Purple Flowers

Wednesday 29 January 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 9}


Dua minggu berlalu…

Adi Shafeer menangis dengan kuat sekali. Puas Shahriza dan Shahrizana memujuknya. Tadi tidur okey je. Tiba-tiba dia terkejut dan terus menjerit.

“Akak… bagi le Shafeer susu. Dia lapar kut?” ujar Sharizana sambil memandang sayu pada anak saudaranya itu.

“Susu dah habis. Kan petang tadi tin jatuh? Habis tumpah semua langgar dek kucing?” balas Shahriza pula. Dia benar-benar risau melihat akan keadaan anaknya itu. “Tadi lagi akak dah suruh yob belikan. Tapi sampai sekarang yob tak balik-balik lagi.”

“Kejap Zana call yob.” Shahrizana pantas meninggalkan bilik dan terus mencapai telefon bimbitnya di tengah rumah. Seketika kemudian terdengar bunyi nada dering telefon Shahrizal berhampiran dengannya.

“Laaaa… yob tak bawak telefon le pulak! Kacau sungguh. Akak, ayah dengan ibu balik pukul berapa?” kelam kabut Shahrizana bila Adi Shafeer masih terus menangis.

“Akak tak tahu. Ermm… Zana! Biar akak pergi kedai sekejap. Zana tolong tunggu Shafeer,” tiba-tiba terlintas di kepala untuk dia sendiri pergi beli susu. Shahriza segera menukar baju dengan mengenakan baju kurung. Tudung ekspress yang disangkut di kerusi dicapai dan dipakainya.

“Akak jangan lama-lama!” laung Shahrizana sebaik sahaja Shahriza melangkah ke luar pintu.

Shahriza mengambil jalan belakang agar cepat sampai ke kedai runcit yang ada di kampung itu. Kedai itu terletak di seberang jalan besar dan tidak jauh dari rumah mereka. Walaupun keadaan agak sunyi, namun dengan adanya lampu jalan ianya sedikit melegakan Shahriza.

“Assalamualaikum Pak Mail,” Shahriza menegur tuan punya kedai yang kelihatan sedang berkemas untuk menutup kedai. “Nak tutup dah ke?”

“Eh.. Iza. Waalaikumussalam. Haah… dah sembilan lebih ni. Pak Mail nak balik dah. Ada apa-apa yang Iza nak beli?”

“Iza nak susu tepung untuk kanak-kanak. Ada tak?”

“Cuba Iza tengok dekat rak belakang. Ada banyak susu tepung sana. Pilih lah,” Haji Ismail menunding ke arah belakang kedai. Shahriza melangkah ke arah yang ditunjuk Haji Ismail. Ada beberapa jenis susu. Shahriza memilih jenama yang biasa dia gunakan.

“Nah Pak Mail!” Tin susu dihulurkan bersama dua keping wang dua puluh ringgit.

Pak Mail memasukkan tin susu tersebut ke dalam beg plastik dan diserahkan pada Shahriza berserta wang baki.

“Terima kasih Pak Mail. Iza balik dulu. Assalamualaikum,” Shahriza mula melangkah meninggalkan kedai runcit tersebut.

“Waalaikumussalam. Hati-hati jalan tu Iza,” pesan Haji Ismail sebaik sahaja Shahriza melangkah keluar dari kedainya. Shahriza menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

Pada masa yang sama, Sabri, seorang anak muda nakal di kampung itu sedang menuju ke kedai kopi milik Haji Ismail yang bersebelahan dengan kedai runcit tadi. Terbeliak matanya melihat Shahriza yang keluar dari kedai runcit tersebut. Dengan pantas dia berlari ke kedai kopi, di mana Tajul bersama dua lagi rakannya sedang bermain dam.

“Tajul! Tajul!” tercungap-cungap nama Tajul dipanggil Sabri.

“Apa hal kau ni? Macam nampak hantu je…,” balas Tajul kehairanan.

“Bukan nampak hantu, tapi nampak pujaan hati kau baru keluar dari kedai sebelah.”

“Hah! Kau biar betul?” tanya Tajul tidak percaya.

“Betul lah. Dia lalu ikut jalan belakang,” beria-ia Sabri memaklumkan pada Tajul.

“Ish.. jom… cepat… cepat…” kelam kabut mereka meninggalkan kedai kopi tersebut dan terus menuju ke laluan di belakang kedai runcit Haji Ismail itu.

Keempat-empat mereka berlari mengikut jejak Shahriza.

