Purple Flowers

Wednesday 25 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 23}



Seorang wanita anggun melangkah masuk ke pintu utama Badshah Holdings. Kehadirannya menarik perhatian semua yang ada di situ. Orangnya tinggi lampai, berbaju moden dan bertudung kemas menampakkan kelembutan dan keayuan yang boleh membuatkan sesiapa yang memandang pasti terpikat.

Wanita tersebut melangkah terus ke ruangan penyambut tetamu. Kelihatan seorang gadis sedang khusyuk membaca akhbar.

“Assalamualaikum…” wanita itu memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Salam disambut namun perhatian masih pada akhbar yang dibaca.  Seketika kemudian baru dia mengalih perhatian dari bahan bacaannya dan melirik memandang pemberi salam tadi.

“Ya Cik… boleh saya bantu?” nada suara tak ikhlas langsung!

“Saya nak jumpa En Irfan Shah. Dia ada?” wanita itu bertanya.

“Cik ada appointment tak?”

“Nope!” rengkas jawapannya.

“Kalau tak ada Cik tak boleh masuk. En Irfan pun belum sampai lagi. Duduk situ dulu… tunggu,” amboi mak! Bahasa! Mana le diorang dapat staff macam ni ditugaskan dekat bahagian front desk pulak tu?

Wanita anggun tadi menganggukkan sedikit kepalanya. Terus berpaling dan menuju keruangan tamu yang disediakan di situ. Mata masih memandang pada gadis penyambut tetamu yang kini menyambung bacaannya semula.

“Nora! Kau ni kenapa? Itu tetamu…” tiba-tiba muncul seorang gadis lain yang terus menampar bahu gadis penyambut tetamu tadi.

“Apa pulak? Ni kan belum time pejabat lagi? Yang dia tu datang awal sangat kenapa? Masa ni bukan ada pun mana boss masuk lagi!” gadis penyambut tetamu menjawab geram.

“Engkau ni kan…!!! Kalau ada orang ngadu kat boss.. nasib le kau kan?” gadis kedua tadi terus masuk ke pejabat meninggalkan ruangan recept.

Wanita anggun tadi memasang telinga cuba mendengar perbualan kedua-dua gadis itu.  Mata tertumpu pada majalah yang ada di tangan. Senyum yang tersungging di bibir disembunyikan.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan Irfan Shah mampir ke meja penyambut tetamu. Kelam kabut gadis penyambut tetamu menyimpan surat khabar yang dibaca, dan terus berdiri menegur Irfan Shah.

“Selamat pagi En Irfan,” sapa gadis tersebut.  Manja sungguh nada tutur dari bibirnya.

“Selamat pagi Nora.” Balas Irfan Shah dan kaki terus saja melangkah menuju ke arah bilik yang dikhaskan untuk Pengarah Kewangan syarikat.

“En Irfan!” tiba-tiba namanya dipanggil.  Irfan Shah berpaling dan memandang gadis yang bernama Nora tadi. “Ada orang nak jumpa encik,” sambung Nora sambil ibu jari menunding kearah ruang tamu di situ.

Irfan Shah menoleh. Terlihat akan seorang gadis bertudung sedang berdiri dan tersenyum manis. Berkerut dahi Irfan cuba memikirkan siapa gerangan wanita tersebut. Rasanya dia tak ada temujanji dengan sesiapa hari ni.

Wanita anggun tadi mula melangkah merapati Irfan Shah.  Senyum masih dibibir.

“Assalamualaikum En Irfan…” salam dihulur.

“Waalaikumussalam” salam disambut perlahan. ‘Rasa macam kenal, tapi…’ getus hati Irfan Shah.

Tiba-tiba…


“Laaaaa! Astaghafirrullahalazim… Irah!” Irfan Shah menepuk dahinya.

“Kenal dah?” Bahirah bertanya dalam tawanya.

“What a surprise! But why?” Irfan Shah bertanya kehairanan

“Why? No reason kan? It’s a must! Dah dibukakan hati.  Lagi pun hari ni everythings going to be new… so.. I changed my image for good! Angah suka?”

“Mau tak suka! I’m impressed. Alhamdullillah sesangat,” Irfan Shah masih dalam keterujaan. Sesungguhnya Bahirah kelihatan lain sungguh. Nampak lebih anggun dan lebih matang.

“Hey! Come… let’s go to my office. I’m too excited tengok our future MD berubah penampilan sampaikan lupa nak ajak masuk,” pelawa Irfan Shah sambil tangan memeluk bahu Bahirah dan mendorong Bahirah melangkah seiring dengannya. Bahirah kaget. Irfan Shah perasan perubahan Bahirah. Dia mengenyitkan matanya pada  Bahirah. “Sorry,” bisiknya di telinga Bahirah. Tangan dilurutkan dan terus dimasukkan ke dalam poket seluar.

Kedua-dua mereka kemudiannya melangkah meninggalkan ruangan penyambut tetamu dan menuju ke pejabat Irfan Shah .

Nora, si penyambut tetamu tadi sudah pucat wajahnya. Berdiri kaku di mejanya.  Kalau ditoreh pasti tak berdarah.

“Kan aku dah cakap dah!  Tak payah ada yang mengadu… engkau sendiri cari bala,” gadis kedua tadi muncul semula. Macam berhantu pulak… muncul tiba-tiba menghilang pun tiba-tiba…

"Wah! Cantik bilik Finance Director kita ni," Bahirah memuji sekadar berbasi-basa.

"Alaaa... simple je. Keselesaan itu penting, kan? Come Irah... " Irfan Shah mempelawa Bahirah untuk duduk bersamanya di sofa yang ada di dalam bilik itu.

"Awal Irah sampai... excited ek?" usik Irfan

"Tak lah... Irah dah biasa. Office lama masuk kerja jam 8 pagi.... sini 9," mata masih melilau memandang keliling. Mata tertancap pada potret keluarga yang tergantung di dinding. Direnungnya lama. Irfan Shah tengok Bahirah dan kemudian pada potret yang dipandang Bahirah.

