Purple Flowers

Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 13}


Empat tahun kemudian

Setelah pemergian Sofia, diikuti pula dengan berita tentang kematian papanya akibat sakit jantung, Badri lebih banyak termenung. Terlalu banyak masalah yang perlu diselesaikan dan semua angkara Basri. Tuan Burhan diserang sakit jantung setelah mendapat berita tentang kehilangan wang syarikat dalam jumlah yang banyak. Dan lebih menyedihkan lagi, wang itu digelapkan oleh anak kesayangannya sendiri, Basri!

Basri yang pendiam dan anak yang baik berubah sikap hanya kerana pujukan isteri. Kerana terlalu sayangkan isteri, sanggup Basri menggelapkan duit syarikat demi untuk memenuhi kehendak mewah isterinya. Semua angkara mereka terbongkar bila Basri dengan isteri terbunuh dalam satu kemalangan jalanraya semasa pergi bercuti. Kedua-dua suami isteri ni enjoy sakan di seluruh Malaysia. Dari satu hotel ke satu hotel. Dari satu pulau ke satu pulau. Mereka kemalangan semasa dalam perjalanan ke KLIA kerana ingin bercuti ke luar negara pula.

Tuan Burhan benar-benar terkejut dengan berita kematian anak dan menantunya. Tidak lama selepas itu, pegawai akaun syarikat pula memaklumkan bahawa duit syarikat telah dikeluarkan dalam jumlah yang banyak. Mendengar akan hal ini saja, Tuan Burhan rebah. Seminggu selepas itu Tuan Burhan meninggal dunia.

Setelah Badri kembali semula ke kampung halamannya, dan setelah diceritakan tentang segala apa yang telah terjadi, Badri jadi seorang pemurung. Dia banyak menghabiskan masa dengan termenung dan menjadi perokok tegar. Badri memang seorang perokok. Hanya sekali sekala sahaja dia merokok. Tapi bila satu demi satu masalah menimpa, dia telah menjadikan rokok sebagai teman karibnya. Segala larangan dan tegahan dari Shahrom, Badariah maupun Talib tidak diendahkannya.

Namun begitu, tanggungjawab dia sebagai waris syarikat Tuan Burhan juga sebagai pemilik Badshah Sdn Bhd, tidak pernah diabaikannya. Lagi ligat dia berkerja, seligat itu juga dia merokok. Katanya rokok memberi ketenangan dan menyenangkan otak nya untuk berfikir. Falsafah mengarut!

Kilang kain dan batik Tuan Burhan akhirnya terpaksa dijual demi untuk menampung segala hutang yang ada. Badri terpaksa mengambil langkah sedemikian demi arwah papanya. Badri tidak mahu papanya tersiksa disana.

Akhirnya, rumah pusaka keluarganya juga dijual. Rumah itu sudah jadi haknya. Badri jual kerana Badri tidak mahu ingat lagi segala apa yang berlaku antara dia dengan Tuan Burhan. Wang hasil jualan rumah itu dilaburkan untuk syarikat. Baginya syarikat milik dia dengan Shahrom merupakan keutamaan kini. Demi masa depan puterinya Bahirah.

Kini, kerana tabiat merokoknya, sudah dua bulan dia terlantar di hospital. Kanser paru-paru peringkat 4!

“Shah, Bada, aku rasa perjalanan hidup aku di dunia ini sudah hampir ke penghujungnya,” sayu bicara Badri.

“Abang Bad, kenapa abang cakap macam ni,” marah Badariah.

“Abang sepatutnya banyak kan beristighfar. Banyakkan berdoa,” Badariah geram dengan sikap abangnya yang mudah berputus asa.

“Abang selalu berdoa Bada. Hanya sekarang ni dah tak tertanggung rasanya. Sakit sangat!” lirih hati suami isteri itu bila dengar Badri berkata sedemikian. Sesungguhnya mereka pun tak mampu nak bantu. Hanya doa saja yang dapat mereka titipkan agar penderitaan yang ditanggung Badri dapat dikurangkan.

“Shaah… Badaa… Taliiib….,” satu-satu nama disebut dengan lemah. Dari satu wajah ke satu wajah dipandang dengan sayu. “Aku ada hajat. Aku harap kalian dapat membantu aku untuk memenuhi hajat yang satu ini,”

“Cakap lah Bad. Insyaallah kami akan lakukan apa saja selagi kami mampu,” Talib merapatkan tubuhnya pada Badri. Tangan Badri digenggam.

“Aku nak minta tolong kalian untuk hantar puteri aku Bahirah ke Rumah Anak-Anak Yatim Darul Hikmah,”

“Apa Bad? Kau biar betul! Bahirah bukan anak yatim. Kami masih ada Bad,” Shahrom bersuara agak keras. Sungguh dia tak sangka ini hajat Badri.

Talib sudah tersandar di dinding. Tak mampu dia nak fikirkan hal ini. Bahirah pun sudah seperti anaknya sendiri.

“Tidak abang Bad! Bada tak sanggup. Bada tak setuju. Bahirah anak Bada jugak abang Bad. Tolong lah.” Badariah menangis di dada Shahrom.

“Badaa, tolonglah. Ini hajat aku yang terakhir. Aku mahu dia dibesarkan di tempat di mana ibunya membesar. Aku percaya dia akan membesar menjadi seperti ibunya,” Badri masih merayu.

“Bad, aku tak sanggup. Aku tak sanggup,” balas Shahrom sambil kedua-dua tangan menangkup muka.

Keadaan di bilik khas itu menjadi sunyi. Hanya kedengaran suara esakan dari Badariah. Kenapa kejam sangat Badri ni. Tega sekali dia nak meninggalkan puterinya ditangan orang yang tidak dikenali. Bukannya dia tiada keluarga.

