Purple Flowers

Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 18}

“Angah… nak ke mana tu? Angah masuk pejabat tak hari ni?” Puan Sri Badariah bertanyakan Irfan Shah pabila melihat Irfan Shah sudah bersiap-siap memakai kasut.

“Tak lah umi.  Hari ni angah still cuti.” Jawab Irfan Shah.

“Habis tu.. ni nak ke mana pulak?” Puan Sri Badariah masih bertanya.

“Angah nak keluar kejap. Nak jumpa kawan. Ada hal sikit.”

“Lama tak? Sebab kalau boleh umi nak semua anak-anak umi ada kat rumah untuk dinner nanti.”

“Insyaallah tak lama ler umi.  Ini pun baru jam dua setengah. Sebelum maghrib angah balik. OK ya umi… angah gerak dulu. Lagi lambat angah pergi lagi lambat angah balik,” Irfan Shah mengenyit mata pada uminya. Tangan uminya diraih lantas diciumnya.

Puan Sri Badariah tersenyum. “Pergilah. Tapi ingat… balik sebelum maghrib,” pesan Puan Sri Badariah.

Irfan Shah segera masuk ke dalam kereta.  Kereta di undur sambil tangan melambai pada uminya. Kereta Irfan Shah meluncur laju. Puan Sri Badariah sekadar memerhatikan sahaja sehingga kelibat kereta Irfan Shah hilang dari pandangannya.

Puan Sri Badariah bergerak masuk ke dalam rumah.  Dia kemudian melabuhkan dirinya di sofa di ruang tamu rumahnya. Puan Sri Badariah kemudian asyik memerhati ke arah potret-potret yang tergandung di dinding. Dari satu gambar ke satu gambar hingga akhirnya berhenti lama di gambar wajah Tan Sri Shahrom.  Puan Sri Badariah benar-benar rindukan arwah suaminya. Semenjak mereka berkahwin, tidak pernah sekali pun dia ditinggalkan suaminya dalam jangka waktu yang lama.  Paling lama pun  dua malam. Itu pun bila Tan Sri Shahrom terpaksa ke luar daerah demi urusan kerja.  Kalau lebih dari dua malam, Puan Sri Badariah pasti dibawa bersama.

Kini, sudah lebih sebulan arwah pergi.  Puan Sri Badariah benar-benar rasa sunyi. Begitu asyik dia menatapi wajah arwah suaminya di potret yang tergantung itu.  Airmata yang bertakung ditubir matanya sedari tadi akhirnya turun jua membasahi pipinya. Dia cuba menyeka airmatanya dari terus tumpah, tapi ianya masih mengalir.

Tanpa Puan Sri Badariah sedari, ada sepasang mata yang sedang asyik memerhatikan gelagat Puan Sri Badariah. Tak sampai hati dia nak mengganggu uminya. Tapi dia juga tak betah untuk membiarkan uminya melayan perasaan sebegitu.  Akhirnya, dia bergerak perlahan menuju ke arah Puan Sri Badariah.

“Umi…” Puan Sri Badariah terasa ada tangan memaut bahunya. Dia lantas berpaling. Terlihat akan anak sulungnya Irwan Shah sedang memandangnya dengan pandangan yang sayu.

“Along…” cepat saja jari-jari tuanya menyapu airmata yang membasahi wajahnya.

“Along buat apa kat sini? Bukan ker tadi along cakap nak baca surah Yassin untuk walid,” tanya Puan Sri Badariah.  Segan pula Puan Sri Badariah bila anaknya melihat dia dalam keadaan begitu.

“Itu tadi umi. Dah lama habis dah. Umi kenapa ni?” soal Irwan Shah lembut.

“Umi takde apa-apa along. Umi saja tengok-tengok gambar-gambar famili kita ni,” dalih Puan Sri Badariah.

“Umi… umi rindukan walid ya?” Irwan Shah bertanya lagi.  Puan Sri Badariah hanya mendiamkan diri.

“Umi…,” Irwan Shah menarik lengan uminya dan mendorong Puan Sri Badariah ke kerusi lalu dengan lembut memimpin Puan Sri Badariah agar duduk.  Puan Sri Badariah sekadar menuruti.