"Irah... I want to show you something," ujar Irfan Shah. Beliau lantas bergerak menuju ke mejanya dan terus laci dibuka. Ada sesuatu yang diambil keluar dari laci tersebut. Irfan Shah kembali ke sofa dan mengunjukkan barang yang ditangannya pada Bahirah. Bahirah menyambutnya tanpa banyak soal.

Sebuah bingkai gambar. Terpana Bahirah tatkala menatap wajah-wajah yang sedang tersenyum di dalam bingkai tersebut. Bahirah dapat rasakan sesuatu walaupun tanpa diberitahu Irfan Shah. Matanya tiba-tiba terasa pedih. Airmata yang bergenang cuba ditahan agar tidak tumpah.

"In.. ini... ini ab…abah Irah, kan?" terketar-ketar suara Bahirah tatkala soalan ini diajukan pada Irfan Shah sambil menunjukkan gambar salah seorang lelaki tampan yang ada di dalam gambar tersebut. Bahirah pasti itu abahnya sebab yang seorang lagi itu pastinya Tan Sri Shahrom.  Bahirah kenal wajah Tan Sri Shahrom kerana di dalam bilik Irfan Shah juga semasa di rumah agam, terlalu banyak potret-potret wajah Tan Sri Shahrom dipamerkan.

Irfan Shah memandang sayu pada Bahirah. Dia menganggukkan kepalanya.

"Angah jumpa gambar ni dalam kabinet di pejabat walid. Semasa mengemas bilik walid dulu, angah memang dah jumpa gambar ni. Hanya angah tak pasti siapa dengan walid dalam gambar tersebut. Lepas tau kisah Irah, angah terus tanya umi, baru angah tahu ini wajah abah Irah. That's why angah simpan sini sebab angah rasa Irah pasti nakkan gambar ini," jelas Irfan Shah dengan panjang lebarnya.

"Thanks angah. This is the first time Irah dapat lihat wajah abah. Irah syukur sangat-sangat." balas Bahirah dengan terharu. "Gambar ibu ada tak?" Bahirah bertanya kembali.

"Yang itu so far angah tak jumpa lagi. Nanti kita tanya umi, ok?" Bahirah mengangguk perlahan.

Terdengar ketukan di pintu dari luar. Belum sempat Irfan Shah sahut, kepala Irwan Shah tersembul di baik pintu dengan senyuman lebar di bibir. Sangkanya hanya Irfan Shah sahaja yang ada di dalam bilik ketika itu. Bila dia melihat ada susuk tubuh wanita duduk di sofa, hilang senyuman tadi dan diganti dengan wajah penuh tanda-tanya.  Irwan Shah memandang Irfan Shah dan membuat isyarat mata bertanyakan akan siapa gerangan wanita tersebut.  Irfan Shah faham... dan ini lah masa untuk mengusik alongnya.

"Masuk le Along. Mari angah kenalkan staff baru kita. Cik ni datang untuk lapur diri hari ini," Irfan Shah mula dah. Pantang ada peluang untuk menyakat pasti kesempatan itu tidak akan dilepaskannya.

Irwan Shah melangkah menghampiri Irfan Shah. Bahirah masih menunduk. Sebenarnya Bahirah sedang cuba utuk menahan diri dari ketawa. Gelihati dia dengan sikap Irfan Shah yang tak habis-habis nak kenakan Irwan Shah.

"Cik... kenalkan ini abang saya... bakal CEO syarikat ini," Bahirah terdengar suara Irfan Shah yang memulakan sessi perkenalan.

Bahirah lantas bangun dan dengan wajah selamba dia berdiri berhadapan dengan Irwan Shah.  Irwan Shah yang terpana melihat akan wajah dihadapannya terkaku tiba-tiba.

"Assalamualaikum En Irwan," Bahirah memberi salam dengan menghaluskan sedikit suaranya agar tidak dikenali Irwan Shah. Irfan Shah di sebelah Irwan Shah cuba menahan wajahnya dari tersenyum. 'boleh tahan jugak Irah ni...' hati berbicara gelihati.

"Waalaikumusalam," Irwan Shah menjawab salam.  Mata masih terpaku memandang Bahirah. Keningnya dikerutkan apabila menatap wajah gadis itu. Bibir bergerak-gerak bagaikan ingin menyatakan sesuatu.  Ketiga-tiga mereka tidak bersuara. Sekadar berdiri memandang satu sama lain. Seorang tahan gelak. Seorang dengan wajah selamba dan seorang lagi yang seperti dalam kebingungan. 

Tiba-tiba keadaan sepi itu dikejutkan dengan ketukan halus dipintu yang dalam pada masa yang sama ianya dibuka dari luar.  Ketiga-tiga mereka serentak mengalihkan perhatian ke pintu. Kelihatan Haji Talib melangkah masuk dengan menjinjing beg dan fail-fail yang sarat ditangan.  Pantas Irfan Shah menghampiri dan membantu Haji Talib.

"Haaa... semua dah ada di sini. Eloklah tu. Sekejap lagi boleh kita ke bilik mesyuarat. Uncle tak boleh nak lama kat sini, ada urgent hearing lepas tengahari nanti," Haji Talib bersuara lemah. Letih agaknya.

Haji Talib yang sedang menyusun fail-fail di atas meja Irfan Shah tiba-tiba mengangkat kepalanya dan memandang tepat ke arah Bahirah. Dahinya berkerut.

"Bahirah?" tanya Haji Talib selepas diperhati betul-betul akan wajah wanita yang berada dihadapannya.

Bahirah memberi senyuman lebar sambil menganggukkan kepalanya.  Dalam masa yang sama, dia menjeling ke arah Irwan Shah yang kelihatan terperanjat bila dengar Haji Talib menyebut namanya.

