Purple Flowers

Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 12}


Setahun berlalu

“Assalamualaikum Talib..” terdengar suara ceria dicorong telefon

“Waalaikumussalam. Badri ka?” Talib cuba meneka

“Ya lah! Aku Badri ni. Hang apa habaq?” masih ceria kedengaran

“Amboi!!! Hang ni sebenaqnya duk mana ni? Selatan ka utara?” Talib berseloroh dalam loghat utaranya.

“Saja ja aku nak nyakat ko la Talib. Lama tak dengaq loghat utara hang!”

“Banyak la hang punya loghat! Awat hang ni? Aku dengaq macam happy semacam jer?” Talib bertanya

“Aku ada berita nak habaq kat hang. Nanti hang tolong sampaikan kat Shah ya? Aku baru sat ni dah jadi ayah! Aku dah dapat seorang puteri!!!” begitu teruja sekali Badri di sebelah sana. Talib terperanjat.

“Amboi… tak dak angin tak dak ribut… dengaq dah bersalin ja? Sampai hati hang na?” seakan merajuk pula kedengaran suara Talib.

“Jangan lah kecik hati Talib. Aku sengaja nak buat surprise,”

“Hang ingat hang punya surprise je ka?” ejek Talib.

“Aik! Hang pun dah dapat anak ka Talib? Bila hang kawin ni? Sampai hati hang!”

“Wey… wey… wey… hang melalut apa ni Bad? Sapa kata aku kawin? Aku akan kawin bila hang balik Malaysia semula. Itu janji aku… hang dah lupa ka?” bidas Talib.

“Oppsss…. Sorry! Masih ingat… hanya saja nak usik hang ja? OK.. surprise apa yang hang nak bagitau ni?” 

“Aku nak habaq yang adik hang Bada dengan Shah dah dapat anak sorang lagi. Dua bulan lepas. Anak lelaki lagi hang tau?” Talib bercerita.

“Biar betul? Dah dua bulan?” Badri kedengaran seperti bingung.

“Hang nak kesah apa? Hang sendiri pun lama dah tak call kita orang. Ingatkan hang dah lupa.” Bidas Talib

“My bad Talib. Bad is bad…” kedengaran tawa halus di sebelah sana. “Tak per la Talib. Aku pun tak boleh nak lama ni. Pakai public phone jer ni. Nanti tolong sampaikan tahniah aku pada Shah dengan Bada ya. And tolong sampaikan juga berita gembira aku ini.” Pinta Badri.

“Insyaallah Bad. And aku bagi pihak Shah juga nak ucapkan tahniah untuk hang. Jaga diri tu baik-baik… kami akan tunggu kau balik Bad,” setelah itu talian dimatikan. Ganggang telefon diletakkan kembali. Talib bersandar di kerusi sambil tersenyum-senyum sendiri.

Dua hari kemudian… di pejabat Talib

“Suriya… En Shahrom dah sampai belum?” Talib terus bertanya pada setiausahanya sesampainya dia di pejabat.

“Belum lagi tuan.” Balas Suriya terperanjat. Kus semangat. Perlahan-lahan Suriya mengurut dadanya. ‘Hantu punya bos! Tak tahu ke nak bagi salam?’

“Tak pa.. kalau dia sampai sat ni, awak suruh dia masuk terus ke bilik saya ya?” Talib terus melangkah ke biliknya, tanpa menunggu jawapan dari Suriya.

Suriya sekadar menganggukkan kepala.

Setibanya di bilik, tiba-tiba telefon di mejanya berbunyi. Pantas tangan menyambar. Ganggang diletakkan di telinga.

“Assalamualaikum… Talib bercakap,”

Senyap!

‘Hmm.. ada orang ke tak ni?’ hati berbisik

“Hello? Ada sesiapa di sana?” Talib terus bertanya.

Kedengaran bunyi nafas berserta bunyi esakan halus.

Talib masih menanti dengan sabar.

“Talib!” tiba-tiba insan di sana bersuara lemah.

“Ta…lib. Ini aku!” suara yang kurang jelas. Tenggelam timbul dalam esakan.

“Bad? Badri?” Talib kenal suara itu. ‘Apa hal ni?’bisik hati Talib

“Talib… tolong aku Talib. Aku tak tahu nak buat macamana ni? Aku bingung!”sayu kedengaran suara Badri.

Tiba-tiba pintu biliknya terkuak dari luar. Tersembul kepala Shahrom mengintai Talib. Talib memberi isyarat pada Shahrom untuk terus masuk, dengan isyarat mulut Talib menyatakan bahawa Badri di talian. Senyum lebar Shahrom bila dapati bahawa Badri di talian. Langkah kanan sungguh.

“Bagi kat aku Talib…” Shahrom terus tarik ganggang di tangan Talib. Mengeleng Talib.