“Umi… umi tak elok tau buat macam ni. Kalau umi bersedih seperti ini, takut walid di sana tersiksa,”

“Umi tau along. Tapi entah lah. Tiba-tiba umi rindu sangat dengan walid,”

“Umi kalau rindu, elok umi ngaji. Jangan nangis macam ni. Tak elok umi. Nanti umi sakit. Along tak nak umi sakit,” pujuk Irwan Shah. Risau dia tengok uminya kebelakangan ini.

“Along… Mak Ton mana? Dari tadi umi tak nampak dia?” Puan Sri Badariah cuba menukar topik.  Dia tak mahu anak-anaknya risaukan dia.

Mengeleng Irwan Shah. Faham benar dia dengan sikap uminya. “Along pun tak pasti umi.  Along sendiri baru turun dari bilik. Umi nak along panggil Mak Ton ke?”

“Hmm… tak payah lah. Umi nak ke dapur nak buat air. Along nak air tak?”

“Boleh jugak. Come… along ikut umi…” Irwan Shah menarik tangan Puan Sri Badariah dan mereka dua beranak berjalan berpimpin tangan menuju ke dapur.

Setibanya di dapur, Puan Sri Badariah terus ke peti ais. Sekotak fresh orange dikeluarkan.  Kelihatan Irwan Shah telah sedia menanti di meja dengan dua biji gelas di hadapannya. Dicapainya kotak jus dari tangan Puan Sri Badariah dan menuangkan jus tadi ke dalam gelas.  Puan Sri Badariah tarik kerusi dan terus duduk.  Irwan menghulurkan gelas yang telah dipenuhi jus kepada uminya dan dia sendiri melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan dengan uminya.

Jus di gelas dihirup perlahan. Mata melilau merata dapur.  “Mana pulak Kak Ton ni?” soal Puan Sri Badariah setelah gelas diletakkan.

“Ada sini Cik Bada oiiii…..” tiba-tiba kedengaran suara Mak Ton dari arah pintu belakang. Kelihatan Mak Ton melangkah masuk dan di tangan penuh dengan sayur-sayuran.  Hasil tanaman Mak Ton di kebun kecil belakang rumah tu.

“Ni haaa… duk kutip serai, daun kunyit, halia ni hah untuk rendang nanti.. pucuk ubi ni boleh kita buat ulam cicah sambal” sambung Mak Ton.

“Waaa… banyak nya Mak Ton. Senang lah macam ni, tak payah pergi pasar beli.” Teruja sungguh Irwan Shah bila tengok sayur-sayuran segar di tangan Mak Ton.

“Senang sikit along… belakang dapur ni ada banyak kawasan kosong. Itu yang Mak Ton tanam sikit-sikit.” Terang Mak Ton.  Irwan Shah hanya menganggukkan kepala nya.

“Apa menu kita malam ni Kak Ton? Bagi sini saya tolong sama,” pinta Puan Sri Badariah.

“Ishhh… tak per ler Cik Bada oii! Benda semua dah siap. Hanya tinggal nak masak aje. Ingat selain rendang ayam, Kak Ton nak masak sup sayur, sambal tumis ikan bilis kacang kelisa, sambal belacan dengan ulam-ulaman sikit.” Kecur liur Irwan Shah bila dengar menu cadangan Mak Ton.

“Berat menu Kak Ton ni. Saya cadangkan kita dinner awal lah macam ni. Ni nanti ada yang lepas makan terus naik katil,” usik Puan Sri Badariah sambil mata menjeling Irwan Shah.

“Umiiii… along dah tak buat perangai camtu lagi tau umi… tengoklah badan along ni. Along kena jaga untuk maintain setegap gini,” balas Irwan Shah tak mahu kalah.

Ketawa Puan Sri Badariah dan Mak Ton. Irwan Shah menghirup air jus digelasnya.

“Oh ya.. umi dengan Mak Ton beria-ia masak sedap-sedap ni kenapa? Ada tetamu istimewa nak datang ker?” soal Irwan Shah.

“Ada along… memang istimewa.” Jawab Puan Sri Badariah.  “Allaaaah!” sambil tangannya menepuk dahi. “Lupa pula umi… kalau nak dinner awal, kena lah inform guest kita tu suruh datang awal,” sambungnya lagi.

“Siapa maksud umi?” Irwan Shah masih tidak berpuas hati.

“Sekejap along, Kak TOn… saya nak pergi telefon sekejap. Lewat karang kesian pulak dia,” Puan Sri Badariah terus meninggalkan dapur dan menuju ke kamarnya tanpa menjawab soalan Irwan Shah.