"Well.. well… well... you look different and lovely my dear. Alhamdullillah," ucapan syukur kedengaran di bibir Haji Talib yang melihat akan perubahan diri Bahirah.  Terpancar wajah keceriaan di wajah Haji Talib.

Irwan Shah yang sedari tadi membisu masih juga sebegitu. Mata masih memaku pada Bahirah. Raut wajah yang sukar ditafsirkan apa sebenarnya yang ada dihati juga fikirannya.

"Along... awat senyap je ni?" Irfan Shah hairan tengok Irwan Shah yang dari tadi kaku. Macamana CEO baru ni nak handle syarikat besar kalau begini reaksinya bila berhadapan dengan perempuan cantik. 'Aik! ada apa-apa ke along dengan Irah ni?' terdetik dihati Irfan Shah akan hal ini.  Senyum terukir di bibir. Mesti ada sesuatu yang terlintas di akalnya.

Haji Talib dengan Bahirah juga memandang Irwan Shah.  Irwan Shah yang perasan akan keadaan ini segera beralih duduk. Pantas dia melihat jam di tangan kirinya.

"Uncle, five more minutes. Shall we proceed to the meeting room?" Irwan Shah bersuara sekadar untuk menutup malu.

"OK.. lets move," Haji Talib menjawab sambil tangan dengan susah payah cuba mengangkat semua fail yang dibawanya tadi.

"It's OK uncle. Let me help," pantas Irfan Shah menghulurkan bantuan.

Mereka berjalan beiringan menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat dua.  Irwan Shah di belakang sekali masih tetap memandang susuk Bahirah walaupun bahagian belakang.  Hati benar-benar tidak karuan. Kenapa bila berhadapan dengan Bahirah, mulut bagaikan terkunci dan hati seringkali bernada tapi tidak seirama? Irwan Shah benar-benar keliru.  Belum pernah dia rasakan sebegini.  Dia belum bersedia untuk mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana wanita lagi. Umi dan adik-adiknya yang lebih menjadi keutamaan.

Di dalam bilik mesyuarat, kelihatan ada empat lelaki dan dua wanita sedang berbual-bual sesama mereka.  Sebaik melihat Haji Talib masuk dan diikuti beberapa anak muda, kesemua mereka mengalih perhatian dan memandang dengan penuh minat.  Ada yang berbisik sesama mereka. Dan ada juga yang memerhati dengan wajah yang serius.

Dua wanita yang turut berada di situ merupakan setiausaha syarikat yang ditugaskan untuk mencatit segala butir bicara yang dibincangkan di dalam mesyuarat ini.

Haji Talib mengambil tempat di kepala meja. Sementara Irwan Shah, Irfan Shah dan Bahirah berdiri di belakang Haji Talib.  Kesemua yang ada di dalam bilik itu memandang Haji Talib dengan sabar. Tetapi salah seorang diantara mereka memandang Bahirah dengan penuh minat.  Berkerut wajahnya bagaikan sedang cuba untuk mengingati sesuatu.

“Assalamualaikum semua,” Haji Talib memulakan bicara.  Mata tuanya memandang dari satu wajah ke satu wajah. Sekadar mahu lihat reaksi mereka apabila dia membaca isi wasiat Tan Sri Shahrom itu nanti.  Mata kemudian dialihkan ke kertas-kertas dalam fail yang ditangannya.

“Sebelum saya mulakan pembacaan wasiat ini, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terpaksa panggil mesyuarat ini di awal pagi.  Saya sendiri dalam keadaan tergesa-gesa kerana pukul 2 nanti saya perlu berkejar ke mahkamah pula.  Diharap semua faham.” Nafas ditarik dan dihembus seketika, sebelum bicaranya disambung semula.

“Saya, Haji Talib Bin Sulaiman, merupakan salah seorang pemegang saham di syarikat ini iaitu Badshah Holdings. Dan saya juga merupakan peguam rasmi syarikat yang diberikan mandat untuk mentadbir syarikat ini sepanjang ketiadaan pemilik syarikat yang juga CEO Badshah Holdings, yang seperti telah kita sedia maklumi, telah pergi meninggalkan kita. Oleh itu, mari kita bertafakur sebentar dan sedekahkan Al Fatihah pada arwah Tan Sri Shahrom, Datuk Ibrahim dan En Rahman. Al-Fatihah! Bismillah…” perlahan dengar suara Haji Talib bila mengungkapkan ayat yang akhir itu.  Semua yang hadir akur. Mereka menunduk bertafakur demi menghormati insan yang telah tiada.

“Ok… Alhamdullillah,” tangan diraupkan ke muka. “Mari kita mulakan,” dan semua mereka memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya.  Ketiga-tiga anak muda di sisi Haji Talib, masih disitu berdiri dengan setia.

“Sebelum dimulakan, lebih baik saya perkenalkan tiga figura yang berdiri di sisi saya ini, agar menjadi lebih mudah bila wasiat dibaca.  Yang di sebelah kanan saya ini, semua pasti sudah kenal… Irfan Shah Bin Shahrom. Anak kedua Allahyarham Tan Sri Shahrom yang selama ini memang bekerja di sini. Jadi semua dah kenalkan.” Nafas ditarik sedalamnya dan dihela perlahan-lahan. Dah tua cepat semput. Apatah lagi bila kena cakap banyak ni…

“Dan yang disebelah kiri saya pula merupakan anak sulung Allahyarham Tan Sri, Irwan Shah Bin Shahrom. Selama ini beliau menuntut dan seterusnya bekerja di Michigan, Amerika.  Beliau kembali ke sini kerana ingin meneruskan segala usaha-usaha yang ditinggalkan Allahyarham Tan Sri.” Berhenti sekali lagi.

