Purple Flowers

Saturday 30 November 2013

~ TEASER: KASIH BERTAMU (Belum Waktu)



Disebuah rumah sewa di sempadan tanahair 

 Kringgggg… 

 “Helloooo… siapa ni?” suara mamai dari tidur.

 “Akulah! Kau tidur ke Pian?” 

 “Boss!” terbangun terus dari tidurnya. “Baru nak lelap boss,” 

 “Kau dekat mana ni?” 

 “Sempadan boss,” 

 “Sempadan?” 

 “Yeap! Sempadan utara.” 

 “Buat apa dekat sana?” 

 “Sembunyilah boss apalagi. Sekarang polis sedang mencari.” 

 “Polis cari? Kenapa?” meninggi suara di sebelah sana telefon. 

 “Polis bukan cari aku boss. Polis cari budak aku si Narang tu. Jadi aku takut mereka akan jumpa aku sekali,” tertakut-takut dia menjawab. 

 “Tahulah! Tapi kenapa polis cari budak tu?” masih tidak berpuashati dengan jawapan yang diberi. 

 “Polis dapat tahu Narang yang sabotaj kereta Tan Sri tu,”

 “Macamana polis dapat tahu? Kau buat macamana pada kereta tu?” suara di sana sudah mula kedengaran makin meninggi. 

 “Dia… Na.. Narang.. dia… potong brek boss,” jawab Pian tergagap-gagap 

 “Apa??? Potong brek? Hey mangkuk! Bukan ke aku dah cakap jangan buat cara yang cliché tu. Kenapa degil sangat? Aku suruh kau buat sesuatu yang tidak boleh dikesan! Potong brek ni yang pertama polis akan tuju dulu. Bodoh!!!”

 “Sorry boss! Aku sendiri dah marah budak tu. Aku dah pesan suruh buat cara lain. Tapi dia kata tak sempat sebab supervisor bengkel tu selalu pantau kerja dia. Itu pun nasib baik menjadi,” 

 “Nasib baik kepala hotak kau! Kalau nasib baik, takkan polis mencari sekarang?” kedengaran dengusan kasar dilepaskan. Menandakan orang di sana sedang menahan marah. Pian mendiamkan diri. Tak tahu nak jawab macamana. “Habis tu, mana budak kau tu?” 

 “Hilang boss. Aku pun tengah menjejaki dia,” 

 “Baik cepat sebelum polis yang jumpa. Kalau perlu biar polis jumpa mayatnya saja,” arahan dikeluarkan tegas.

 “Aku pun rancang begitu boss. Boss jangan risau. Janji beres semua,” Pian berjanji sekadar melembutkan hati bossnya. Kalau tidak susah duit nak masuk poket dia.

 “Lepas ni aku hanya nak dengar berita baik saja. Apa-apa perkembangan sila bagitahu aku, faham?”



Tuesday 26 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 4}



Esoknya…

Perlahan kereta Myvi ungu gelap milik Shahriza, yang dipandu Shahrizal, masuk ke perkarangan rumah orang tua mereka. Sebuah Proton Waja dan sebuah lori yang membawa barang-barang milik Shahriza mengikut dari belakang. Kelihatan kedua ibubapa mereka sedang menanti di pintu.

Sebaik sahaja Shahriza keluar dari kereta, ibunya segera menerpa dan memeluknya. Sementara ayahnya pula mendapatkan Adi Shafeer, cucu tunggal mereka.

“Iza apa khabar nak? Awat kurus sangat ni?” Raja Zarina bertanya dalam sebak. “Kenapa dari awal kami tidak dimaklumkan?” tanyanya lagi.

“Udah ler dulu. Nanti kita bercerita. Moh masuk dulu. Tu ada kawannya ikut sekali. Ajak dema masuk,” ayah Shahriza, Haji Shahri bersuara.

“Pergi masuk dulu. Biar yob uruskan barang-barang ni,” Shahrizal menepuk bahu adiknya.

“Ibu, ibu ingat lagi tak dengan Jazmin, jiran juga teman baik Iza?” Shahriza memimpin tangan Jazmin sambil memperkenalkan pada ibunya.

“Ibu ingat. Lama sungguh tak jumpa. Min apa khabar?” Raja Zarina menyambut salam yang dihulur Jazmin.

“Memang lama sangat makcik. Maklum lah makcik lama tak ke rumah Iza. Ni pun saya tetap nak ikut sebab nak tahu mana Iza tinggal. Senang saya nak jenguk-jenguk Iza dengan Shafeer nanti,” jelas Jazmin dengan panjang lebarnya.

“Terima kasih Min. Hah!.. suaminya mana? Awat tak ajak naik sekali?”

“Ada dekat bawah tu. Tolong angkat barang dari lori.”

“Ishh.. ada pulak tetamu buat kerja. Panggil dia naik Iza,” arah Raja Zarina, ibu Shahriza.

“Tak payah makcik. Tak nak abang Zamil tu naik. Dekat sana tadi pun dia yang tolong yob. Jadi biarlah dia dengan yob tu,” halang Jazmin bagi pihak suaminya.

“Kalau macam tu, mari Min… duduk dulu. Makcik ke dapur buat air.”

“Tak apa ibu. Biar Iza yang buat. Ibu duduk sini ya?” bingkas Shahriza bangun dan melangkah ke dapur.

Tidak lama kemudian, Shahriza kembali dengan dulang di tangan.

“Dekat yob dengan orang-orang di bawah tu dah bagi air, Iza?” tanya  Raja Zarina pada anaknya.

“Dah bu. Ayah tolong hantarkan,” balas Shahriza sambil meletakkan gelas-gelas di dulang ke atas meja. “Minum Min,” pelawa Shahriza sebaik sahaja kerjanya selesai.

“Budak-budak mana Iza?”

“Ada dengan atoknya, bu.”

“Ada cucunya mulalah dah tak ingat lain orang tua tu,” gumam  Raja Zarina.

“Aik… takkan ibu cemburu kut?” usik Shahriza melihatkan wajah cemberut ibunya.

“Ishh… tak ada masa ibu nak cemburu. Ibu bukan apa. Tahu sangat… nanti dimanjanya cucunya itu. Payah kita nanti Iza,” balas  Raja Zarina.

“Kau jangan heran Min. Ayah aku tu nanti semua benda dia buat dia heretnya cucu dia sekali. Kalau balik sini, memang tak boleh renggang. Sampai makan pun tak kesah dah, kalau asyik ikut kehendak cucu dia saja. Lepas tu mula lah si Shafeer tu tak pedulikan kami lagi,” terang Shahriza pada Jazmin.

“Cucu tunggal… biasa lah tu,” balas Jazmin ringkas.

“Hah! Nak ke mana pulak tu tergesa-gesa?” tiba-tiba Raja Zarina bersuara bila lihat suaminya kelam kabut keluar masuk bilik mereka.

“Aku nak pergi kedai. Cucu aku nak aiskerim,” jawab Haji Shahri sambil laju menuruni anak tangga rumah.

“Tengok tu! Kan dah cakap dah!” Raja Zarina menjuihkan bibirnya ke arah suaminya. Mereka kemudiannya ketawa melihatkan gelagat  Raja Zarina dan Haji Shahri.

Shahriza bagaikan terlupa masalah yang sedang dihadapinya. Hatinya begitu tenang bila berada di samping keluarganya. Wajah mendungnya kembali berseri bila dia memandang wajah kasih ibunya. Sungguh dia bersyukur, dia masih punya tempat mengadu walaupun suami yang amat dicintai membuangnya. Khayalannya terganggu bila terdengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” sahut  Raja Zarina yang sudah pun bangun dan berdiri di muka pintu.