“Bad… ini aku Bad.. Shah! Kau kat mana? Kau apa khabar? Aku ada banyak benda nak bagitahu dekat kau. Jenuh aku…” bertubi-tubi soalan dikeluarkan. Namun belum habis bicara, Shahrom tersentap kerana dia bagaikan terdengar suara esakan. Badri menangis!

“Bad? Are you ok? Talk to me buddy. Kenapa ni?”

“Shah… aku tak tahu nak buat apa? Sofia dah takde Shah! Sofia dah tak ada!!!” esakan Badri makin jelas kedengaran di corong telefon.

“Tak ada? Apa maksud kau Sofia tak ada?” Shahrom bertanya dalam kebingungan.

“Dia dah pergi Shah! Dia dah meninggal. Tolong aku Shah,” terhenti sekejap degupan jantung Shahrom. Terduduk dia.

“Ya Allah! Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un…” terucap dibibir Shahrom. Tangan sebelah lagi ditekapkan di dahi. Talib pula kelihatan sudah tersandar di kerusinya.

“Bad, apa yang terjadi? Kau cerita kat aku Bad,” pinta Shahrom setelah masing-masing terdiam sebentar tadi.

“Malam semalam Sofia turun darah. Tiba-tiba saja ada komplikasi. Doktor tak dapat nak selamatkan dia. Dia tinggalkan aku Shah!”

“Bad, macamni. Kau kat mana sekarang?” Shahrom mula merancang sesuatu. Demi teman karib nya, dia tak tega nak biarkan Badri bersendiri.

“Aku masih di hospital. Ambil anak aku,” terang Badri

“Ada cara tak macamana aku nak contact kau?” Shahrom bertanya.

“Jiran aku. Aku ada nombor telefon rumah dia. Tapi untuk apa Shah?”

“Aku akan turun Singapore malam ni. Kau bagi alamat rumah kau. And nombor phone jiran kau. Kau tunggu kat rumah sampai aku datang,”

“Betul kau nak datang Shah?”

“Ya. Kau tunggu. Cepat kasi alamat tu.”

“Shah.. aku ikut!” tiba-tiba Talib menyampuk.

Setelah selesai segala urusan di Singapura, Shahrom, Talib, Badri dengan anak kecil Badri bertolak balik ke Kota Bharu. Puas dipujuk akhirnya mereka berjaya membawa Badri balik ke kampung. Itupun setelah Shahrom berjanji bahawa segala-galanya sudah berubah. Badri sudah tidak perlu melarikan diri lagi. Bukan disebabkan ketiadaan Sofia, tapi kerana perkara lain. Perkara yang masih belum diceritakan pada Badri. Shahrom tidak dapat nak membayangkan bagaimana penerimaan Badri kelak andai dia tahu apa yang sudah berlaku pada keluarga dia.

Setibanya di kampung, Badri masih enggan turun dari kereta Shahrom. Matanya asyik melilau mencari kelibat papanya. Badri takut kalau-kalau puterinya diapa-apakan.

Badariah yang sedia menunggu, terus meluru ke kereta. Sebaik saja pintu kereta dibuka, Badariah terus memeluk Badri. Kedua beradik menangis dalam pelukan. Tiada bicara yang keluar. Masing-masing melayan rasa. Badri dengan rasa rindu yang membuak pada adiknya dan Badariah pula kerana sesuatu yang masih disimpan.

Badri melepaskan pelukan Badariah. Mata dia melingas merata, bagaikan mencari sesuatu.

“Bada, papa mana? Tak apa ke Bad balik ni? Papa tak halau Bad ker nanti?” Badri bertanya sambil mata yang masih berair terarah ke Badariah.

“Abang Bad, mari kita masuk dulu. Pasti semua letih sebab lama dalam perjalanan. Mana puteri abang?” Badariah cuba mengelak dari menjawab soalan Badri.

“Sini Bada. Sang puteri sedang lena dalam dukungan abang ni,” terdengar Shahrom memanggil Badariah.

Badariah lantas mengambil terus anak kecil yang dalam dukungan suaminya. Dicium anak itu bertalu-talu. Dalam tangisan dan dalam tawa, anak kecil itu sudah seperti anak patung dibuatnya, sehinggakan anak kecil itu tersedar dari lenanya.

“Apa nama anak ini abang Bad?” Badariah bertanya tanpa mengalih pandangan dari wajah comel anak kecil itu.

“Bahirah,” serentak Badri dan Shahrom menjawab. Masing-masing pandang sesama mereka, serentak senyuman terukir di wajah.

“Jom Bahirah, Jom ikut umi masuk. Bahirah lapar tak?” Badariah yang sedang mendukung Bahirah hilang ke dalam rumah.

“Mari masuk Bad. Ada banyak benda yang ingin aku khabarkan. Sebelum itu elok kita masuk segarkan badan dan rehat sebentar. Mari Talib,” Shahrom bersuara setelah masing-masing senyap bagaikan sedang melayan perasaan masing-masing.



No comments:

Post a Comment