“Seterusnya…” bicara disambung semula. “Yang berdiri di sebelah En Irfan Shah kita tu… Cik Bahirah Binti Badri. Siapa dia? Akan saya terangkan kemu….” Terhenti bicara Haji Talib bila terdengar bunyi benda jatuh.  Di sudut hujung meja kelihatan salah seorang pemegang saham syarikat sedang terpaku memandang tepat pada Bahirah. Bulat matanya memandang terus ke wajah Bahirah.  Raut terperanjat jelas terpamir di wajahnya. Dan bunyi tadi merupakan bunyi pen yang dipegangnya dah jatuh bergolek.

Kesemua mata memandang ke arah insan tadi, termasuk Bahirah. Bahirah juga terkesima bila melihat akan insan yang sedang memerhatikannya. Tergamam sebenarnya. Irfan Shah juga Irwan Shah perasan akan mata yang saling memandang itu.  Wajah Bahirah diperhatikan kemudian beralih ke wajah insan di hujung sana. Ali Hadi! 

“En Ali Hadi? Ada apa-apa masalah?” Haji Talib bersuara setelah melihatkan akan wajah Ali Hadi yang dalam keadaan terperanjat.

“Eee… Tu.. tuan haji… nothing. Takda apa-apa. Maaf!” merah wajah Ali Hadi. Baru dia perasan semua mata memandang padanya. Malu!!! Ali Hadi tunduk untuk mengutip pennya yang jatuh. Taktik untuk menutup keterujaannya.  Setelah agak tenang, dia pandang Bahirah semula. Dan mata mereka berpandangan.  Tanpa sedar senyum terukir di bibir masing-masing.

“Baiklah… kita sambung. Sekarang kita mulakan pembacaan wasiat bagi mengetahui siapakah yang bakal menggantikan tempat Allahyarham Tan Sri Shahrom dan Datuk Ibrahim.” 

“Ditangan saya ada sewarkah wasiat yang ditulis tangan dan ditandatangani oleh Allahyarham Tan Sri Shahrom sendiri. Asalnya surat ini merupakan draft wasiat dari Allahyarham untuk pihak kami taipkan semula bagi menjadikan satu wasiat yang lebih kemas. Dan belum sempat pihak kami memperkemaskan wasiat ini, Allahyarham telah dipanggil pulang. Jadi pihak kami telah meminta bantuan mahkamah untuk memutuskan bahawa warkah ini diterima sebagai wasiat terakhir Allahyarham Tan Sri Shahrom.

Mengikut apa yang tercatit di dalam wasiat ini, jawatan Pengarah Kewangan yang selama ini dipegang oleh Allahyarham Tan Sri, kini diserahkan  pada En Irfan Shah Shahrom. En Irfan Shah yang sebelum ini menyandang jawatan Pembantu Pengarah Kewangan merupakan insan yang paling layak untuk memegang jawatan Pengarah Kewangan Syarikat.”

“En Irfan… sila duduk di situ,” Haji Talib menyarankan supaya Irfan Shah duduk dikerusi yang telah disediakan. Irfan Shah menurut.

“Bagaimana dengan saham milik En Irfan…. ada berapa percent?” salah sorang ahli lembaga pengarah bertanya.

“Tentang saham akan saya terangkan kemudian. Harap bersabar,” balas Haji Talib. Kurang senang dengan soalan yang diutarakan.

“OK… boleh saya teruskan?” kedengaran Haji Talib mendengus perlahan. Mata memandang dari satu wajah ke satu wajah. Tajam!

Nafas ditarik keras dan dihembus perlahan.  “Bagi jawatan CEO syarikat yang sebelum ini milik Allahyarham Tan Sri Shahrom, kini secara automatiknya diserahkan pada  En Irwan Shah Shahrom.” Haji Talib berhenti. Kali ni gelas dihadapannya dicapai. Air diteguk bagi membasahkan tekak.  Haji Talib mengisyaratkan Irwan Shah supaya duduk di kerusi yang dikhaskan untuk CEO.  Irwan Shah akur. Haji Talib menganggukkan sedikit kepalanya pada Irwan Shah bila Irwan Shah sudah duduk dikerusinya. Irwan membalas anggukan Haji Talib.

“Seterusnya, untuk jawatan Timbalan CEO, yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Datuk Ibrahim, dimansuhkan. Dan digantikan dengan jawatan Pengarah Urusan… Managing Director. Allahyarham Tan Sri mahu supaya jawatan ini dikembalikan. Oleh itu jawatan Pengarah Urusan ini akan disandang oleh Cik Bahirah Binti Badri.” Haji Talib memerhati keadaan sekeliling. Mahu lihat reaksi dari pemegang-pemegang saham di hadapannya. Kelihatan mereka berbisik sesama sendiri.

“Any question?” Haji Talib bersuara. Haji Talib tahu mesti ada yang tidak berpuashati dengan perkembangan terbaru ini.

“Tuan Haji? Kenapa Cik Bahirah? Apa kena mengena Cik Bahirah dengan kita?” soalan ditanya oleh salah seorang pemegang saham yang paling senior.

“I’ll explain.” Haji Talib membalas rengkas.

“Begini ya… bagi yang tahu latarbelakang penubuhan Badshah Holdings ni pasti tahu bagaimana ia bermula. Namun, pada yang tidak mengetahuinya akan saya ceritakan serba sedikit dan secara ringkas di sini,” jam ditangan dipandang sekilas.  Haji Talib takut dia terlewat untuk ke mahkamah nanti.