“Naiklah Zamil. Naik yob… ajak Zamil sekali. Yang lain-lain mana?” tanya Hajjah Raja Zarina yang meninjau ke kawasan laman rumahnya. Lori yang membawa barang anaknya sudah tidak kelihatan.

“Dia orang dah balik, bu,” jawab Shahrizal. “kata dema ada tempat lagi nak kena pergi,” sambungnya lagi.

“Ooohhh… tak apalah kalau macam tu. Ha… Zamil, apa tercegat lagi tu? Sila duduk. Makcik nak ke dapur. Korang makan tengahari sini ya?”

“Tak apa lah makcik. Kami tak nak nyusahkan makcik, lagipun…” Muzamil cuba beralasan tapi dipotong Shahrizal.

“Lagipun apanya Zamil? Tadi cakap takde nak kemana, memang hanya nak ke sini je. Tu yang sanggup balik awal dari kursus tu,” tungkah Shahrizal sebelum menuju ke dapur.

Muzamil hanya tersenyum seperti kerang busuk. Dia terperangkap dan malu juga.

“Jom bu… Iza tolong ibu. Min duduk dulu ya?”

“Min ikut sama. Mana boleh duduk saja,” cepat Jazmin mencelah. Baru dia tersedar. “Abang, Akir mana?” tanya Jazmin pada suaminya.

“Ada dekat bawah dengan pakcik. Makan aiskerim sekali dengan Shafeer,” jawab Muzamil.

Jazmin mengganggukkan kepalanya dan memberi isyarat pada suaminya sebelum ikut Shahriza ke dapur.

“Silakan Zamil… kita minum sini pulak,” Shahrizal muncul dari dapur dengan dua gelas di tangan.

Haji Shahri, seorang Pengetua pencen. Rumah beliau dibina separuh papan dan separuh batu. Di tingkat atas ada terdapat sebuah ruang tamu dan tiga bilik yang dikhaskan untuk ketiga-tiga anaknya. Bilik Puteri Shahriza dan adiknya, Puteri Shahrizana dibina bersebelahan manakala bilik abang mereka Megat Shahrizal, berhadapan dengan bilik kedua-dua adiknya. Turun dari tingkat atas, akan terus masuk ke kawasan dapur dan ruang makan. Tidak jauh dari ruang makan, ada empat anak tangga batu menuju ke tingkat bawah. Di tingkat bawah ini ada sebuah ruang tamu dan dua buah bilik. Satu bilik tetamu dan satu lagi bilik Haji Shahri suami isteri.

Ya.. nama anak-anak Haji Shahri dan  Raja Zarina berpangkalkan Megat dan Puteri. Ini adalah kerana ibu mereka berdarah raja dan bapa mereka orang kebanyakan. Namun begitu, mereka hanya menggunakan nama Megat dan Puteri hanya untuk urusan rasmi sahaja.

“Assalamualaikum Hajjah Rina oiiii!!!!” terdengar laungan orang memberi salam di pintu dapur.

“Waalaikumussalam. Laaaa… kak Tipah. Dari mana ni?” Raja Zarina menyambut kedatangan isteri ketua kampung, Mak Tipah.

“Aku dari rumah Maimon. Anak dia, Junainah bersalin. Lalu sini, nampak lori bawak barang. Yob nak kawin ke Rina?”

“Hishhh… mana pulak yob nak kawin. Iza tu balik pindah sini,” jawab  Raja Zarina tanpa berselindung. Pada masa yang sama Shahriza turun tangga dapur diikuti Jazmin.

“Ada kamu Iza? Bila kamu balik? Kamu balik pindah sini terus ker?” tanya Mak Tipah yang tanpa dipelawa menarik kerusi di meja makan dan terus duduk. Shahriza menoleh ke arah ibunya. Dahinya berkerut.

“Acik Tipah ni nampak lori punggah barang. Dia ingat yob nak buat persiapan kahwin. Ibu cakap le yang Iza balik pindah sini,” Hajjah Raja Zarina sedar anaknya sedikit hairan dengan soalan Mak Tipah tadi.

Shahriza memberi senyuman manisnya sambil bersalam dengan Mak Tipah. Namun dia sedikit pun tak menjawab soalan Mak Tipah tadi.

“Acik Tipah sihat?” tanya Shahriza lembut.

“Alhamdullillah. Kamu ni makin cantik aku tengok. Tapi susut sungguh badan kamu ni. Kamu diet ke Iza? Aku lagi suka kamu yang dulu. Gebu jer…,” ujar Mak Tipah dengan mata tak lepas dari memandang wajah anak jiran sekampungnya itu.

Mak Tipah sebenarnya terkilan bila Shahriza memilih Adi Razman dan bukan anaknya Tajul. Tapi nak buat macamana, Tajul sendiri pemalas dan tak bekerja. Mak Tipah memang berkenan sangat dengan Shahriza. Dulu, Shahriza memang jadi rebutan ramai untuk dijadikan menantu. Selain dari cantik, walaupun sedikit tembam, orangnya bijak dan begitu sopan. Kerja dapur dia cekap. Begitu hormat orang tua. Boleh dikatakan, Shahrizalah satu-satunya anak dara di kampung itu yang mempunyai ciri-ciri lengkap sebagai seorang menantu idaman. Ramai yang kecewa bila Shahriza berkahwin sebaik mendapat keputusan STPM. Mereka ingatkan sudah pasti Shahriza akan menyambung belajar setelah mendapat keputusan cemerlang. Tapi sayang, tak sangka pula dia memilih untuk berkahwin.

Shahriza tersipu-sipu dengar pujian Mak Tipah. “Minum Acik Tipah,” Shahriza menuangkan air kopi ke dalam cawan yang sedia ada di atas meja itu.

“Kamu pindah balik sini, Iza?” soalan diulang setelah yang tadi tidak dijawab.

Shahriza jadi serba salah. Dia memandang wajah ibunya memohon bantuan.  Raja Zarina juga memandang sayu pada anak kesayangannya itu.

“Usah ler kamu nak segan dengan aku, Iza. Aku dah anggap kamu tu macam anak aku juga,” ujar Mak Tipah yang perasan akan ketidakselesaan Shahriza. Shahriza memberikan senyuman hambarnya.

“Acik Tipah duduk dulu ya… saya nak pergi masak sekejap,” dan terus dia meninggalkan Mak Tipah yang masih memandang sayu pada wajah polos yang amat menyenangkan hati isteri ketua kampung itu.

“Kak Tipah!” tegur  Raja Zarina pada temannya yang seperti orang berkhayal.

“Eh.. ya Rina. Maafkan aku. Aku nak tanya ni jangan kamu terasa pulak ya?”

“Apa dia kak Tipah?”

“Iza dengan Razman tu ada masalah ker?”

Raja Zarina terperanjat dengan soalan Mak Tipah. “Kenapa kak Tipah tanya macam tu?”

“Aku bukan apa Rina. Aku sebenarnya dah tahu pasai si Razman tu. Tu yang bila kamu cakap Iza dah balik pindah sini, jadi betullah apa yang aku dengar tu,” Mak Tipah menghirup kopi yang hampir sejuk.

Raja Zarina memandang tajam pada Mak Tipah. “Apa yang kak Tipah dengar?” tanyanya perlahan.

