Purple Flowers

Monday 13 January 2014

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 7}




Hari yang sama…

Shahriza mematikan enjin keretanya. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, kelihatan motosikal yang ditunggangi Shahrizal memasuki kawasan perkarangan rumah mereka. Shahrizal berhenti betul-betul di belakang kereta Shahriza.

“Kenapa ni Iza? Accident ker?” tanyanya terus.

Shahriza memandang ke arah bonet keretanya. Keluhan nipis dilepaskan. “Yob dari mana ni?” tanya Shahriza pula tanpa menjawab soalan abangnya itu.

“Yob dari sekolah. Ada kokurikulum. Ni kenapa?” soalnya lagi sambil menunjuk ke arah kereta Shahriza.

“Kena hentam dekat traffic light. Mungkin sebab Iza berhenti mengejut tadi,” balas Shahriza lemah.

“Teruk kereta Iza ni. Iza okey?” tanya Shahrizal lagi.

“Alhamdullillah. Yob jangan risau okey? Iza tak apa-apa,” balas Shahriza. Tangan menyelongkar beg tangannya dan seketika kemudian dia mengeluarkan sesuatu dan terus diletakkan di dalam tangan Shahrizal.

“Apa ni?” berkerut dahi Shahrizal melihatkan lipatan berberapa helai wang kertas RM50 dalam tangannya.

“Orang yang langgar Iza tu kasi. Dia kata kalau tak cukup, call dia. Ada dia sertakan nombor phone dia sekali. Okeylah yob… Iza masuk dulu. Kang terlepas asar.”

“Lima ratus ni! Hmm… banyak juga dia bagi ni Iza.”

Shahriza yang sudah melangkah masuk ke rumah, tiba-tiba berpaling mengadap abangnya.

“Lima ratus? Iza pun tak pasti sebab Iza tak check langsung tadi,” Shahriza mengangkat kedua-dua bahunya.

“Kalau macam ni, nanti yob hantar kereta Iza ke bengkel.”

Shahriza hanya menganggukkan kepalanya dan terus menghilang ke dalam rumah. Shahrizal pula membelek business card yang ada di dalam tangannya.

“Hmm… Aidi Haiqal bin Hamidi. Jurutera Kanan. Boleh tahan,” Shahrizal berbicara sendiri. Tersungging senyuman di bibirnya.

“Assalamualaikum,” suara orang memberi salam mengejutkan Shahrizal.

“Waalaikumussalam. Eh! Norzie. Tak balik lagi?” Shahrizal menyahut salam Norzie, yang merupakan teman karib Shahriza.

“Esok pagi yob. Ni pun baru balik dari KLIA. Nak kemas rumah dulu baru boleh balik,” balas Norzie ceria.

“Mak dengan ayah dah berlepas?”

“Sudah yob. Insyaallah dua minggu mereka di sana. Oh ya! Iza ada yob?”

“Ada kat dalam. Pergilah masuk,” balas Shahrizal sambil menyorong motosikalnya ke tepi rumah.

Norzie berdiri di muka pintu dengan memberi salam. Namun salamnya tidak disahut. Dia segera menanggalkan seliparnya dan melangkah ke dalam rumah.

“Assalamualaikum tuan rumah! Saya masuk ke dalam dah ni…” laungnya tanpa segan.

“Waalaikumussalam. Ya Allah Norzie! Makcik ingat siapa tadi. Kamu tak balik lagi ke?”

“Insyaallah esok makcik. Ni pun baru balik dari KLIA. Ingat nak kemas rumah dulu sebelum balik,” balas Norzie sambil salam dan mencium tangan Hajjah Raja Zarina. “Iza mana makcik?”

“Ada dalam bilik. Solat rasanya. Norzie duduk dulu ya. Makcik ke dapur kejap.”

“Tak apa makcik. Zie ikut makcik ke dapur,” ujar Norzie yang sememangnya sudah biasa di rumah itu. Maklumlah, dahulu dia kerap menghabiskan masanya di rumah ini. Norzie dan Shahriza merupakan teman karib yang begitu rapat. Sentiasa berdua walau ke mana. Hanya setelah Shahriza berkahwin, barulah hubungan mereka renggang sedikit.

“Hello sayang!” Shahriza yang tiba-tiba muncul terus memeluk Norzie dari belakang. Tindakan dia mengejutkan Norzie dan secara spontan temannya itu melatah.