“Masa mula syarikat ini ditubuhkan, ianya dimiliki dan diasas oleh Allahyarham Badri Bin Burhan…. iaitu bapa Cik Bahirah kita ni.  Allahyarham Badri juga merupakan abang kepada Puan Sri Badariah. Semasa Allahyarham Badri sedang nazak, beliau sudah menyerahkan syarikat ini sepenuhnya pada Tan Sri Shahrom dan Puan Sri Badariah… tetapi seperti yang kita kenal keperibadian Tan Sri Shahrom, beliau tidak sesekali mengambil syarikat ini sepenuhnya atas nama beliau. Hak milik Allahyarham Badri masih dijaga kerana Allahyarham Badri punyai waris.  Allahyarham Tan Sri takut termakan harta hak milik anak yatim.  Dan setelah sekian lama, kini sudah tiba masanya hak itu dikembalikan pada yang berhak. Seperti yang semua sudah sedia maklum, jumlah peratusan saham milik Allahyarham Tan Sri… kini… terbahagi dua. Selama ini sebahagian dari saham itu dijaga oleh Allahyarham Tan Sri hanya sebagai proksi sahaja.” Haji Talib berhenti seketika untuk menarik nafas.

“Maka dengan ini dimaklumkan bahawa Badshah Holdings akan diterajui oleh ketiga-tiga anak muda ini dan diharap tuan-tuan semua dapat memberi kerjasama sepertimana yang tuan-tuan lakukan semasa bersama Allahyarham Tan Sri Shahrom.”

Kesemua mereka yang ada di situ berdiri dan memberi tepukan sebagai tanda sokongan di atas perlantikan yang baru diumumkan. 

Kelihatan Ali Hadi yang paling ceria sekali.




~ Kasih Bertamu {Bab 22}



Bahirah bersiap-siap untuk ke pejabat Haji Talib.  Semalam Haji Talib telefon Bahirah minta dia datang berbincang tentang tabung biasiswa untuk anak-anak yatim seperti yang dicadangkan Bahirah.  Mengikut kata Haji Talib, dia akan berada di pejabat sepanjang hari.

Awal-awal lagi Bahirah sudah selesaikan semua kerja rumah.  Dia harus selesaikan juga rancangannya ini sebelum dia memulakan kerja di Badshah Holdings nanti.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 9:30 pagi.  Dia harus segera bergerak sekarang.  Kalau boleh Bahirah tak mahu membiarkan Haji Talib menunggunya.  Biar dia yang menunggu.

Bahirah segera membawa bungkusan sampah ke  luar rumah.  Diletaknya bungkusan beg hitam tu di tempat yang telah disediakan bersebelahan dengan pintu pagar rumahnya.  Sebaik Bahirah berpaling, Bahirah lihat jiran sebelah rumahnya sedang mengeluarkan barang dari kereta.

“Assalamualaikum Mak Piah!” Bahirah menegur dengan memberi salam.

“Waalaikumusalam Irah.  Irah nak kemana tu? Pagi-pagi lagi dah cantik.  Kata Irah cuti lagikan?” Mak Piah membalas teguran Bahirah dengan soalan.

“Irah cuti lagi.  Tapi ni nak pergi pejabat lawyer sat.  Ada hal sikit,” jelas Bahirah pada Mak Piah. “Pak Wan mana Mak Piah?”

“Pak Wan kamu tu, tu haaa… ada kat dalam. Sakit perut katanya. Tak dan nak keluar barang ni dia dah mencicit lari,” beria-ia Mak Piah bercerita siap dengan gayanya sekali.

Gelihati Bahirah melihatkan cara Mak Piah bercerita.

“Tak pa lah Mak Piah, Irah minta diri dulu ye?  Takut terlewat sampai sedangkan dah buat temujanji,” Bahirah mohon diri.  Sopan sungguh tingkah laku Bahirah.  Mak Piah memang sukakan Bahirah, tapi apa nak buat anak lelaki dia seorang saja, itupun sudah berumahtangga.

Bahirah masuk ke dalam kereta.  Seketika kemudian enjin kereta dihidupkan.  Bahirah melambai tangannya pada Mak Piah.  Kereta diundurkan perlahan keluar dari perkarangan rumah.  Mak Piah masih di tepi pagar membalas lambaian Bahirah.  Mak Piah akan tetap di situ sehingga kereta Bahirah hilang dari pandangan.  Itulah yang selalu Mak Piah lakukan.  Dia risau sebab Bahirah perempuan.  Walaupun dia tahu Bahirah boleh menjaga dirinya sendiri, tapi naluri keibuannya yang sentiasa risau terhadap anaknya. 

Ya! Bahirah telah Mak Piah dan Pak Wan anggap sebagai anak sendiri.  Walaupun mereka mempunyai tiga orang anak, tapi ketiga-tiga anak mereka tinggal berjauhan.  Kesemuanya sudah berumahtangga.  Jadi, Bahirah lah yang dijadikan pengganti anak-anaknya.  Anak-anak Mak Piah pun rapat dengan Bahirah.  Bahirah dianggap sebagai adik mereka sendiri.  Bahirah memang beruntung.

Empat puluh lima minit kemudian, Bahirah tiba di pejabat Talib, Wong & Associates.  Sebaik saja Bahirah muncul di ruang legar pejabat peguam tersebut,  dia disambut mesra oleh penyambut tetamu yang ada di situ.

“Cik Bahirah ya?  Nak jumpa Tuan Haji?”  dia terlebih dahulu disapa oleh penyambut tetamu yang manis itu.

Dengan senyuman manis tersungging dibibirnya Bahirah menganggukkan kepalanya.

“Tuan Haji tunggu cik kat dalam.  Tuan Haji pesan, kalau cik Bahirah sampai,  terus saje ke biliknya. Sila lah cik Bahirah ke bilik Tuan Haji,”

“Saya boleh terus ke bilik Tuan Haji?”  Bahirah bertanya untuk kepastian.  Penyambut tetamu itu menganggukkan kepalanya.

“Terima kasih,”  Bahirah terus melangkah ke bilik Haji Talib.  Sebaik tangannya diangkat untuk mengetuk pintu bilik tersebut, tiba-tiba Bahirah terdengar Haji Talib sedang berbual di telefon. Rupanya pintu bilik Haji Talib tidak bertutup rapat.  Bahirah dapat dengar dengan jelas.

“Jangan risau.  Sooner or later kita akan tahu sapa punya angkara. Angah sabar ya?”

