Purple Flowers

Saturday 2 November 2013

~ Bidadarikah Aku? {Bab 1}


Pada suatu hari…

Hujan lebat sebentar tadi kini sudah reda. Dia masih termenung di jendela memerhati rintik-rintik saki-baki hujan yang masih membasahi bumi. Begitulah juga agaknya hati yang sedang menangisi akan nasib dirinya ini. Satu keluhan dilepaskan.

“Iza… marilah duduk sini. Min dah siapkan air ni. Ngape duduk ngadap hujan tu?” teguran Jazmin mengejutkan Shahriza yang sedang leka di jendela.

Senyuman hambar diberikan pada jirannya itu. Sekilas anak-anak yang sedang bermain dipandang.

“Aku tuan rumah, kau pula yang hidangkan aku air. Maafkan aku Min.”

“Ish… takde halnya Iza. Bukannya aku tak biasa. Selalu pun aku lepak dekat sini,” secawan nescafe panas disuakan kepada Shahriza.

“Umi… Akir nak minum!” Shahriza dan Jazmin menoleh ke arah suara kecil itu. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki melangkah menghampiri mereka.

“Alalalaa… anak umi nak minum ya?” segera tubuh kecil Muzakir diraihnya. “Nah… minum elok-elok. Jangan tumpah,” pesan Jazmin sambil menyuakan cawan ke mulut anaknya.

“Shafeer nak minum?” tanya Jazmin pada anak Shahriza pula. Shafeer menganggukkan kepalanya dan mula menghampiri Jazmin. Cawan air yang disuakan padanya diambil dengan penuh hati-hati.

Shahriza sekadar memandang saja akan tingkah laku anak tunggalnya bersama anak Jazmin, yang kedua-duanya baru berusia 3 tahun. Tak tahu bagaimana anaknya akan hadapi semua ini. Dia sendiri bingung bila memikirkannya. Memanglah selama ini pun anaknya seperti tak kesah, tapi kita sendiri tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam hati dan fikiran budak berusia 3 tahun.

“Apa Iza nak buat? Dah empat bulan kan?” tiba-tiba Jazmin ungkit kembali isu yang mereka bincang sebelum hujan tadi.

“Entahlah Min. Aku benar-benar buntu ni. Aku seperti tak ada hak untuk buat keputusan. Tangan aku terikat Min,” lirih jawapan dari Shahriza mengundang sebak di hati Jazmin.

“Bagaimana dengan keluarga kau, mereka tahu?”

Shahriza sekadar mengelengkan kepalanya. Lemah.

“Tapi kenapa? Aku rasa lebih elok kau luahkan masalah kau pada mereka Iza. Mereka berhak tahu,” ujar Jazmin setelah Shahriza tidak bersuara.

Hanya keluhan yang dilepaskan. Shahriza masih berdiam.

“Iza… aku rasa kau boleh saja buat aduan di Mahkamah Syariah. Jangan kau seksa diri kau macam ni.” Jazmin masih lagi cuba memberi nasihat.

“Aku tahu itu Min. Tapi aku rasa aku nak bincang dulu dengan abang Adi. Aku tak berani nak bertindak sendiri. Kau bukan tak tahu macamana layanan dia pada aku kebelakangan ini,” Shahriza benar-benar pasrah dengan apa yang sedang dia hadapi kini.

“Itu aku dah sedia maklum. Tapi so far dia tak pernah pukul kau kan?” Jazmin sungguh tidak berpuashati dengan Shahriza. Baginya Shahriza terlalu bagi muka dan sebab itulah suaminya, Adi Razman suka-suka pijak kepala Shahriza.

“Physically tak lah… tapi mentally tu yang buat aku tak tahan. Mahu sakit jiwa aku, Min…” kedengaran sebak suara Shahriza. Ini bermakna dia dah tak kuat untuk bertahan.

Jazmin beralih tempat duduk. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Shahriza. Bahu Shahriza dipeluknya.

“Iza… kau tak boleh terus begini. Aku takut kau parah nanti. Kau suka simpan sendiri-sendiri. Kalau aku tak tanya, harus aku tak tahu apa yang kau alami selama ini. Tengok ni, tubuh dan wajah kau yang dulu berisi dan gebu kini dah mencengkung,” Jazmin mencuit pipi cengkung Shahriza. Nafas ditarik dalam sebelum bicara disambung semula… “Iza… aku tahu kau kuat. Tapi sekuat mana pun kita, lama-lama akan patah jua. Aku takut masa tu semua dah terlambat. Kau fikirkan juga dengan Shafeer tu. Apa akan jadi pada dia kalau kau sendiri dah kecundang?” panjang lebar tutur Jazmin pada Shahriza, mengharapkan temannya itu mahu terima nasihatnya.