“Bulan lepas, aku pergi kampung sebelah. Kamu tahukan yang ayah si Razman tu sepupu abang Harun? Dia diserang sakit jantung. Bila aku ke sana, aku dapat tahu Razman dah kahwin lain. Aku terkejut sangat,” jelas Mak Tipah.

“Kenapa kak Tipah tak cerita pada kami?” Raja Zarina mula rasa tak sedap hati. Dia dapat rasakan yang orang kampung semua sudah tahu apa yang berlaku pada anaknya sedangkan dia sendiri baru tahu semalam.

“Maafkan aku Rina. Sebenarnya aku tak dibenarkan untuk bercerita pada sesiapa pun. Lagipun dia orang malu dengan kamu laki bini. Dulu beria-ia nakkan si Iza tu, sekarang macam ni pula jadinya. Tergerak juga hati ni nak bertanya pada kamu, tapi aku tak tergamak. Aku tak nak orang tuduh aku menyampai berita, bawak mulut merata,” balas Mak Tipah sayu.

Raja Zarina melepaskan keluhan. Dia memandang sayu ke arah anaknya yang sedang sebuk di dapur dan dibantu Jazmin.

“Maafkan aku Rina, kalau kata-kata aku ni kamu tak suka,” Mak Tipah rasa serba salah bila Raja Zarina mendiamkan diri.

Raja Zarina mengeleng kepalanya. “Tak kak Tipah. Kak Tipah tak perlu minta maaf. Sebenarnya saya dengan abang Shahri pun baru tahu pagi semalam. Itu pun sebab yob nak ke Melaka. Kami pun tak tahu selama ini rumahtangga mereka bergolak,” Raja Zarina mula rasa sebak bila mengenangkan nasib anak perempuannya.

Mak Tipah menepuk-nepuk tangan Raja Zarina.

“Assalamualaikum ibu!”

Terperanjat Raja Zarina dan Mak Tipah yang sedang melayan perasaan, dengan suara yang tiba-tiba memberi salam.

“Astaghfirullahaladzim anak bertuah ni! Terkejut Acik Tipah!” pantas Mak Tipah mengurut dadanya. Benar-benar dia terperanjat dengan jerkahan dari pemberi salam.  Raja Zarina mengeleng-ngeleng kepalanya.

“Eh? Acik Tipah ada sini? Maafkan Zana. Zana ingat ibu kat belakang tadi.” kelam kabut gadis manis yang muncul tiba-tiba mendapatkan Mak Tipah. Tangan Mak Tipah diraih dan diciumnya sebagai tanda hormat pada isteri ketua kampung itu.

Puteri Shahrizana, anak bongsu Haji Shahri dan Raja Zarina. Beliau baru pulang setelah tamat pengajian di USM.

“Zana, awak tu anak dara. Lain kali belajar sopan sikit,” tegur Raja Zarina pada anak gadisnya yang menunduk cium tangannya. Pipi anak bongsunya dicium lembut. “Balik dengan apa ni?” tanya Raja Zarina.

“Dengan kawan-kawan bu. Maafkan Zana ya ibu? Ya acik Tipah? Tak sengaja tadi sebab selalunya waktu ini ibu dekat dapur….” terhenti bicaranya bila dia ternampak kelibat Shahriza di ceruk dapur. “Hah! Akak? Bila akak balik ibu?” tanyanya pula. Namun belum sempat Raja Zarina menjawab, Shahrizana sudah meluru ke dapur.

“Akak! Bila akak balik? Rindu sangat dengan akak,” ujarnya sambil tubuh kurus Shahriza dipeluk dari belakang. Terperanjat Shahriza dibuatnya.

“Zana? Zana dah balik?” Shahriza yang masih terpinga-pinga segera membalas pelukan adik bongsunya.

“Kalau ikutkan last week dah nak balik. Tapi Zana ikut rombongan kawan-kawan pergi makan angin. Ni yang baru balik hari ni,” tak puas rasanya memandang wajah kakaknya yang amat dirindui. “Lama ya kak, kita tak jumpa? Eh… awat dah kurus sangat ni?”

“Biasa jer… Zana tu yang sebuk manjang. Langsung takda masa nak jenguk akak dekat Melaka,” pipi Shahrizana dicubitnya. Shahrizana segera cium pipi Shahriza. Sayang sangat dia pada kakaknya. Matanya tiba-tiba terpandang Jazmin yang sedari tadi asyik memerhatikan kedua beradik melepas rindu.

“Ini kak Min kan? Jiran akak?”

Jazmin menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Mereka bersalam dan melaga pipi seketika.

“Akak, hero adik mana?”

“Ada dengan atok dia ler… mana lagi,” Shahriza yang menyambung semula kerjanya memandang sekilas pada Shahrizana. Shahrizana segera meninggalkan dapur dengan mulutnya riuh memanggil anak saudaranya.

“Hish… anak dara sorang ni. Tak tahu malu langsung. Zana… segan ler sikit. Atas tu ada suami kak Jazmin kau tu. Nanti apa pulak dia orang pikir,” Raja Zarina menegur anaknya yang masih bersikap keanak-anakan. Maklumlah anak manja.

“Oopppsss… Maaf ibu. Over excited ni. Abang Adi pun ada dekat atas ker?” soalan ditanya tidak mengharapkan balasan. Dengan tersipu-sipu malu memandang Mak Tipah, Shahrizana turun ke bawah rumah untuk mencari ayah dan anak saudaranya.

“Tak apa lah Rina. Kak Tipah balik dulu. Nanti bising pulak abang Harun kalau akak ni lama sangat,” Mak Tipah bangun dan mula menapak ke arah pintu.

“Ya lah kak Tipah,” Raja Zarina menemani Mak Tipah hingga ke pintu. “Oh ya… macamana dengan abang Man sekarang? Lupa pulak saya nak tanya tadi?”

“Alhamdullillah… sihat dah.”

“Nantilah, saya ajak abang Shahri pergi ziarah. Tak sedap pula bila dah dengar macam ni.”

“Elok lah tu.”



Sunday 24 November 2013

Friday 22 November 2013

~ TEASER : KASIH BERTAMU (Belum Waktu)


BAHIRAH & IRWAN SHAH?


“Irah! What’s wrong?” risau Irwan Shah. Jangan pula Bahirah menangis di sini.

“Nothing along. I’m fine,” Bahirah kembali tunduk. Nasi di pinggan dikuis-kuis.

“Irah look! Apa kata esok along bawa Irah balik ke rumah Irah? After that kita pergi beli handphone baru untuk Irah. Boleh?” Irwan Shah cuba mengubah topik bagi mengembalikan keceriaan Bahirah.

“Esok?” berkerut dahi Bahirah. “Along tak kerja?” soal Bahirah kehairanan.

Sambil mengelengkan kepalanya… “Nope!” Jawabnya ringkas.

“Why?” soal Bahirah lagi.

Wajah Bahirah ditatap seketika. Keluhan nipis dilepaskan. “Just want to spend sometime with you. And I’ll do anything for you dear. Anything,” ucap Irwan Shah perlahan.

Bahirah kaku di kerusi. Terasa sesuatu mengalir ke dalam hati, jantung, paru-paru dan apa saja organ dalamannya. Matanya terpaku memandang Irwan Shah. Irwan Shah juga membalas pandang dengan memandang tepat ke anak mata Bahirah. Keadaan sekeliling dirasakan sepi. Bagaikan hanya mereka berdua saja di situ.