‘Angah? Dengan Irfan Shah ker?’ Bahirah berbicara dalam hati. Dia terus pasang telinga.

“Insyaallah. Kita tahu ini bukan kemalangan.  So pasti akan ada kepincangan di mana-mana. Kita serahkan pada polis untuk buat kerja,”

Diam seketika.  Mungkin angah sedang memperkatakan sesuatu.

“No… No… you better let the police do their work.  Angah jangan bertindak sendirian.  Kita pun tak pasti maklumat tu betul ker tak!”

“Cik Bahirah,” terperanjat Bahirah bila tiba-tiba terdengar namanya dipanggil.  Bahirah berpaling ke belakang.  Kelihatan gadis penyambut tetamu yang manis itu berdiri di belakang Bahirah.  “Kenapa tak masuk lagi?”

“Ohh… saya memikirkan sesuatu tadi. Tak pa, saya ok dah. Saya masuk sekarang,” jawab Bahirah pantas.  Dia mengelabah sungguh.  Risau dia kalau gadis tu tahu dia mencuri dengar.

Terus pintu bilik Haji Talib diketuknya.

“OK angah. Ada orang datang.  Uncle kena letak dulu.  Later kita sembang lagi. But remember, let police handle this case. Understand?  Ok Assalamualaikum,” ganggang telefon segera diletakkan.

“Masuk!”

Bahirah menolak pintu bilik Haji Talib yang sedia renggang tadi.  Haji Talib agak terkejut bila lihat siapa yang masuk.  Tapi dia cuba berlagak biasa.

“Irah!  Masuk.  Sila duduk.  Lama dah Irah sampai?” Haji Talib bertanya sekadar untuk berbasi-basa.

“Lama jugak uncle. In fact, I heard most of it.” Bahirah berhenti disitu.  Ingin dia lihat reaksi Haji Talib.  Ternyata Haji Talib terperanjat.

“What do you mean?”

“I didn’t mean to eavesdrop. Tapi tadi pintu uncle tak rapat.  Masa Irah nak ketuk, I accidentally heard apa yang uncle borakkan. Dengan angah bukan?”

Haji Talib memandang tepat ke mata Bahirah. ‘Betul ke Irah dengar tadi?’ dia bertanya dalam hati.

“So… Is it true uncle?” soal Bahirah lagi setelah Haji Talib tidak menjawap soalannya tadi.

“About what?” soalan dibalas dengan soalan.  Haji Talib sekadar ingin menguji sejauh mana Bahirah sudah mendengar butir bicara dia tadi.

“About kematian walid.  It’s not an accident, right?”  Bahirah bertanya tanpa perlu berselindung lagi.

Haji Talib menarik nafasnya dalam-dalam dan menghembuskannya.  Bahirah direnung tajam.  Cuba hendak mentafsir apa yang tersirat di seraut wajah gadis di hadapannya itu. ‘Cekap budak ni!’ getusnya dalam hati.

“Uncle… uncle jangan risau.  Mesti ada sebab kenapa uncle dan angah rahsiakan semua ini.  Dan Irah takde niat langsung untuk menceritakan pada sesiapa pun, ataupun bertanyakan pada sesiapa.  Tapi kalau Irah tahu sikit sebanyak cerita tentang hal ini, Irah amat menghargainya.  Who knows, one day Irah yang dapat bongkar misteri disebalik kemalangan ini,”  senyum nakal terpamir di wajah Bahirah.  Haji Talib terpana.

‘ada sisi nakal juga anak gadis Badri ni,’ kata-kata yang hanya terluah dihati Haji Talib saja.  Spontan… Haji Talib tersenyum.  Sedikit kelegaan bila dengar apa yang Bahirah tuturkan tadi.  Haji Talib bangun dari kerusinya dan duduk pula di  kerusi bersebelahan dengan Bahirah.

“Apa yang Irah dengar tu betul.  Selain dari pihak polis, hanya uncle, along dan angah saja yang tahu hal ini. And now Irah juga.  Kami kalau boleh tak nak hebahkan selagi belum ada bukti.  Especially not to umi Irah.  Kami tak nak umi korang terus bersedih.  Tengok sekarang ni, dengan kehadiran Irah, Puan Sri sudah kembali ceria.  At least kehilangan Tan Sri sikit sebanyak terubat dengan kehadiran Irah.”  Haji Talib menutur perlahan.

“Uncle, Irah janji apa yang Irah dengar tadi habis di sini.  Promise! Now, can we discuss tentang rancangan Irah tu?  Betulkan uncle nak join Irah sekali?”  Bahirah cuba menukar topik demi menjaga hati Haji Talib.

Haji Talib menepuk bahu Bahirah lagak seorang ayah pada anaknya.  Lebar senyuman diwajahnya diserta dengan anggukan kepala.

“Come… kita mulakan.” Haji Talib kembali semula ke meja kerjanya.





Tuesday 24 September 2013

~ Kasih Bertamu {Bab 21}



“Hari ini temujanji aku dengan Ali Hadi… malas betul nak keluar. Tapi since dah terlanjur berjanji, kena tunaikan… hummpphhh,” keluhan dilepaskan. Lama Bahirah menatap wajahnya di cermin. Dikerutkan mukanya. Dibelek-belek wajahnya dari kiri ke kanan. Letih keluar semalam belum hilang lagi, ni dah kena bersiap untuk keluar lagi. 

Bahirah kemudian tersenyum pada imbasan wajahnya di cermin.  Terbayang di mata saat-saat manis yang dilaluinya bersama-sama teman-teman juga abang-abang sepupunya. Ya.. semalam bukan hanya dia, Nasriq, Cassy dan Darren saja yang pergi  menonton, tetapi turut disertai Irwan Shah, Irfan Shah dan Zahid.