“Shh! Shh! Jangan bersuara!” bisik Tajul pada rakan-rakannya.

Bila mereka kian hampiri Shahriza, Tajul berdehem. Shahriza yang terperanjat terus berpaling. Hatinya benar-benar tidak keruan bila dia lihat Tajul dan rakan-rakan begitu hampir dengan dirinya.

“Hai sayang! Kenapa datang ke kedai tak bagi tahu abang? Kalau tak, boleh abang tolong temankan,” dengan gaya gatalnya Tajul menegur Shahriza.

“Tajul! Tak apa, Iza dah nak balik ni. Terima kasih,” balas Shahriza dengan getar suara yang cuba ditahannya.

“Boleh abang temankan sayang balik?”

“Terima kasih. Iza boleh balik sendiri. Lagipun, bukannya jauh,” Shahriza cuba melayan sebab dia takut Tajul dan rakan-rakannya mengapa-apakannya nanti.

“Janganlah laju sangat jalan tu. Apa kata kita duduk sembang-sembang dulu? Abang rindu dengan sayang,” gatal Tajul makin menjadi. Shahriza semakin panik apatah lagi bila rakan-rakan Tajul sudah mula mengepung dirinya.

“Sayang jangan takut. Abang sekadar nak bermanja dengan sayang. Tu lah, siapa suruh dulu jual mahal sangat. Abang nakkan sayang, sayang pilih Razman tak guna tu. Sekarang apa dah jadi? Dia tinggalkan sayang! Kalau sayang pilih abang, pasti sayang akan abang tatang bagai minyak yang penuh. Lagi pun, sayang sekarang makin cantik, makin mengancam,” tersengih-sengih Tajul bila dia rasa dia bakal memiliki tubuh Shahriza pada malam ini. Rakan-rakannya sudah mula ketawa sesama mereka.

“Teruskan Tajul. Dia tak kan dapat lari ke mana. Kami dah tolong kepungkan ni,” terdengar suara salah seorang rakan Tajul memberi sokongan.

Shahriza sudah semakin panik. Dia baling tin susu di tangannya tepat ke dada Tajul. Tersenak Tajul sekejap. Dalam pada masa yang sama, Shahriza membuka langkah menuju ke jalan besar. Rakan-rakan Tajul yang terperanjat dengan tindakan Shahriza segera mengejarnya. Tajul mengikut dari belakang. Shahriza yang cuba berlari dalam suasana malam yang kelam, tiba-tiba tersadung pada akar kayu yang menjalar di tanah. Dia tersungkur. Belum sempat dia bangun berdiri, Tajul sudah memegang bahunya.

“Tolong Tajul! Tolong lepaskan aku. Biarkan aku balik. Tolong jangan apa-apakan aku,” rayu Shahriza yang meronta-ronta cuba melepaskan diri dari pegangan Tajul. Dalam rontaannya, baju Shahriza terkoyak akibat direntap Tajul.

“Bodoh lah aku kalau aku lepaskan kau! Dah lama aku idamkan kau. Kalau cara baik aku tak dapat, aku buat cara kasar. Lepas ni aku pasti akan memiliki kau sepenuhnya. Aku berjanji sayang, aku akan bertanggungjawab, asalkan kau sehidup semati dengan aku.” Tajul seperti sudah tidak dapat mengawal dirinya. Tudung Shahriza tersingkap. Makin galak matanya tatkala memandang kulit putih di bahu dan sebahagian dada Shahriza yang kian terdedah akibat rentapannya pada baju Shahriza tadi. Dalam suasana malam yang kelam tu, kulit putih melepak Shahriza menaikkan nafsu Tajul.

Tajul memberi isyarat pada rakan-rakannya untuk memegang Shahriza. Pada masa yang sama tudung Shahriza direntap. Akibat dari itu, rambut Shahriza yang panjang terurai terlepas dari ikatan. Terpegun Tajul melihatkan kejelitaan wanita di hadapannya. Lagi bertambah bernafsu Tajul jadinya. Tubuh Shahriza ditindihnya. Bahu Shahriza dipegang dan dirabanya. Perlahan-lahan rabaannya turun ke dada Shahriza yang kian terdedah.

“Tolong Tajul! Tolong jangan apa-apakan aku. Aku merayu Tajul. Ingatlah pada Allah Tajul,” Shahriza masih cuba memujuk Tajul. Tajul tersengih mendengar rayuan Shahriza.