“Adoi Iza! Tak boleh bagi salam ke?” tungkah Norzie sebaik getar jantungnya reda.

“Saja aku nak sergah kau. Aku rindu sangat dengan kau, Zie,” tubuh temannya itu lantas dipeluk dan pipinya dicium berkali-kali.

“Hish.. kau ni Iza. Kalau ya pun rindu layanan laki kau, jangan aku pulak kau kerja kan!”

Terpaku Shahriza dengar tutur Norzie. Terjegil matanya memandang wajah temannya itu. Tak sangka itu tindak balas dari teman karibnya. Norzie yang perasan akan perubahan segera memeluk tubuh Shahriza.

“Iza! Iza! Aku tak sengaja. Aku tak maksudkan begitu. Aku actually nak usik kau saja. Maafkan aku. Maafkan aku. Aku sungguh-sungguh tak berniat nak menyinggung hati kau. Aku terlupa apa yang sedang kau lalui. Maafkan aku Iza. Aku memang nak gurau saja tadi,” bagai bertih mulut Norzie menuturkan maaf di atas ketelanjurannya tadi. Matanya sendiri sudah mula ditakungi air.

Hajjah Raja Zarina hanya memerhati dari dapur. Shahrizal yang baru melangkah masuk, terkaku di pintu. Shahriza yang masih mendiamkan diri, perlahan-lahan menghela nafas panjang. Seketika kemudian dia merenung ke wajah Norzie. Kelihatan airmata meleleh lesu di pipi gadis tersebut. Dengan senyuman segaris di bibir, Shahriza menyeka airmata yang mengalir di wajah teman baiknya itu.

“Zie, aku tahu kau tak sengaja dan aku tak marah pun. Dah.. dah… usah nangis. Aku tak kesah pun. Hanya terperanjat sikit saja,” ujar Shahriza memujuk Norzie.

“Kau betul tak terasa hati dengan aku?” tanya Norzie dalam sedu sedannya.

“Aku okey sayang. Aku rindu sangat dengan kau. Mari peluk aku,” pinta Shahriza yang telah sedia mendepangkan tangannya. Tanpa berfikir panjang, Norzie segera memeluk tubuh temannya itu. Kedua-dua mereka menangis. Menangis gembira sekali dengan menangis melepaskan rindu.

“Iza… Zie… dah tu. Mari minum,” Hajjah Raja Zarina hampiri mereka dengan dulang berisi minuman di tangan. Segera Shahriza menyambut dulang tersebut dan diletaknya di atas meja.

“Iza… kau apa khabar? Aku tengok kau makin langsing dan bertambah cantik. Jeles aku!”

“Aku Alhamdullillah. Aku tengok kau pula makin sihat. Senang hati ya?” balas Shahriza.

“Senang hati sebab aku selesa dengan kehidupan aku sekarang. Aku gembira di tempat kerja. Aku gembira dengan keluarga aku. Aku gembira dapat bertemu kau semula,” terpancar sinar keceriaan di wajah Norzie.

“Kau masih sendiri? Hati kau belum dimasuki sesiapa ker?” tanya Shahriza lagi.

“Yang itu aku tak sedia lagi. Tanggungjawab aku pada adik-adik aku banyak lagi. Aku tak mahu ada yang mengganggu. Lagipun, bila aku dengar apa yang berlaku pada kau, aku takut. Takut tak mampu untuk menghadapinya.”

“Ishhh… kau tak boleh cakap macam tu. Kau tak boleh samakan kebahagiaan dan kedukaan kau hanya dengan melihat apa yang berlaku pada aku. Cuba kau lihat. Ada juga yang bahagia hingga akhir nyawa. Tengok aje mak ayah kita. Itu yang patut dijadikan panduan. Tentang aku, ini sudah ketentuan Allah. Qada dan qadar yang tertulis dan aku terima dengan redha.”

“Aku kagum dengan kau Iza. Dari dulu hingga sekarang kau sentiasa sabar. Mungkin disebabkan itu kau diuji sebegini.” Sayu pandangan mata Norzie pada Shahriza.

Suasana sepi seketika.

“Eh Iza! Apa perancangan kau selepas ini? Kau nak kerja tak?”

“Memang plan nak cari kerja pun sekarang ni.”

“Tempat aku nak pakai orang. Dan aku tahu kau pandai melukis. Apa kata kau kerja dekat tempat aku?”

“Betul ni Zie?”