Semasa mereka sedang asyik berbual semalam, Irfan Shah yang entah dari mana datangnya tiba-tiba muncul bersama teman baiknya Zahid. Setelah sessi perkenalan berlaku, Darren lantas mengingatkan yang tujuan asal mereka berkunjung ke situ. Bila Irwan Shah, Irfan Shah dan Zahid tahu yang Bahirah dan teman-teman ingin menonton wayang, mereka menawarkan diri untuk turut serta.

Semasa di dalam panggung, Bahirah duduk diapit Nasriq dan Irwan  Shah. Sudahnya Bahirah keras di kerusi. Bahirah pun tak perasan macamana susunan tempat duduk boleh jadi begitu.  Bahirah kalau boleh hendak duduk disebelah Cassy. Tapi Cassy awal-awal lagi sudah memilih untuk duduk disebelah tepi sekali sebab katanya untuk memudahkan dia berulang-alik ke toilet.  Cassy ni memang ada masalah dengan keadaan sejuk. Di pejabat pun, ruangan dia mesti jauh dari air-cond. Jadi, takkan Bahirah nak duduk sebelah Darren. Segan le Bahirah. Akhirnya Nasriq yang duduk disebelah Darren dan Bahirah pula di sebelah Nasriq. Sedar tak sedar, Irwan Shah sudah pun menempatkan dirinya di sebelah Bahirah, diikuti dengan Irfan Shah dan Zahid.  Sungguh Bahirah tidak selesa. Yang lucu tu… popcorn di tangan Bahirah, bukan dia yang makan, tapi dihabiskan oleh kedua-dua pengapitnya. Gelihati Bahirah bila kenangkan kembali apa yang berlaku semalam.

Bahirah menoleh ke kiri untuk melihat jam di dinding biliknya. “Hah! Dah 11:30? Lamanya aku berangan!” Bahirah dengan pantas menyiapkan solekan di wajahnya. Dia sekadar memakai celak dan bergincu nipis. Setelah dibelek pakaian yang ada ditubuhnya, Bahirah mengangguk pada imbasan dirinya di cermin. Puashati dengan apa yang dilihatnya di cermin.

Bahirah lantas mencapai tas tangan dan kunci keretanya dan segera meninggalkan bilik.  Setelah pintu rumah dikunci, Bahirah segera ke kereta. Sementara enjin kereta dipanaskan, Bahirah mencapai telefon bimbitnya dan terus membuat panggilan.

“Waalaikumussalam En Hadi. Saya nak bergerak dah ni?” senyap seketika.

“En Hadi kat mana ni? OK… apakata kita jumpa kat Shah Alam. Restoran Tupai-Tupai? Kalau En Hadi sampai dulu, tunggu je dekat sana. OK.. see ya!” talian dimatikan.

Bahirah sengaja memilih Restoran di Shah Alam sebab dekat sikit dengan kediaman dia.  Ali Hadi baru nak keluar Ampang.  Paling-paling pun setengah jam baru sampai.  Bahirah tersenyum sendiri.  Bukannya dia nak mendera Ali Hadi, tapi dia sebenarnya dah letih sangat. Malas dia nak memandu jauh-jauh. At least, dia ada masa untuk rehat sebentar sementara menunggu Ali Hadi sampai.

Bahirah tersenyum-senyum sendiri sambil mendengar celoteh juruhebah di radio.  Dia masih bersandar di dalam keretanya.  Dia mahu menunggu Ali Hadi tiba baru sama-sama masuk ke restoran.  Bukannya apa, Bahirah segan kalau sekadar duduk tanpa pesan apa-apa.  Kalau dia nak pesan pun bukannya salah, tapi sekadar menghormati tetamu.  Ali Hadi merupakan tetamu Bahirah, jadi seeloknya biarlah mereka memesan makanan bersama.

Tidak lama lepas itu, Bahirah nampak kelibat Ali Hadi yang laju melangkah menuju ke pintu restoran.  Cepat-cepat Bahirah keluar dari kereta dan terus memanggil Ali Hadi.  Ali Hadi berpaling dan kelihatan senyuman lebar diwajahnya tatkala terlihat Bahirah. Ali Hadi melangkah menghampiri Bahirah. Bahirah kaget. ‘Kenapa lain sungguh Hadi hari ni? Handsome nya!’ hati mula menggatal.

“Cik Bahirah dah lama sampai?” terus soalan diajukan sebaik sahaja mereka berhadapan.  Senyuman masih di bibir.  Tergamam seketika Bahirah melihat senyuman yang begitu menawan.

“Err… tak… tak En Hadi. Tak sampai 10 minit,” balas Bahirah tergagap-gagap.

“So… shall we?” pelawa Ali Hadi. Tersipu-sipu Bahirah.  Harap sangat Ali Hadi tak perasan yang Bahirah terpaku dan asyik memerhatikannya. 'Kenapa hari tu nampak lain?' bisik hati Bahirah. Masih tidak puashati.

Bahirah hanya menuruti Ali Hadi dari belakang. Ali Hadi telah memilih meja yang agak tersorok sedikit. Mungkin dia inginkan privacy.  Bahirah hanya menurut.  Ali Hadi kemudiannya menarik sebuah kerusi dan memberi isyarat supaya Bahirah duduk di situ. Gentleman sungguh!

"Terima kasih," balas Bahirah.

"Selalu ke Cik Bahirah makan dekat sini?" Ali Hadi bertanya sebaik dia melabuhkan diri di kerusi bersetentangan dengan Bahirah. Masih tersenyum.  Bahirah sudah mula cair.

Belum sempat Bahirah menjawab, seorang pemuda, pramusaji restoran mampir untuk mengambil order minuman.

"Fresh orange for me..." Ali Hadi memandang sekilas pada pemuda tersebut sebelum dialih perhatian pada Bahirah pula.

"And carrot susu untuk saya," giliran Bahirah pula.

"So... selalu ke Bahirah ke mari?" soalan tadi ditanya semula.