Tiba-tiba terdengar bunyi benda jatuh dari meja berdekatan. Bahirah terkejut. Baru dia sedar dia tenggelam dalam renungan Irwan Shah tadi. Bahirah mengelabah. Dalam kalut dia terus berdiri dan meninggalkan meja tergesa-gesa.

Irwan Shah juga terkejut. Dan bertambah terkejut dengan tindakan Bahirah. Dia lantas menggamit pekerja gerai dan terus meletakkan dua keping wang kertas sepuluh ringgit di tapak tangan pekerja tersebut. Irwan Shah segera mengejar Bahirah.

“Irah? Kenapa ni?” tercungap-cungap Irwan Shah. Berdiri di hadapan Bahirah, kedua-dua lengan Bahirah dipegangnya erat. Wajah Bahirah dipandang menyeluruh. Dia cuba membaca apa yang tersirat di wajah Bahirah.

Bahirah tunduk. “Irah nak balik!” ungkapnya perlahan.

“Along salah cakap ke Irah?” Irwan Shah terus bertanya.

Laju Bahirah mengelengkan kepalanya.

“Then? Talk to me Irah. Please!” rayu Irwan Shah.

Bahirah tetap mengelengkan kepalanya.

“Irah look! Kalau ada apa-apa jangan disimpan. Share with me..” pujuk Irwan Shah lagi.

Keluhan dilepaskan. Bahirah memandang wajah tampan Irwan Shah seketika. Segaris senyum terbit di bibir nipis Bahirah. Perlahan-lahan Bahirah tarik tangan dia dari pegangan Irwan Shah.

“Irah ok. Along jangan risau ya? If I need someone to talk to, Irah akan cari along. But for now, kita lupakan dahulu. Jom kita balik,” tutur Bahirah lembut dan sedikit manja.

“Are you sure?” tanya Irwan Shah untuk kepastian.

“Very sure! Irah tak apa-apa.” jawab Bahirah yang masih lagi tersenyum. “Irah ngantuk. Jom balik along,” sambungnya lagi. Bahirah mula melangkah menuju ke kereta. Irwan Shah akur. Matanya masih tak lepas memandang Bahirah walaupun dari belakang.

Mereka tiba di rumah bila jam sudah beranjak ke pukul dua empat puluh lima pagi. Sebagaimana mereka keluar rumah tadi, sebegitu juga cara mereka masuk. Irwan Shah tidak mahu tidur umi dan Mak Tonnya terganggu.

Di tingkat atas, di hadapan pintu kamar Bahirah, Irwan Shah memegang tombol pintu. Dia berdiri di hadapan Bahirah. Direnungnya Bahirah bagaikan ada perkara yang ingin diluahkannya .

“Along?” Bahirah seolah berbisik.

Irwan Shah masih seperti tadi. Matanya meratah wajah Bahirah bagaikan tidak jemu dipandangnya. Irwan Shah menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan.

“Selamat malam Irah. Sleep well, ok? Esok I’m all yours,” bisik Irwan Shah satu per satu, begitu dekat di telinga Bahirah. Terasa panas hembusan nafas Irwan Shah di tengkuk Bahirah. Kaku Bahirah tak berganjak langsung.

Satu senyuman yang boleh menggetarkan hati sesiapa sahaja, diberikan pada Bahirah. Irwan Shah memulas tombol pintu dan menolak daun pintu hingga terbuka sedikit. Dengan memberi isyarat supaya Bahirah masuk ke dalam, Irwan Shah berpaling dan terus melangkah menuju ke kamarnya. Di pintu kamarnya, dia menoleh ke belakang dan kelihatan Bahirah masih tertegun di situ, memandang padanya.

“Assalamualaikum…” ucap Irwan Shah perlahan, namun masih sampai ke telinga Bahirah.

Bahirah bagaikan baru tersedar, segera masuk ke kamarnya dan pintu ditutup perlahan. Bahirah mengigil. Tangan dia terasa sejuk dan berpeluh. Kedua-dua tapak tangan ditekap ke pipinya. Bahirah memejam matanya. Jantung terasa berdegup kencang.

“Apa kena dengan aku malam ni? Aduh!!!” rungutnya pada diri sendiri. “Macamana aku boleh terbuai dengan kata-kata manis along? Kenapa sampai aku hanyut dalam renungan matanya? Ya Allah… tenangkan lah hati hamba Mu ini.”

Ini tak boleh jadi ni. Dia perlu ambil wuduk dan perlu melakukan solat sunat demi untuk menenangkan hatinya yang tak karuan pada tika ini. Bahirah segera mencapai tuala dan baju tidurnya dan terus menghilang ke dalam bilik air.

Sementara itu di kamar satu lagi, Irwan Shah terlentang di atas katilnya dengan senyuman lebar di wajah. Kedua-dua tangan ditekup di dada. Terasa degupan jantungnya yang kencang. Setiap kali bayangan wajah Bahirah melintasi ruangan matanya, degupan jantungnya bertambah kuat.

Entah kenapa dia jadi berani bila berhadapan dengan Bahirah tadi. Irwan Shah juga tak sangka dia boleh luahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Walaupun luahannya hanya bayang-bayang, namun dia pasti Bahirah memahaminya. Tak sabar rasanya nak menantikan esok. Bagaimana reaksi Bahirah bila berhadapan dan berduaan dengannya esok.

‘Wahai mata lelaplah segera. Buaikan aku ke dalam lenaku. Hiburkan aku dengan mimpi indahku. Esok akukan bangun dengan cahaya kebahagiaan menerangi hari baruku.’

Tiba-tiba bait-bait puisi terlahir dari bibir Irwan Shah. Ada bakat terpendam rupanya dia ni. Betullah kata orang, kalau hati dilamun cinta, tiada apa yang mustahil!

Sesungguhnya… cinta mampu merubah segalanya!



Thursday 21 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 3}



Keesokan harinya…

Kain baju yang dibasuh sudah siap dijemur. Shahriza melangkah masuk ke rumah. Kelihatan Jazmin sedang melayan Adi Shafeer dan Muzakir bersarapan. Jazmin menoleh sekilas pada Shahriza.

“Mari makan Iza. Aku dah siapkan bihun goreng ni,” pelawa Jazmin seraya melihat Shahriza masuk ke rumah.

Shahriza memberikan senyuman nipisnya sebelum menghilang ke dalam bilik air. Tidak lama kemudian, dia melangkah menghampiri meja makan.

“Anak-anak mana?” tanya Shahriza pabila melihat Adi Shafeer dan Muzakir sudah tiada di meja makan.

“Mereka dalam bilik. Sambung main,” balas Jazmin sambil menyenduk bihun goreng ke dalam pinggan dan serahkan pada Shahriza. “Macamana semalam? Yob cakap apa?” tanya Jazmin pula. Semalam dia tertidur semasa menunggu Shahriza habis berbual di telefon dan dia sendiri tak sedar pukul berapa Shahriza tidur.

“Yob aku nak datang hari ni. Dia risau,” jawab Shahriza perlahan sambil menyuapkan bihun ke dalam mulutnya.

“Eloklah kalau macam tu. Tapi kau sendiri macamana?”

“Aku ingat aku nak mula kemas barang. Aku rasa aku nak keluar dari rumah ini. Kalau boleh esok!”

“Esok? Kenapa cepat sangat?” Jazmin tak sedap hati dengan jawapan Shahriza.

“Biar cepat selesai semua. Aku tak mahu dia datang perambat aku pulak Min. Lebih baik aku keluar dulu,” Shahriza bangun dan membawa pinggan makannya ke sinki. Jazmin menurut dari belakang.