Shahriza memandang wajah Jazmin dengan pandangan yang sayu. Hatinya benar-benar sebak dengan kata-kata temannya itu. Namun sehingga kini, setitik pun airmatanya tidak gugur. Dia sendiri pun tak tahu kenapa.

“Min, aku masuk solat dulu. Nanti habis pulak asar,” ujar Shahriza. Jazmin membiarkan sahaja.

Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi pintu kereta ditutup. Jazmin bangun dan mengintai dari jendela.

“Adi? Balik pulak dia hari ni?” luah Jazmin perlahan.

“Assalamualaikum!” kasar sekali salam diberi. Yang memberi salam berdiri di muka pintu, tidak nampak seperti mahu melangkah masuk ke rumah. Jazmin sekadar memerhati. Salam disambut perlahan.

“Min! Iza mana?” tanya Adi Razman serius.

“Iza solat. Masuklah dulu. Sekejap lagi dia keluar,” balas Jazmin malas.

“Aku datang nak hantar ini. Tolong bagi dekat dia. Minta dia tandatangan,” Adi Razman bersuara sambil menghulur sekeping sampul surat. Tiada kemesraan dalam tutur bicaranya.

Jazmin capai sampul yang dihulurkan. Dia memandang wajah suami temannya itu dengan pandangan penuh tandatanya.

“Tolong suruh dia sign dekat tempat yang dah ditanda. Lepas tu bagi aku balik. Aku nak cepat!” kasar sekali Adi Razman mengeluarkan perintah.

Jazmin melepaskan keluhan. Dia segera ke bilik Shahriza. Kelihatan Shahriza di tahiyat akhir. Jazmin duduk di sebelah Shahriza menantikan dia habis solat. Usai memberi salam, Shahriza memandang Jazmin dengan kerut di dahi. Jazmin segera serahkan sampul surat di tangannya pada Shahriza.

“Iza, laki kau ada kat luar. Dia suruh kau sign benda dalam ni. Dia nak cepat. Kau tak nak keluar jumpa dia ker?”

Shahriza menganggukkan kepalanya. Pada masa yang sama, isi sampul dikeluarkan. Keluhan dilepaskan. Dalam hati dia beristighfar berkali-kali. Tanpa soal tanpa bicara, Shahriza bangun dan mencapai pen di atas meja soleknya dan segera menurunkan tandatangan di tempat yang telah ditanda. Setelah pasti semuanya telah ditandatangani, Shahriza menyerahkan kembali sampul surat berserta isinya kepada Jazmin.

“Min, aku malaslah nak jumpa dia. Kau tolong serahkan balik sampul ni,” lemah suara Shahriza.

Terbuntang mata Adi Razman bila lihat Jazmin yang muncul dan mengembalikan sampul surat tadi. Dia ingatkan Shahriza yang akan keluar bertemu dan bertanya padanya. Geram sungguh rasa di hati, bila isterinya begitu selamba menandatangani borang yang diberi tadi tanpa bertanya dan segera pula memulangkan padanya.

Adi Razman mengambil sampul yang dihulurkan dengan kasar. Dia memandang Jazmin dengan geram. Dengusan kasar dilepaskan. Adi Razman terus ke keretanya dan tidak lama selepas itu dia memecut keretanya meninggalkan kawasan rumah teres yang disewanya itu.

“Iza?” Jazmin muncul kembali di bilik. “Kau sign apa tadi tu?”

Shahriza memandang Jazmin. Segaris senyum tawar diberikan. “Borang permohonan cerai,” jawabnya sambil menanggalkan telekung di badan. Setelah itu dia keluar dan terus mendapatkan anaknya, Adi Shafeer. Jazmin yang masih di dalam bilik, terkedu hingga tidak terkata.

“Shafeer… pergi mandi sayang. Dah lewat dah ni.” Adi Shafeer memandang wajah mamanya. Dia berkalih memandang ke arah pintu pula. Kemudian wajah mamanya direnung kembali. Adi Shafeer akhirnya bangun dan terus menerpa ke arah Shahriza. Dipeluknya Shahriza kuat.


Jazmin dan anaknya, Muzakir hanya memerhatikan saja.





No comments:

Post a Comment