Dalam pada itu, wajah Shahriza yang sudah dibasahi airmata didekatkan. Bibir Shahriza cuba dipagutnya. Tiba-tiba Tajul terasa perit di pipi. Entah macamana tangan Shahriza yang dipegang rakannya terlepas dan melekap di pipinya. Sempat Shahriza menampar Tajul. Tajul mula berang.

“Melawan ya? Ini yang aku makin geram ni,” menyeringai Tajul menahan perit di pipinya.

Tangannya juga sudah semakin ringan. Dia mula mengangkat tangan untuk membalas tamparan Shahriza tadi. Tiba-tiba…

“Hoi!!! Korang buat apa tu?” terdengar suara sergahan tidak jauh dari tempat mereka berada.

Tajul dan rakan-rakannya yang terperanjat segera melepaskan Shahriza dan mula membuka langkah.

“Lari! Lari! Lari!” teriak dia pada rakan-rakannya.

Lintang pukang mereka berempat bertempiaran melarikan diri. Tajul berlari terus ke jalan besar dan entah macamana pada masa yang sama sebuah lori sedang melalui kawasan tersebut. Kemunculan Tajul di atas jalan tersebut secara tiba-tiba mengejutkan pemandu lori tersebut. Namun tindakan spontan pemandu itu menekan brek, gagal untuk mengelak dari melanggar tubuh Tajul yang juga pada masa yang sama terkejut dengan kehadiran lori yang entah dari mana datangnya. Tubuh Tajul melambung sebelum menghempas ke atas jalan besar. Rakan-rakannya yang sedar akan kejadian itu tergamam. Segera mereka berlari mendapatkan Tajul.

Shahriza yang melihat akan kejadian tersebut, menjerit. Sejurus lepas itu dia tidak sedarkan diri.

Haji Ismail yang menyaksikan semua kejadian ini, bersama pembantunya Salleh, segera menghampiri Shahriza. Beg plastik berisi tin susu yang ditangannya diletakkan ke tanah.

“Salleh, kau pergi tengok Tajul tu. Lepas tu kau kemari semula. Cepat!” Haji Ismail memberi arahan pada pembantunya. Dalam masa yang sama Hajjah Zainab, isteri Haji Ismail menghampiri suaminya yang sedang menutup tubuh Shahriza dengan kain serban milik Haji Ismail.

“Astagfirullahaladzim… macamana ni abang Haji?” Hajjah Zainab pula kelam kabut melihatkan akan kondisi Shahriza.

“Nab, nasib baik kamu datang. Kamu jaga si Iza ni kejap. Dia pengsan jer tu. Aku nak tengok Tajul. Entah hidup entah mati dah budak tu,” ujar Haji Ismail sambil berlalu meninggalkan Hajjah Zainab yang sudah memangku kepala Shahriza. Tudung Shahriza dicapai dan disarungkan kembali.

Haji Ismail menghampiri tubuh Tajul yang kelihatan kaku dan berlumuran darah.

“Dah telefon ambulan?” tanya Haji Ismail tanpa ditujukan pada sesiapa.

“Sudah Tuan Haji. Maafkan saya Tuan Haji. Saya tak sengaja. Saya tak nampak. Tiba-tiba saja dia muncul,” tiba-tiba pemandu lori tadi merayu-rayu.

Haji Ismail memandang wajah pemandu lori tersebut.

“Kau Ghani! Tak apa. Dah nak jadi. Engkau bertenang. Kita ramai saksi dan kita tahu apa yang berlaku. Jangan risau. Sekarang ni kita tunggu polis dan ambulan.” Ujar Haji Ismail tenang. Mata kemudiannya dialih ke arah orang ramai yang mula mengerumuni kawasan tersebut.

“Ada sesiapa pergi bagitahu tok ketua?” tanya Haji Ismail.

“Udah pak aji. Sabri dah pergi. Eh.. pak aji! Tu yob tu…” Salleh menjuihkan mulutnya menunjuk ke arah sebuah motosikal yang baru berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Haji Ismail segera menghampiri Shahrizal.

“Yob!” tegur Haji Ismail.

“Pak Mail? Apa jadi ni? Siapa yang kena langgar?” tanya Shahrizal ingin tahu.

“Lantaklah dia orang. Sekarang ni kau ikut aku,” ujar Haji Ismail tegas.

Shahrizal hairan. Namun dia terus menyorong motosikalnya berjalan di sisi Haji Ismail. Berkerut dahinya bila terlihat Hajjah Zainab sedang memangku seseorang diribanya.