“Sampai hati abang Bad. Sampai hati abang mengenepikan kami. Kami terlalu sayangkan Bahirah. Dari dia berusia empat hari hingga kini dah empat tahun Bada yang bela, Bada yang jaga. Tolong lah abang Bad. Tarik balik hajat abang ni!” Badariah terus merayu.

“Maafkan abang, Bada. Maafkan aku Shah. Bukan aku tak percayakan kalian. Tapi aku nak puteri aku dibesarkan dan dididik sebagaimana ibunya dibesarkan dan sebagaimana ibunya dididik. Kalian tengok bukan, macamana keperibadian Sofia? Sofia… dia terlalu istimewa. Dan aku mahu puteri aku juga jadi seperti dia.”

“Aku tidak mahu dia dibesarkan dengan kemewahan. Dan aku tidak mahu suatu hari nanti dia rasa disisihkan bila dia sedar yang dia sebenarnya sudah tidak mempunyai kedua orang tuanya. Biarlah dia hidup dikalangan mereka yang senasib dengan dia. Biar dia tahu erti susah. Biar dia tahu erti bersyukur. Aku nak dia menjadi tulang rusuk pada seseorang nanti. Sebagaimana ibunya yang menjadi tulang rusuk aku. Sentiasa tenang… sentiasa beri kekuatan bila aku lemah. Sentiasa menjadi pendorong bila aku hampir tersungkur. Aku mahu Bahirah sebegitu… agar dia dihargai suatu hari nanti.” Badri diam seketika… “Aku rindukan Sofia….” Begitu payah Badri hendak menyudahkan bicaranya. Dia sangat berharap yang adik juga teman-teman baiknya faham akan kehendak hatinya.

“Sampai bila harus kami tinggalkan dia di sana Bad?” Talib bersuara apabila melihatkan Badariah juga Shahrom terdiam sahaja. Badariah masih teresk-esak. Shahrom pula tidak sudah meraup wajahnya yang basah dik airmata.

“Sampai dia sudah boleh uruskan diri dia sendiri….” Badri bagaikan ingin menyambung bicara. Dadanya kelihatan tersekat-sekat. “Tapi… ada syarat,” sambungnya.

‘Syarat?” serentak ketiga-tiga mereka bersuara.

“Ya…. Dalam tempoh itu, aku tak mahu ada antara kalian yang pergi menziarahi dia ataupun berjumpa dengan dia. Aku tak mahu kalian memperkenalkan diri kalian pada dia, itulah syaratnya” nafas Badri sudah tidak lancar. Dia masih ingin berkata-kata. Meninggalkan amanat terakhir.

“Kenapa abang Bad buat macam ini? Bada tak sanggup!” buntu Badariah. Sayu sangat hatinya bila mengenangkan apa yang akan dilalui Bahirah.

“Janji dengan aku Shah? Janji dengan aku Lib?” pinta Badri. Tangan Shahrom dan tangan Talib cuba diraihnya. Mereka berdua bergerak menghampiri Badri. Tangan mereka digenggam erat. Badri memandang kedua-dua temannya dengan pandangan umpama menantikan persetujuan dari kedua-dua untuk berjanji. Dalam kesukaran kedua-dua mereka berjanji untuk memenuhi hajat terakhir Badri.

“Bada, adik abang yang abang sayang. Satu hari nanti Bada pasti akan bertemu semula dengan Bahirah. Insyaallah kalau panjang umur. Masa tu nanti baru Bada tahu kenapa abang buat begini,” Badri mendepangkan kedua tangannya. Badariah menghampiri Badri. Badri memeluk Badariah dan Badariah menangis dalam pelukan Badri.

“Shah, Aku serahkan syarikat pada kau. Buatlah apa yang kau nak dengan syarikat tu. Hanya satu aku pinta. Tolong jaga adik aku ini. Tolong jangan sia-siakan dia. Janji dengan aku Shah,” Badri terus bersuara dalam kepayahan tatkala Badariah masih dalam pelukannya.

“Insyaallah Bad. Tak perlu untuk aku berjanji dengan kau Bad. Bada isteri aku. Cinta hati aku. Sudah pasti akan aku jaga. Insyaallah. Dan pasal syarikat, aku akan majukan syarikat kita itu demi keluarga kita. Ya, demi keluarga kita. Ini janji aku Bad…” Sesuatu terdetik di akal fikiran Shahrom tatkala ayat ini dilafazkan.

Suasana kembali menjadi sunyi. Badariah masih di dada Badri. Talib pula sudah menundukkan kepalanya di katil Badri. Shahrom membawa diri ke jendela bilik. Membuang pandang keluar. Hati merintih kerana sukar bagi Shahrom untuk melunaskan hajat Badri. Shahrom sedar dia bakal kehilangan seorang teman yang terlalu akrab, yang terlalu istimewa. Hati dia menangis. Shahrom tidak mahu menampakkan kesedihan kerana dia tidak mahu melemahkan Badariah, isterinya.

Seketika kemudian dia toleh ke belakang. Dilihatnya Badri tidur. Shahrom lantas dengan perlahan menarik kedua belah bahu Badariah. Memberi isyarat supaya tidak bersuara, mata diarahkan ke katil Badri. Badariah membetulkan letak selimut di badan Badri. Shahrom menguis pula bahu Talib. Dengan isyarat tangan, mengajak Talib keluar. Ketiga-tiga mereka meninggalkan bilik khas itu setelah pasti Badri sudah lena. Mungkin penat lepas banyak sangat bercakap.

Namun, itulah saat terakhir mereka dengan Badri. Pada malam itu Badri menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam tidur.



No comments:

Post a Comment