"Selalu tu tak lah.  Company suka buat  dinner dekat sini. Saya pula ada lah dua tiga kali datang dengan officemate. Waktu macam ni hanya ada buffet lunch saja. Banyak pilihan lauk-pauk, itu yang best tu. Petang hingga malam baru ada macam-macam, ala-carte, western etc." panjang lebar pula jawapan Bahirah kali ini.

Bahirah mengelabah sebenarnya apatah lagi Ali Hadi asyik memandang pada dia saja. Renungan mata Ali Hadi yang buatkan dia tak tahan. Tajam dan menusuk ke jiwa. Dengan alis hitam lebat, anak mata juga hitam pekat.... melekat sungguh di hati!

"Errmmm... aa... apa... apa kata... ehem!" tergagap lagi Bahirah ni. Akhirnya dia berdehem untuk mengatasi sikap gelabah dia. Tak pernah dia berperasaan begini. Selalunya dia main bolayan saja dengan renungan lelaki.  Tapi yang ini, dia benar-benar kalah. Bahirah lantas beristighfar dalam hati bagi menenangkan dirinya.

"Sorry. Apa kata kita pergi pilih lauk? Or biar saya yang pergi pilih. En Hadi ada apa-apa pantang ker?" Bahirah bertanya sambil mata cuba dilarikan dari terus memandang Ali Hadi.

"Kalau makan saya tak ada pantang. Tolak batu dan kayu je. Tapi kalau berkawan, pantang kalau kawan panggil saya encik," Ali Hadi masih tersenyum.

"Ooo… Kalau begitu, saya pun jangan dipanggil cik... terlalu formal," balas Bahirah cuba berlagak tenang.

"Okay... agreed! Now boleh kita pilih lauk sekarang Bahirah?" Ali Hadi bertanya lembut sambil mata menjeling manja.

'Adoyai... kalau macamni, mau gugur jantung ni!' gerutu Bahirah di dalam hati. Anak matanya dilarikan dari terus ditatap oleh sepasang mata Ali Hadi. Bahirah cuba berlagak selamba. Cuba melawan gejolak rasa yang sejak tadi bermukim. Bahirah mula melangkah mendahului Ali Hadi menuju ke meja buffet.

Setelah selesai membuat pilihan, Bahirah bergerak kembali menuju ke meja.  Ali Hadi dilihat sedang bercakap dengan salah seorang pekerja di situ. Sebentar sahaja kerana dilihat Ali Hadi melangkah kembali ke meja.

“Saya pesan air kosong.” Tutur Ali Hadi tanpa ditanya. Bahirah sekadar mengangguk.

Tidak lama selepas itu, kelihatan dua orang pramusaji datang menatang dulang yang penuh berisi lauk dan nasi. Setelah selesai dihidang, mereka berundur meninggalkan Bahirah dan Ali Hadi menikmati hidangan tengahari yang dipilih tadi. Tidak banyak perkara yang dibualkan.  Masing-masing leka menikmati hidangan.

“Thanks kerna sudi teman saya untuk lunch hari ini,” tiba-tiba Ali Hadi bersuara.  Kelihatan Ali Hadi sudah selesai

“Apa pulak? Bukankah saya yang sudah berjanji sebagai membalas jasa baik Hadi menyelamatkan Irah tempohari?”

“One way or another… Apa saja alasannya, ianya tetap sama. Irah sekadar nak belanja saya makan and at the same time saya ada teman untuk lunch hari ni. Selalunya… makan sorang-sorang..” tiba-tiba suara Ali Hadi kedengaran begitu sayu, seperti ingin bermanja. Bahirah tiba-tiba ketawa kecil.

“Irah ngejek saya ya?” Ali Hadi bertanya sambil mengangkat sebelah keningnya. Wah! Dah seperti Ziana Zain. Bahirah menutup mulutnya dengan jari. Cuba bertahan dari terus ketawa.  Ali Hadi memandang pelik.

Selesai menjamu selera, mereka mula meninggalkan restoran tersebut. Setibanya di kereta Bahirah, Ali Hadi bersandar sementara mata asyik memandang Bahirah.

"Bila kita boleh jumpa lagi?" Ali Hadi bertanya.

"Insyaallah... bila-bila kalau ada masa terluang," dalam tersipu-sipu Bahirah menjawab.  Tak senang duduk dibuatnya bila Ali Hadi merenungnya sebegitu.

"Betul?" seperti tidak percaya pula Ali Hadi.  Bahirah sekadar ketawa. Kepala dianggukkan.

“Irah betul tak nak jalan-jalan dulu?”

“No thanks. Irah nak balik.  Ada kerja nak buat.” jawab Bahirah tenang.

Ali Hadi melihat jam di tangan. Sudah hampir jam dua petang. “Baiklah kalau begitu.  Nanti boleh kan kalau saya call Irah?”

“Boleh saja,” balas Bahirah ringkas.  “Saya mohon diri dulu Hadi.” Sambung Bahirah lagi.

Ali Hadi membuka pintu kereta di bahagian pemandu dan mengisyaratkan Bahirah untuk masuk.  Sebaik Bahirah masuk, pintu ditutup cermat.

“OK… drive hati-hati ya?” pesan Ali Hadi tatkala Bahirah menghidupkan enjin keretanya.  Cermin kereta diturunkan. Kereta diundur perlahan. Ali Hadi melambaikan tangannya dan Bahirah membalas lambaian dengan senyum manis terpamir di wajahnya. Ali Hadi memerhati kereta Bahirah meluncur perlahan meninggalkan kawasan restoran. Akhirnya berpisahlah mereka di situ.

Belum pun jauh Bahirah meninggalkan Ali Hadi, bunyi SMS masuk ke telefon bimbitnya. Dengan sebelah tangan, Bahirah mencapai telefon dan terus ke inbox. Tertera nama Hadi.  Senyuman makin melebar. SMS dibuka.

Thanks for the lovely afternoon. Hope to see you again, soon. Drive careful!