“Pukul berapa yob nak datang?” tanya Jazmin

Shahriza menjongketkan bahunya. Dia memandang Jazmin, “Ngape?”

“Aku nak balik rumah aku le. Segan pulak duduk sini abang kau ada,” jawab Jazmin sambil berulang-alik mengemas meja makan.

“Ishhh… kenapa pulak? Apa salahnya? Kau nak segan apa? Bukannya yob aku tak kenal kau.”

“Ala Iza… selalu tu laki aku ada sekali. Segan ler aku.”

“Relaks le Min. Bukannya aku tinggalkan kau sendirian dengan yob aku tu. Lagi pun, aku perlukan kau. Kau kekuatan aku,” Shahriza cuba memujuk.

“Okey lah.. okey lah… tapi bagi aku balik rumah aku dulu. Nak tukar baju dan nak kemas rumah sikit. Nanti aku datang balik. Muzakir aku tinggalkan dekat sini dulu ye?” ujar Jazmin setelah tewas dengan pujukan Shahriza. Shahriza tersenyum puas bila Jazmin akur dengan permintaannya.

“Min, aku ke bilik sekejap. Nak kemas apa yang patut. Nanti kalau kau datang balik, kau masuk terus ya? Pintu aku tutup tapi tak kunci,” beritahu Shahriza pada Jazmin pabila temannya itu mula melangkah keluar dari rumahnya.

Hampir sejam Shahriza mengemas baju dan barangan peribadi miliknya dan dimasukkan ke dalam beg. Dia kemudian duduk bersandar di katil memikirkan bagaimana untuk mendapatkan kotak kosong. Sambil-sambil itu Shahriza mengerling ke arah anak-anak yang sedang bermain di dalam biliknya.

Tatkala Shahriza bergerak menuju ke bilik air, tiba-tiba terdengar bunyi suara orang memberi salam.

“Mama… ade olang latang,” Adi Shafeer yang petah berkata-kata walaupun pelat, menghampirinya.

“Ada orang datang?” Shahriza sekadar bertanya pada anaknya, walhal dia sendiri mendengar salam yang diberi. “Jom, kita tengok,” dia menarik tangan kecil anaknya keluar bilik.

“Eh! Ayah yob latang…,” belum sempat Shahriza bersuara, anaknya sudah menyebut dahulu. Adi Shafeer melepaskan pegangan tangan mamanya dan terus berlari mendapatkan Shahrizal yang tersenyum lebar di pintu pagar.

“Hai… hero ayah yob dah besar,” segera anak kecil itu didukung. Kedua-dua belah pipi tembam Adi Shafeer dicium. “Ayah yob rindu sangat dengan Shafeer,” luahnya tatkala tubuh anak kecil itu didakap erat. Adi Shafeer segera membalas pelukan bapa saudaranya itu.

“Yob…,” tangan Shahrizal diraih dan diciumnya sebagai tanda hormat. “Jom masuk. Yob datang naik apa?” soal Shahriza bila kereta abangnya tidak kelihatan.

Shahrizal yang masih mendukung Adi Shafeer melangkah masuk ke rumah. Sambil itu, dia mengagah-agah anak saudaranya itu. Terkekek-kekek Adi Shafeer diperlakukan sebegitu.

“Naik teksi. Iza apa khabar?” Shahrizal melabuhkan punggungnya di sofa. “Ini siapa?” mulutnya dimuncungkan menunjuk ke arah Muzakir.

“Ini anak Jazmin, jiran Iza. Yob ingatkan?” balas Shahriza.

Adi Shafeer meronta-ronta minta dilepaskan dari dakapan Shahrizal. Shahrizal segera melepaskan Adi Shafeer, dan anak kecil itu berlari terus pada Muzakir. Mereka sambung main.

“Apa ceritanya Iza?” soalan diajukan, namun mata masih ralit memandang ke arah anak-anak kecil yang sedang bermain.

Shahriza melepaskan keluhan. Dia duduk di sisi abangnya. Sharizal mengalihkan perhatian pada adiknya pula. Baru dia perasan akan perubahan pada diri adiknya. Berkerut dahinya.

“Iza tak sihat ker? Yob tengok Iza ni kurus sangat. Kenapa ni?”

“Iza sihat yob,” jawab Shahriza perlahan.

“Habis tu, cuba cerita dekat yob, apa sebenar yang berlaku?”

Shahriza memandang sayu ke wajah abangnya. Dia tak tahu macamana nak mulakan cerita. Nafas ditarik dalam sebelum dihembuskan perlahan.

“Hal ni dah lama. Hanya, Iza sengaja tak nak bagitahu sesiapa. Tapi… yang menjadi lebih teruk bila abang Adi kawin dengan pegawai atasan dia, tiga bulan yang lepas. Bila dia dah mula rasa hidup senang, dia abaikan Iza dengan Shafeer,” cerita Shahriza pada abangnya.

“Semenjak itu dia dah tak balik ke rumah. Hanya semalam dia datang sekejap. Itu pun untuk hantar borang cerai. Lepas Isyak semalam, Iza terima SMS dari dia,” Shahriza bangun dan terus mengambil telefon bimbitnya. Segera mesej dari Adi Razman dibuka dan ditunjukkan pada Shahrizal.

“Melampau dia ni!” Shahrizal mengumam geram selepas mesej itu dibacanya. “Simpan SMS ni. Mungkin kita akan memerlukannya kemudian hari,” pesan Shahrizal tatkala telefon bimbit adiknya diserahkan kembali.

“Yob duduk kejap. Iza ke dapur sebentar,” ucap Shahriza yang bangun dan melangkah menuju ke dapur.

“Iza, yob ingat esok Iza pindah balik kampung. Yob dah dapatkan lori. Pagi esok mereka sampai,” ujar Shahrizal pabila Shahriza menghidangkan bihun goreng dan air teh untuk abangnya.

“Macamana ayah dengan ibu? Mereka tak terperanjat ke kalau tiba-tiba Iza balik?”

“Itu Iza jangan risau. Yob dah cerita sedikit sebanyak tentang apa yang Iza bagitahu yob semalam. Ayah yang suruh yob bawa Iza dengan Shafeer balik kampung. Ayah tak nak Iza sendiri-sendiri di sini. Takut entah apa-apa yang Adi buat nanti.”

Shahriza hanya tunduk, diam.

“Oh ya… yob tidur sini malam ni. Yob nak tolong Iza berkemas,” sambung Shahrizal lagi. Shahriza mengangguk dan tersenyum.

“Errr..yob, yob ikut Iza ke pejabat sekejap boleh? Iza nak hantar surat perletakan jawatan.”

“Bukan ker hari ni half day? Errr…. Iza memang tak kerja ker hari ni?” soal Shahrizal.

“Haah.. Iza ambil emergency leave. Tapi Iza dah call boss bagitahu Iza nak datang and minta dia tunggu. So, Iza kena ke sana before two,” jawab Shahriza.

Shahrizal menganggukkan kepalanya dan seketika kemudian tumpuan beralih ke anak saudaranya. Sebak di hatinya ditahan. Tak sangka adiknya akan tempuhi keadaan seperti ini di usia yang terlalu muda. Bila kenangkan pula anak saudaranya, hatinya bertambah sayu.