“Yob… tengok adik kamu ni. Elok bawak dia balik,” Hajjah Zainab bersuara sebaik sahaja dia melihat Shahrizal dengan suaminya menghampirinya.

“Ya Allah! Iza! Kenapa ni Mak Nab? Pak Mail?” tubuh Shahriza diterpa dan dipangkunya.

“Kau bawaklah dia balik dulu. Nanti aku datang ke rumah, aku ceritakan semuanya. Biar aku uruskan hal sini dulu.” ujar Haji Ismail.

Tanpa berlengah lagi, Shahrizal segera mencempung tubuh adiknya. Kemudian dia memandang ke arah motosikalnya. Haji Ismail faham dengan renungan Shahrizal itu.

“Salleh!” Haji Ismail melaung memanggil pembantunya. Terkedek-kedek Salleh menghampiri Haji Ismail. “Tolong ikut yob balik. Kau bawak motor dia. Oh ya…” Haji Ismail menunduk dan mengambil tin susu yang dijumpainya tadi dan diletakkannya ke dalam bakul motosikal Shahrizal.

Terlihat saja akan tin susu itu, hati Shahrizal bagai tersentap. ‘Ya Allah… macamana aku boleh lupa?’ getusnya dalam hati. Dia rasa sangat bersalah.

“Dah… cepat balik. Pulihkan balik semangat adik kamu tu. Nab, kamu ikut yob balik. Nanti aku datang,” sempat pula Haji Ismail mengarah isterinya untuk menemani Shahrizal. Hajjah Zainab akur. Dia berjalan di sisi Shahrizal sambil mata sekejap-kejap memerhatikan Shahriza yang masih pengsan didukungan Shahrizal.

“Zana! Zana!” laung Shahrizal sebaik sahaja memasuki kawasan halaman rumah mereka.

Sharizana menjengukkan kepalanya melalui jendela dari atas rumah.

“Ya yob? Ya Allah akak!!!” jeritnya sebaik sahaja melihat keadaan Shahriza. Pantas dia mendukung Adi Shafeer yang sedang tidur dan dibawa berlari ke bawah rumah. Adi Shafeer dibaringkan di atas katil di bilik ibu dan ayahnya. Kemudian dengan pantas Shahrizana segera buka pintu.

“Kenapa ni yob? Apa dah jadi?” tanya Shahrizana risau.

“Cepat bentangkan tilam. Yob nak baringkan akak sini,” arah Shahrizal tanpa menjawab soalan adiknya.

Sebaik sahaja tilam dibentang, Shahriza diletak perlahan. Pada masa yang sama kedengaran bunyi siren ambulans dan kereta polis dari arah jalan besar. Berkerut dahi Shahrizana bila melihatkan abangnya, Hajjah Zainab dan Salleh seperti tidak mempedulikan bunyi siren tersebut. Tumpuan mereka hanya pada Shahriza.

“Kenapa baju akak koyak?” soal Shahrizana tanpa ditujukan pada sesiapa.

“Kita tunggu Pak Mail datang. Nanti biar dia yang cerita. Zana sabar ya?” balas Hajjah Zainab. Belakang Shahrizana digosok lembut.

“Berapa lama dah akak pengsan ni yob?” Shahrizana bertanya pada Shahrizal yang muncul dengan air di dalam mangkuk. Shahrizal membasuhkan wajah Shahriza. Kekesalan yang mengetuk-ngetuk pintu hatinya membuatkan dia tidak berkata-kata langsung. Hanya airmata kelihatan mula bertakung di tubir matanya.

“Yob! Zana tanya ni? Kenapa dengan akak?” desak Shahrizana lagi. Shahrizal masih diam.

“Assalamualaikum?” terdengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” Shahrizal menyahut salam dan segera menyambut kehadiran tetamunya itu. Kelihatan Haji Ismail dan dua orang kampung lagi berdiri di luar.

“Sila masuk Pak Mail. Sila masuk semua,” pelawa Shahrizal.

Kelihatan sebuah kereta memasuki kawasan perkarangan rumah mereka.

“Hah! Ayah dengan ibu dah balik tu,” ujar Shahrizal. Dia cemas. Risau.

Sebaik sahaja kereta berhenti, Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina segera keluar dengan wajah penuh tanda tanya.

“Kenapa ni? Kenapa ramai-ramai malam-malam ni?” tanya Haji Shahri sambil tangan menyalami setiap tetamu yang ada.