“Betul lah. Apa yang tak betulnya? Kalau tak betul takkan aku cakap pada kau. Now, aku nak kau punya resume. Esok aku balik aku bagi pada manager aku. Nanti apa-apa hal aku call kau balik.”

“Okey… sekejap aku ambil resume sat,” segera Shahriza ke biliknya. Tidak lama kemudian dia muncul dengan satu sampul surat di tangan. Dia serahkan sampul surat itu pada Norzie.

“Great! Apa-apa nanti aku bagitahu kau,” gembira sungguh Norzie bila dia cuba bayangkan andai teman karibnya ini bertugas di tempat yang sama dengannya.

“Tapi kan Zie. Aku ada apply untuk sambung belajar. Nanti macamana kalau aku diterima untuk sambung belajar dan masa tu aku baru kerja?”

“Itu kita fikir bila tiba masanya. Buat masa ni kita jangan fikir dulu. Yang penting kau kena dapatkan kerja ni dulu. Nanti kau duduk dengan aku. Aku pun duduk sorang je sekarang ni.”

“Assalamualaikum… wey kak Zie bila sampai?” Shahrizana tiba-tiba muncul di pintu. Terus dia melabuhkan punggungnya di sebelah Norzie. Tangan dihulur untuk bersalam.

“Waalaikumussalam. Adalah setengah jam tadi? Zana dari mana ni, cantik bukan main?” tanya Norzie.

“Zana baru balik interview. Penatlah takde transport sendiri,” Shahrizana melepaskan keluhan. Tudung di kepala ditanggal dan disangkut di kerusi.

“Akak, nak air,” pintanya dengan wajah keletihan.

“So.. macamana dengan interview tadi? Any luck?” soal Shahriza sambil menghulurkan secawan teh pada adiknya.

“Entah lah! Dah banyak tempat Zana pergi dalam sebulan ni. Semua kena tunggu,” Shahrizana menghirup teh panas itu dengan kelegaan.

“Apa kata kalau kak Zie tolong sama? I mean, nanti kak Zie tolong tanya dekat kawan-kawan, kalau-kalau tempat diorang ada kosong.”

“Betul kak Zie? Alhamdullillah lah kalau macam tu. Zana sendiri dah penat.”

“Insyaallah. Kak Zie tolong carikan. Kalau dapat area dekat-dekat, boleh ler Zana duduk rumah kak Zie. Rumah kak Zie dekat Shah Alam. Nanti kalau Iza dapat kerja tempat kak Zie, boleh kita bertiga duduk sekali,” terbeliak mata Shahrizana mendengarkan cadangan Norzie.

“Betul ni kak Zie?”

“Betullah. Apa pulak tak betul nya? Kalau tak betul takkan kak Zie suggest kan?”

“Dekat rumah tu kak Zie tinggal dengan siapa?”

“Dah dua bulan duduk sorang. Teman serumah dan kahwin.”

“Kak Zie tak kesah Zana duduk dengan kak Zie?” tanya Shahrizana untuk kepastian.

“Kak Zie lagi happy kalau dapat duduk dengan kalian. Bilik ada tiga. Kita sorang satu.”

“Zie kerja dengan company apa? Nak bawak Iza kerja sana sebagai apa?” Shahrizal yang sedari tadi hanya mendengar, tiba-tiba menyampuk.

“Zie kerja dengan syarikat pengeluar barang mainan kanak-kanak. Tapi bukan toys. Ianya lebih untuk taman permainan. Zie bahagian R & D. Zie ingat nak rekomen Iza kerja bahagian Art & Design. Iza kan hebat pasal lukis melukis ni? Zie yakin Iza sesuai sangat untuk jawatan itu,” jelas Norzie dengan panjang lebarnya.

“Nanti bila rasa nak jalan-jalan, Iza dengan Zana datang ler Shah Alam. Nanti Zie bagi alamat. Lepas tu boleh kita ronda-ronda. Lama tak keluar dengan Iza,” tutur Norzie ceria.

“Kalau macam tu Norzie, makcik rasa lega sangat. Terima kasih banyak-banyak sebab kedatangan Norzie ni dan sudi pula nak tolong anak-anak makcik,” sahut Hajjah Raja Zarina yang muncul dengan pinggan berisi pisang goreng.

“Perkara kecil jer makcik. Lagipun Zie sayang Iza ni,” Norzie mengenyit matanya pada Shahriza.


No comments:

Post a Comment