Dalam diam, Shahrizal mencuri pandang ke arah adiknya. Terdetik rasa sebak di hatinya bila lihat tubuh Shahriza yang dulu agak berisi tapi kini sudah kurus. Namun jauh di lubuk hatinya, dia kagum dengan perubahan diri adiknya itu. Shahriza kelihatan lebih cantik dan lebih menawan. Dengan tubuh yang sedia tinggi itu, kini sudah kelihatan makin lampai. Gaya tubuh seorang peragawati, ramping dan lampai. Shahrizal percaya pasti ada suatu hikmah di sebalik perpisahan Shahriza dengan adik iparnya Adi Razman. Tanpa sedar, tersungging segaris senyum di wajahnya.





Tuesday 19 November 2013

~ TEASER : KASIH BERTAMU (Belum Waktu)



BAHIRAH & NASRIQ



Nasriq tiba-tiba berhenti. Bahirah terasa tangannya ditarik. Bahirah menoleh. Pandangan mereka bertaut. Renungan mata Nasriq begitu mempesonakan.

“Irah… betulkah dengan apa yang Irah cakap tadi? Irah memang tak sudi nak terima Nas dalam hidup Irah?” gemersik suara Nasriq tatkala bertanyakan soalan ini meruntun hati Bahirah.

Bahirah menyentuh pipi Nasriq. Renungan mata mereka masih berlaga sesama. “Maafkan Irah. Irah gurau saja tadi. Takkan Nas tak boleh bezakan antara gurauan dengan serius?” balas Bahirah lembut.

“Tapikan Irah masih belum dapat menerima Nas?”

“Siapa cakap?”

“Action speaks louder than words,” jawab Nasriq sambil menyambung langkah.

“Then, you’re not a good predictor!” balas Bahirah pula. Terhenti langkah Nasriq. Segera dia berpaling kerana Bahirah masih berdiri di tempat tadi.

“Betul ke apa yang Nas faham ni?” Nasriq seperti tidak percaya.

“What do you think?”

Nasriq menghampiri Bahirah. Kedua-dua bahu Bahirah dipegangnya. Direnungnya mata Bahirah bagai mencari-cari kebenaran dengan apa yang baru dia fahami.

“I think… you do love me! Am I right?” soal Nasriq yang masih tidak memutuskan tautan renungan matanya dengan Bahirah.




Friday 15 November 2013

~ TEASER : KASIH BERTAMU (Belum Waktu)



BAHIRAH & ALI HADI


“Sayang, kenapa ni?” Ali Hadi semakin risau bila Bahirah tidak bersuara langsung.

“Errr… nothing. Tak ada apa-apa. Apa awak tanya tadi?” sekadar untuk melindungi keresahan yang terpamer di wajahnya.

Ali Hadi memandang Bahirah dengan penuh rasa kasih. Senyuman yang begitu menawan diberikan pada Bahirah. Kali ini Bahirah cuba membalas pandangan mata Ali Hadi.

“Sayang, apa kata kita kahwin nak?” satu lagi soalan dari Ali Hadi. Tapi kali ini ianya benar-benar memeranjatkan Bahirah.

Bahirah memandang Ali Hadi. Bulat matanya memandang tidak berkelip. Dia benar-benar terkejut. Ingatkan nak bincang pasal soal hati saja. Tak sangka pula Ali Hadi lebih advance.

“Awak biar betul?” balas Bahirah.

“Apa pulak tak betulnya?” Ali Hadi menyoalnya kembali.

“Bukan ke masih terlalu awal?” Bahirah cuba berdolak-dalik. Dalam kepalanya terbayang wajah umi dan sepupu-sepupunya. Terutama along. Irwan Shah! Bagaimana reaksi Irwan Shah andai hal ini disampaikan pada mereka?

“Awal? Sayang, Kita dah bersama hampir enam bulan. Kita dah kenal hati budi masing-masing,” rayu Ali Hadi.

“Memang betul. Tapi kita masih tak kenal keluarga masing-masing. Irah sendiri belum pernah jumpa dengan keluarga awak. Bagaimana pula dengan penerimaan mereka terhadap Irah?” balas Bahirah.

“Sayang, kenapa cakap macam tu. Famili saya dah tau semua pasal sayang. Hanya untuk bertemu saja belum masanya lagi. Saya ingat masa bertunang nanti baru saya nak temukan sayang dengan mereka. Baru surprise,” Lembut suara Ali Hadi memujuk Bahirah.




Tuesday 12 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 2}




Malam hari yang sama…

Terkilan sungguh Shahriza dengan tindak tanduk Adi Razman. Kalau ya pun bencikan dia, jangan pula anak mereka dijadikan mangsa. Apa salahnya masuk sebentar ke rumah dan bertemu dengan anak tunggal mereka, Adi Shafeer. Tak pun, boleh saja dipanggilnya anaknya itu untuk bertemu dengannya di pintu. Shahriza tak tahu nak cakap apa. Dia sendiri malu dengan Jazmin.

“Iza… mari makan. Ni lauk aku masak tengahari tadi,” pelawa Jazmin yang kelihatan sedang duduk di meja makan.

“Thanks Min. Kau memang tak kesah ke tidur kat rumah aku ni?” Shahriza rasa serba salah bila Jazmin menawarkan diri untuk bermalam di rumahnya.

“Aku tak kesah Iza. Lagi pun, laki aku tak ada. Dia lusa baru balik. Aku pun dah minta izin dari dia. Dia pun pesan supaya tidak tinggalkan kau sorang-sorang,” balas Jazmin sambil tangan ligat menyeduk nasi dan lauk-pauk ke dalam pinggan Shahriza.

“Terima kasih Min. Kau lah kawan aku dunia akhirat,” Shahriza benar-benar terharu dengan apa yang dilakukan Jazmin.

“Mari makan. Anak-anak pun dah tidur. Penat main sepanjang hari tadi,” tutur Jazmin yang cuba mengubah topik perbualan agar Shahriza tidak bersedih.

Selesai mengemas, mereka berehat di ruang tamu. Rumah teres yang mereka duduki ini punyai ruang tamu yang agak luas. Shahriza bersama Jazmin selalu tidur di situ bersama anak-anak mereka andaikata Jazmin bermalam di rumah Shahriza. Sambil baring-baring, mereka menonton tv.

Tiba-tiba telefon bimbit Shahriza berbunyi. Ada SMS masuk. Segera dia mencapai telefonnya dan membuka Inbox. SMS dari Adi Razman! Berkerut dahi Shahriza, kehairanan. Jazmin hanya memerhati Shahriza.

“Ya Allah!” tercetus dari bibir nipis Shahriza. Tiba-tiba Shahriza menangis. Jazmin terperanjat.

“Kenapa Iza?” tanya Jazmin, risau.

Shahriza masih terus menangis. Jazmin segera menghampiri Shahriza lantas tubuh Shahriza didakapnya. Dibiarkan Shahriza melempiaskan tangisan di bahunya. Jazmin akan bertanya kemudian, kerana sudah pasti Shahriza tak mampu untuk berkata-kata kalau begitu tangisannya.

Bila tangisan kian reda, Jazmin menolak sedikit tubuh Shahriza. Dia pandang wajah temannya yang basah dek airmata.

“Iza, bagitahu Min… Iza kenapa ni? SMS dari siapa tadi?” tanyanya terus.

Shahriza masih tidak berkata-kata. Dia hanya menyerahkan telefonnya pada Jazmin. Jazmin segera mencapainya dan membaca mesej yang masih tertera di skrin telefon. Terbuntang matanya tatkala membaca isi mesej yang dikirim Adi Razman.

“Aku dengan kau sudah tidak ada apa-apa lagi lepas ni.
Tolong keluar dari rumah itu sebab
aku tak mampu untuk membayar sewanya lagi!”