“Mari duduk dulu cikgu,” sambut Haji Ismail sambil memeluk bahu Haji Shahri.

Tercengang-cengang kedua suami isteri ini. Namun tanpa banyak soal, mereka masuk ke rumah bersama-sama yang lain. Hajjah Raja Zarina yang terperanjat melihat akan anaknya yang terbaring dan ditemani Shahrizana dan Hajjah Zainab, segera menerpa.

“Iza? Kenapa ni? Apa yang dah terjadi?” tanya Hajjah Raja Zarina yang sudah mula sebak. Matanya mula melingas memandang ke arah tetamu-tetamu yang ada di ruang tamu rumahnya. Wajah anak lelaki tunggalnya juga dipandang tajam.

“Iza? Iza? Kenapa ni? Bangun sayang,” Hajjah Raja Zarina meraup wajah Shahriza perlahan.

“Bagi dekat aku air kosong segelas,” pinta Haji Ismail tiba-tiba.

Shahrizana segera ke dapur. Dia kembali dengan segelas air dan diserahkan pada Haji Ismail. Haji Ismail mengangkat gelas yang berisi air itu dan mulutnya kelihatan berkumat-kamit. Dia membaca sesuatu lalu ditiupkan ke dalam air tadi. Kemudian dia serahkan gelas air itu pada Shahrizal.

“Sapu air ni dekat muka Iza. Lepas tu masukkan sedikit ke dalam mulutnya. Jangan lupa baca selawat,” arah Haji Ismail.

Segera Shahrizal melakukan apa yang disuruh. Setelah itu dia bersama yang lain diam memerhati dan menanti. Tidak lama kemudian, Shahriza tersedak dan terbatuk-batuk.

“Iza!” seru Hajjah Raja Zarina.

“Di mana ni?” tanya Shahriza lemah. Tiba-tiba dia menjerit. “Jangan! Jangan! Jangan!”

Hajjah Raja Zarina pantas menarik tubuh Shahriza dan dipeluknya erat. “Shhh… sayang. Iza dekat rumah ni. Ni ibu sayang. Bukak mata tu,” pujuk Hajjah Raja Zarina lembut.

Shahriza membuka matanya perlahan. Bila dilihat akan ibunya berada di depannya, dia segera memeluk ibunya. Shahriza menangis di dalam dakapan Hajjah Raja Zarina. Shahrizana juga ikut menangis walaupun dia tak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku. Haji Shahri menepuk bahu isteri dan anaknya sebelum dia menumpukan perhatian pada tetamu-tetamunya.

“Apa semua ni yob? Apa sebenar yang dah terjadi?” soal Haji Shahri pada Shahrizal. Shahrizal hanya menundukkan kepalanya. Dia sendiri tak tahu apa yang berlaku. Tapi apa yang dia tahu, semua ini disebabkan kecuaian dia.

“Yob tak tahu apa yang berlaku. Elok cikgu duduk dulu. Saya akan ceritakan semuanya,” pinta Haji Ismail.

Haji Shahri segera duduk di sebelah Haji Ismail. Matanya memandang tepat ke wajah Haji Ismail. Haji Ismail menepuk peha Haji Shahri.

“Begini cikgu. Tadi Iza datang kedai aku. Dia beli susu untuk anaknya. Lepas dia balik, aku pun tutup kedai. Masa tu kak Nab korang ni datang dekat aku. Dia cakap dia tak sedap hati sebab tadi dia tengok Tajul dengan kawan-kawannya cakap psai si Iza ni. Lepas tu mereka tergesa-gesa tinggalkan kedai dan terus menuju ke jalan belakang. Aku cakap ler dekat si Nab ni, tadi Iza datang, tapi dah balik ikut jalan belakang. Tu yang kak Nab korang ni desak aku untuk turut dari belakang. Dia takut Tajul dengan kawan-kawannya apa-apakan Iza. Aku dengan Salleh pun ikut ler. Sampai tengah jalan aku jumpa tin susu yang Iza beli tadi tergolek atas jalan. Aku ambik. Aku dah mula risau. Aku terus jalan dan nampak budak-budak tu tengah pegang si Iza yang dah terbaring atas tanah. Aku nampak Iza lempang si Tajul. Dan bila Tajul nak balas balik, aku tempik. Budak-budak tu terkejut habis bertempiaran lari. Si Tajul lari terus ke atas jalan besar. Masa tu lori Ghani lalu dekat situ. Apa lagi, melanting badan Tajul kena langgar dek lori Ghani. Iza lihat semua tu. Dia menjerit lepas tu langsung pengsan.” panjang lebar cerita Haji Ismail. Semua yang dengar tidak berkutik sedikit pun. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengar.

