah Tan Sri Shahrom. Dan bila pandangannya kembali ke wajah Puan Sri Badariah, Haji Talib tersenyum nipis sambil mengangguk.

Tanpa melengahkan masa, Puan Sri Badariah meluru keluar dan menuju terus ke bilik Haji Talib. Tak sempat Haji Talib nak menahannya. Terpempan Puan Sri Badariah tatkala melihat sekujur tubuh sedang terbaring di sofa, manakala setiausaha Haji Talib setia menemani di kerusi berdekatan sambil baca majalah.

“Ya Allah… syukur Alhamdullillah…” kedua tapak tangannya diusapkan ke muka. Dengan perlahan Puan Sri Badariah menghampiri Bahirah. Ingin diusap wajah polos yang kelihatan pucat itu, namun dia teragak-agak untuk melakukannya. Takut tindakannya itu akan mengejutkan Bahirah.

“Rasanya Cik Bahirah tak berapa sihat Puan Sri,” beritahu Nani, setiausaha Haji Talib.

“Tak sihat?” Puan Sri Badariah kehairanan dan risau. Lantas jari-jemarinya diletakkan di dahi Bahirah. Terasa panas! “Ya Allah, dia demam. Jom kita bawa dia ke klinik,”

“Cik Bahirah tidak mahu Puan Sri. Saya dah usulkan tadi. Tapi tadi Cik Bahirah ada makan ubat. Panadol rasanya. Lepas tu dia minta izin untuk lelapkan mata buat seketika,” terang Nani.

“Kalau macam tu kita tunggu sini sebentar. Kita tunggu sampai dia bangun,” Puan Sri Badariah memberi cadangan. Mata tidak sekali lepas pandang dari wajah ayu yang kelihatan sedang nyenyak tidor itu. Terasa bahagia tatkala wajah itu ditatap.

Raut wajah iras sekali dengan arwah abang kandungnya. Tertumpah rasa kasih yang begitu menebal pada anak saudaranya ini. Dia terlalu rindu pada anak ini.

“Ummi! Umi buat apa kat sini?” Tiba-tiba Shalin Zara muncul.

“Shhh… perlahan sikit suara tu!” pinta Puan Sri Badariah.

Namun, ianya sudah terlewat. Bahirah sudah membuka matanya. Mata dibulatkan bila melihat seorang wanita yang sudah berusia tetapi masih kelihatan anggun duduk begitu hampir dengan tempat dia berbaring. Bahirah pantas bangun dan membetulkan dirinya di sofa.

“Maaf…. Saya di mana?” Bahirah bertanya dalam kemamaian.

“Eloklah Bahirah sudah terjaga.  Macamana? Boleh kita ke bilik mesyuarat?” Haji Talib tiba-tiba muncul dan terus menjemput semua ke bilik mesyuarat agar acara dapat dimulakan.







No comments:

Post a Comment