“Astaghfirullahalazim… apa ni? Kenapa Adi buat macam ni?” Jazmin benar-benar terperanjat. Sungguh dia tak sangka.

“Apa salah aku Min? Apa dosa aku pada dia Min? Kenapa dia buat aku macam sampah? Kalau ya pun dia sudah beristeri baru, kenapa dia buang aku macam ini?” rintih Shahriza.

Jazmin sekadar memandang temannya dengan penuh simpati. Dia sendiri tak tahu nak jawab macamana.

“Min, kenapa dia tak pulangkan aku pada keluarga aku sebagaimana masa mula-mula dia nakkan aku dulu? Kenapa dia buat aku begini? Macamana harus aku jelaskan pada keluarga aku Min?”

Jazmin memeluk bahu Shahriza. Dia sendiri pun buntu. Wajahnya juga sudah dibasahi airmata. Jazmin memandang Adi Shafeer dengan penuh simpati.

“Iza… kau sabar ya? Aku rasa lebih baik kau telefon keluarga kau Iza. Mana tahu mereka boleh bantu,” Jazmin bersuara cuba memberi pendapat.

Shahriza memang bekerja. Namun, sebagai kerani, berapa sangat gaji yang diperolehinya. Bagaimana harus dia langsaikan hutang sewa rumah yang sudah dua bulan tidak dibayar? Sudahlah selama ini semua bil-bil dia yang tanggung. Tidak termasuk dengan perbelanjaan rumah dan duit ansuran kereta. Sesungguhnya, dia memang sudah tidak mampu untuk terus tinggal di rumah sewa itu lagi.

“Kau rasa macamana reaksi keluarga aku andai mereka tahu apa yang aku lalui sekarang ini?” tanya Shahriza pada Jazmin.

“Aku tak pasti Iza. Tapi aku rasa adalah lebih baik kau berterus-terang saja. Mereka pasti faham. Haaa…. Apa kata kau call abang kau? Jangan terus pada ibu bapa kau kalau kau tak mahu mereka terkejut,” saranan Jazmin menaikkan sedikit semangat Shahriza.

“Betul cakap kau Min. Lebih baik aku call abang aku dulu,” dalam sebak Shahriza segera mencapai telefon bimbitnya dan terus menghilangkan diri ke dalam biliknya.

Nada di telefon berbunyi seketika sebelum panggilannya dijawab.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara garau memberi salam.

“Waalaikumussalam yob. Yob dekat mana ni?” Shahriza terus bertanya pada abang kandungnya, Shahrizal.

“Yob on the way nak balik rumah. Ada kenduri di rumah Tok Ketua,” balas Shahrizal ceria.

“Ayah ada dengan yob tak?”

“Ayah tak pergi. Tak berapa sihat katanya tadi.”

“Tak sihat? Ayah kenapa? Teruk ke?” Shahriza mula serba salah.

“Tak teruk. Sakit perut je. Tadi abang Ghani hantar durian dan rambutan ke rumah. Iza tau jer kan, ayah tu bila dapat buah-buahan tu, bukannya ingat kita dah,” Shahrizal gelihati bila teringatkan gelagat ayahnya masa makan buah-buahan petang tadi.

“Oohh… Alhamdullillah lah kalau macam tu,” balas Shahriza lemah.

“Iza kenapa ni? Lain macam jer bunyi?”

Shahriza diam. Dia jadi serba salah samada perlu beritahu ataupun tidak pada abangnya. Kalau tak diberitahu, lambat laun kena cakap juga. Lagipun dia sendiri dah tak tahu nak kemana bila keluar dari rumah ini.

“Iza? Iza kenapa? Ada masalah ke?” Shahrizal terus bertanya selepas tiada balasan dari adiknya.

“Yob…” Shahriza kembali sebak.

Tersentak Shahrizal bila dengar suara sebak adik kesayangannya.

“Iza… cuba cakap, Iza kenapa? Kalau tak, malam ni jugak yob ke sana,” Shahrizal dah tak sabar dek kerana dia terlalu risau bila dengar adiknya menangis.

“Yob… Adi tinggalkan Iza,” Shahriza menutur perlahan. Sendu yang ditahan kini terkeluar juga. Shahrizal terperanjat.

“Apa Iza cakap ni? Tinggalkan Iza? Dia ke mana?” sungguh Shahrizal tak faham.

“Dia nak ceraikan Iza, yob. Dia dah kahwin lain dan sekarang dia halau Iza keluar dari rumah ini,” tutur Shahriza dalam tangisnya.

“Apa???!!!” Sungguh Shahrizal tak sangka. Selama ini sangkanya adiknya bahagia. Setiap kali balik kampung, Adi Razman melayan adiknya dengan penuh kasih sayang. Tapi, baru dia teringat, sudah lebih empat bulan adiknya tak balik kampung. Selalu alasan, suaminya sebuk, dan dia tidak dibenarkan balik sendiri. Memang dari mula dulu Adi Razman memang tak benarkan isterinya balik kampung sendirian.

Shahrizal segera memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia tidak betah memandu dalam keadaan hati yang tidak tentu arah sebegitu. Dia memang tak boleh dengar atau lihat adik kesayangannya menangis.

“Iza… apa cerita sebenarnya ni?” Shahrizal bertanya lembut untuk menenangkan Shahriza dan dalam masa yang sama cuba kawal diri sendiri untuk bertenang.

“Yob… Iza buntu. Iza tak tahu nak buat apa. Tolong Iza, yob,” rayuan Shahriza merobek hati Shahrizal.

“Iza, esok yob ke sana. Kita bincang,” akhirnya Shahrizal membuat keputusan.

“Tapi yob…. tolong jangan bagitahu ibu dengan ayah dulu. Iza tak nak mereka kecewa dengan Iza,” pinta Shahriza.

“Kecewa apa pulak ni? Udah lah, esok kita bincang. Jangan risau pasal ayah dengan ibu. Tahulah yob macamana nak buat. Tunggu yob dekat rumah. Iza jaga diri baik-baik. Jaga Shafeer tu,” pesanan ditinggalkan sebelum talian dimatikan.

Shahriza menyembamkan mukanya ke bantal di atas katil. Dia tak mahu Jazmin dengar tangisannya.









Saturday 2 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 1}


Pada suatu hari…

Hujan lebat sebentar tadi kini sudah reda. Dia masih termenung di jendela memerhati rintik-rintik saki-baki hujan yang masih membasahi bumi. Begitulah juga agaknya hati yang sedang menangisi akan nasib dirinya ini. Satu keluhan dilepaskan.

“Iza… marilah duduk sini. Min dah siapkan air ni. Ngape duduk ngadap hujan tu?” teguran Jazmin mengejutkan Shahriza yang sedang leka di jendela.

Senyuman hambar diberikan pada jirannya itu. Sekilas anak-anak yang sedang bermain dipandang.

“Aku tuan rumah, kau pula yang hidangkan aku air. Maafkan aku Min.”

“Ish… takde halnya Iza. Bukannya aku tak biasa. Selalu pun aku lepak dekat sini,” secawan nescafe panas disuakan kepada Shahriza.

“Umi… Akir nak minum!” Shahriza dan Jazmin menoleh ke arah suara kecil itu. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki melangkah menghampiri mereka.

“Alalalaa… anak umi nak minum ya?” segera tubuh kecil Muzakir diraihnya. “Nah… minum elok-elok. Jangan tumpah,” pesan Jazmin sambil menyuakan cawan ke mulut anaknya.