“Apa jadi dengan Tajul?” tanya Haji Shahri.

“Dah arwah dah!” balas Haji Ismail selamba.

“Innalillahiwainnailaihirojiun….”

Suasana sepi seketika.

“Tak apa lah cikgu. Nampaknya Iza pun dah sedar. Hari pun dah tengah malam. Biar aku balik dulu. Esok, aku kena ke balai buat lapuran. Insyaallah, lepas tu aku datang tengok macamana si Iza ni. Risau kalau dia trauma. Harap-harap dia kuat. Dah semua, jom balik. Nab? Kamu nak duduk sini ker?” tanpa menunggu jawapan Haji Ismail terus meninggalkan rumah Haji Shahri diikuti mereka yang lain.

“Rina, akak balik dulu. Insyaallah, esok akak datang sini. Lepas ziarah jenazah Tajul. Tengok-tengok si Iza ni. Takut malam dia meracau,” pesan Hajjah Zainab sebelum turut mengikut jejak suaminya.

“Apa semua ni yob… Zana..? Kenapa Iza keluar ke kedai malam-malam ni?” tanya Haji Shahri sebaik sahaja pintu rumahnya ditutup.

“Susu Shafeer dah habis ayah. Tadi Shafeer meragam. Tu yang akak ke kedai jugak tu,” jawab Shahrizana takut-takut.

“Bukan ker tadi ibu dah pesan dekat yob minta belikan susu? Yob tak beli ker?” Hajjah Raja Zarina pula bertanya.

“Maafkan yob ayah… ibu… Yob terlupa. Sungguh yob terlupa. Maafkan yob Iza?” Shahrizal gagal menahan sebak yang sedari tadi cuba ditahannya. Akhirnya dia tunduk… menangis. Dia rasa kesal sangat dengan apa yang berlaku. Kalau tak ada Haji Ismail tadi entah apa yang jadi pada adik kesayangannya. Dan kalau Iza tak keluar, tentu Tajul masih hidup! ‘Astagfirullahaladzim… apa aku melalut ni?’ Shahrizal meraup wajahnya. Dia beristighfar berkali-kali, menyesal atas apa yang terlintas difikirannya tadi. ‘Ini takdir! Ini takdir,’ gumamnya sendirian.

Haji Shahri meraup rambutnya ke belakang. Dia benar-benar rungsing. Tak pasai-pasai satu nyawa melayang. Tanpa memperdulikan Shahrizal, Haji Shahri bergerak menuju ke biliknya.

“Udahlah… pergi tidur semua. Esok kita fikirkan. Walaupun ayah kesal apa yang berlaku pada Tajul, namun ayah bersyukur sangat Iza selamat. Yob.. Zana, bawak Iza ke bilik dia. Lepas tu korang pergi tidur,” lemah suara Haji Shahri memberi arahan.

“Abang, biar Iza tidur bawah ni. Boleh saya tengok-tengokkan dia. Takut meracau,” pinta Hajjah Raja Zarina pada suaminya. Haji Shahri memandang ke arah Shahriza yang kelihatan sudah lena.

“Ya lah. Aku tidur dengan cucu aku dalam bilik tu. Apa-apa hal kejutkan aku,” pesan Haji Shahri pada isterinya.

“Zana teman ibu. Biar Zana tidur dengan ibu kat sini.” Shahrizana segera berlari ke biliknya dan muncul kembali dengan toto dan bantal di tangan.

“Yob! Yob naik nanti tolong padam lampu bilik akak ya?” ujar Shahrizana pada Shahrizal yang masih termenung di kerusi.

Hajjah Raja Zarina segera ke bilik air untuk membersihkan dirinya. Setelah itu dia membentang tilam di sebelah Shahriza. Sebaik sahaja dia membaringkan dirinya di sebelah kedua-dua anaknya itu, kelihatan Shahrizal bangun dan terus meniti tangga naik ke atas.

Tidak lama kemudian Shahrizal muncul semula dengan bantal dan selimut di tangan. Lampu di ruang tamu dipadam. Dia melabuhkan punggungnya di sofa. Memandang sekilas ke arah ibu dan adik-adiknya, dia pun baring.

“Maafkan yob, Iza! Maafkan yob!” rintihnya perlahan.




No comments:

Post a Comment