“Mak Ton… Mak Ton tahu ke siapa tetamu umi?” Irwan Shah bertanyakan Mak Ton pula.

“Mak Ton pun tak tahu along… umi along hanya sebut nak jemput seseorang. Tak pulak dia bagitau siapa,” balas Mak Ton sambil mengangkat kedua-dua bahunya. Mak Ton berpaling dan melangkah ke sinki. 

“Hummpphhh…” Irwan Shah melepaskan keluhan.

“Tak baik mengeluh along!” terdengar Mak Ton menegur dari dapur. Irwan Shah bangun dan membawa kedua-dua gelas yang telah kosong ke sinki untuk dibasuh. Baru saja Irwan Shah nak pegang span pembasuh, tiba-tiba Mak Ton mengetuk perlahan tangan Irwan.

“Udah… tak payah nak basuh. Tinggal aja kat situ nanti Mak Ton buat. Along pergi ler ke sana, tak payah nak semak kat sini. Mak Ton tengok dapur ni jadi kecil bila along ada di sini,” Mak Ton menghalau-halau manja sekadar untuk mengusik Irwan Shah.

“Sampai hati Mak Ton halau along…” Irwan Shah buat-buat merajuk. Bibirnya dimuncungkan, persis anak kecil yang merajuk.

“Hah! Tak payah nak muncung-muncungkan mulut tu.  Takde masa Mak Ton nak pujuk-pujuk.  Along bukan budak kecil lagi. Badan ni haa… dah besar sangat dah ni. Nak peluk pun tangan Mak Ton dah tak sampai,” lengan Irwan Shah ditepuk-tepuk Mak Ton. Dalam bergurau itu pun Mak Ton  rasa sayu dan terharu.  Anak yang dibela dari  kecil dan kini dah besar.  Dah jadi anak teruna yang bukan hanya wajah sedap mata memandang, tapi sikap dan keperibadiannya juga menyenangkan sesiapa yang mengenalinya.

Irwan Shah perasan rentak bicara Mak Ton dah kian mengendur. Dia lantas berdiri disebelah Mak Ton dan dipeluknya bahu Mak Ton dengan penuh kasih sayang.

“Tak pe Mak Ton… kalau tangan Mak Ton tak sampai nak peluk along, biar along je yang peluk Mak Ton. Tangan along sampai,” dipandangnya mata Mak Ton yang dah mula berair. Bila Mak Ton membalas pandang, Irwan Shah mengenyitkan matanya. Mak Ton tersenyum dan spontan tangannya menampar bahu Irwan Shah.

“Haaa… ni apahal pulak? Apa along dah buat dekat Mak Ton ni sampai menangis?” Puan Sri Badariah muncul tiba-tiba.  Raut kehairanan terpamir di wajahnya.

“Takde apa le umi.. biasa ler Mak Ton ni. Sensitif!” selamba Irwan Shah menjawab. Masih nak diusiknya Mak Ton dia tu.

Mengeleng Puan Sri Badariah.  Mak Ton sekadar tersenyum sambil meninggalkan kedua beranak dan bergerak ke belakang dapur.

Irwan Shah yang asyik memandang Mak Ton sedari tadi, mula beralih mengadap Puan Sri Badariah.

“Umi tadi telefon siapa? Siapa tetamu umi malam ni,”

Puan Sri Badariah yang kelihatan sudah mula bergerak menuju ke ruang tamu menjawab, “Umi invite Bahirah dinner dengan kita.  Just nak bagi dia serasi dengan kita,”

“So… dia OK ker umi? Is she coming, umi?” macam tak sabar je Irwan Shah ni.

“Insyaallah katanya. Tapi semalam umi dah pesan dia mesti datang. Jadi, umi rasa dia datang,” kata Puan Sri Badariah sambil duduk di sofa yang bersetentangan dengan televisyen. Tangan mencapai remote tv. Lantas punat di remote ditekan.  Seketika kemudian, tv terpasang.  Irwan Shah yang duduk tidak berapa jauh dari Puan Sri Badariah hanya mendiamkan diri tanpa membalas kata uminya tadi.  Perhatian diberi ke kaca tv, bagaikan apa yang tersiar itu menarik perhatiannya.  Tapi sesungguhnya, dia sendiri tak sabar untuk bertemu dengan Bahirah.


No comments:

Post a Comment