“Shafeer nak minum?” tanya Jazmin pada anak Shahriza pula. Shafeer menganggukkan kepalanya dan mula menghampiri Jazmin. Cawan air yang disuakan padanya diambil dengan penuh hati-hati.

Shahriza sekadar memandang saja akan tingkah laku anak tunggalnya bersama anak Jazmin, yang kedua-duanya baru berusia 3 tahun. Tak tahu bagaimana anaknya akan hadapi semua ini. Dia sendiri bingung bila memikirkannya. Memanglah selama ini pun anaknya seperti tak kesah, tapi kita sendiri tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam hati dan fikiran budak berusia 3 tahun.

“Apa Iza nak buat? Dah empat bulan kan?” tiba-tiba Jazmin ungkit kembali isu yang mereka bincang sebelum hujan tadi.

“Entahlah Min. Aku benar-benar buntu ni. Aku seperti tak ada hak untuk buat keputusan. Tangan aku terikat Min,” lirih jawapan dari Shahriza mengundang sebak di hati Jazmin.

“Bagaimana dengan keluarga kau, mereka tahu?”

Shahriza sekadar mengelengkan kepalanya. Lemah.

“Tapi kenapa? Aku rasa lebih elok kau luahkan masalah kau pada mereka Iza. Mereka berhak tahu,” ujar Jazmin setelah Shahriza tidak bersuara.

Hanya keluhan yang dilepaskan. Shahriza masih berdiam.

“Iza… aku rasa kau boleh saja buat aduan di Mahkamah Syariah. Jangan kau seksa diri kau macam ni.” Jazmin masih lagi cuba memberi nasihat.

“Aku tahu itu Min. Tapi aku rasa aku nak bincang dulu dengan abang Adi. Aku tak berani nak bertindak sendiri. Kau bukan tak tahu macamana layanan dia pada aku kebelakangan ini,” Shahriza benar-benar pasrah dengan apa yang sedang dia hadapi kini.

“Itu aku dah sedia maklum. Tapi so far dia tak pernah pukul kau kan?” Jazmin sungguh tidak berpuashati dengan Shahriza. Baginya Shahriza terlalu bagi muka dan sebab itulah suaminya, Adi Razman suka-suka pijak kepala Shahriza.

“Physically tak lah… tapi mentally tu yang buat aku tak tahan. Mahu sakit jiwa aku, Min…” kedengaran sebak suara Shahriza. Ini bermakna dia dah tak kuat untuk bertahan.

Jazmin beralih tempat duduk. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Shahriza. Bahu Shahriza dipeluknya.

“Iza… kau tak boleh terus begini. Aku takut kau parah nanti. Kau suka simpan sendiri-sendiri. Kalau aku tak tanya, harus aku tak tahu apa yang kau alami selama ini. Tengok ni, tubuh dan wajah kau yang dulu berisi dan gebu kini dah mencengkung,” Jazmin mencuit pipi cengkung Shahriza. Nafas ditarik dalam sebelum bicara disambung semula… “Iza… aku tahu kau kuat. Tapi sekuat mana pun kita, lama-lama akan patah jua. Aku takut masa tu semua dah terlambat. Kau fikirkan juga dengan Shafeer tu. Apa akan jadi pada dia kalau kau sendiri dah kecundang?” panjang lebar tutur Jazmin pada Shahriza, mengharapkan temannya itu mahu terima nasihatnya.

Shahriza memandang wajah Jazmin dengan pandangan yang sayu. Hatinya benar-benar sebak dengan kata-kata temannya itu. Namun sehingga kini, setitik pun airmatanya tidak gugur. Dia sendiri pun tak tahu kenapa.

“Min, aku masuk solat dulu. Nanti habis pulak asar,” ujar Shahriza. Jazmin membiarkan sahaja.

Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi pintu kereta ditutup. Jazmin bangun dan mengintai dari jendela.

“Adi? Balik pulak dia hari ni?” luah Jazmin perlahan.

“Assalamualaikum!” kasar sekali salam diberi. Yang memberi salam berdiri di muka pintu, tidak nampak seperti mahu melangkah masuk ke rumah. Jazmin sekadar memerhati. Salam disambut perlahan.

“Min! Iza mana?” tanya Adi Razman serius.

“Iza solat. Masuklah dulu. Sekejap lagi dia keluar,” balas Jazmin malas.

“Aku datang nak hantar ini. Tolong bagi dekat dia. Minta dia tandatangan,” Adi Razman bersuara sambil menghulur sekeping sampul surat. Tiada kemesraan dalam tutur bicaranya.

Jazmin capai sampul yang dihulurkan. Dia memandang wajah suami temannya itu dengan pandangan penuh tandatanya.

“Tolong suruh dia sign dekat tempat yang dah ditanda. Lepas tu bagi aku balik. Aku nak cepat!” kasar sekali Adi Razman mengeluarkan perintah.

Jazmin melepaskan keluhan. Dia segera ke bilik Shahriza. Kelihatan Shahriza di tahiyat akhir. Jazmin duduk di sebelah Shahriza menantikan dia habis solat. Usai memberi salam, Shahriza memandang Jazmin dengan kerut di dahi. Jazmin segera serahkan sampul surat di tangannya pada Shahriza.

“Iza, laki kau ada kat luar. Dia suruh kau sign benda dalam ni. Dia nak cepat. Kau tak nak keluar jumpa dia ker?”

Shahriza menganggukkan kepalanya. Pada masa yang sama, isi sampul dikeluarkan. Keluhan dilepaskan. Dalam hati dia beristighfar berkali-kali. Tanpa soal tanpa bicara, Shahriza bangun dan mencapai pen di atas meja soleknya dan segera menurunkan tandatangan di tempat yang telah ditanda. Setelah pasti semuanya telah ditandatangani, Shahriza menyerahkan kembali sampul surat berserta isinya kepada Jazmin.

“Min, aku malaslah nak jumpa dia. Kau tolong serahkan balik sampul ni,” lemah suara Shahriza.

Terbuntang mata Adi Razman bila lihat Jazmin yang muncul dan mengembalikan sampul surat tadi. Dia ingatkan Shahriza yang akan keluar bertemu dan bertanya padanya. Geram sungguh rasa di hati, bila isterinya begitu selamba menandatangani borang yang diberi tadi tanpa bertanya dan segera pula memulangkan padanya.

Adi Razman mengambil sampul yang dihulurkan dengan kasar. Dia memandang Jazmin dengan geram. Dengusan kasar dilepaskan. Adi Razman terus ke keretanya dan tidak lama selepas itu dia memecut keretanya meninggalkan kawasan rumah teres yang disewanya itu.

“Iza?” Jazmin muncul kembali di bilik. “Kau sign apa tadi tu?”

Shahriza memandang Jazmin. Segaris senyum tawar diberikan. “Borang permohonan cerai,” jawabnya sambil menanggalkan telekung di badan. Setelah itu dia keluar dan terus mendapatkan anaknya, Adi Shafeer. Jazmin yang masih di dalam bilik, terkedu hingga tidak terkata.

“Shafeer… pergi mandi sayang. Dah lewat dah ni.” Adi Shafeer memandang wajah mamanya. Dia berkalih memandang ke arah pintu pula. Kemudian wajah mamanya direnung kembali. Adi Shafeer akhirnya bangun dan terus menerpa ke arah Shahriza. Dipeluknya Shahriza kuat.


Jazmin dan anaknya, Muzakir hanya memerhatikan saja.