Purple Flowers

Wednesday 29 January 2014

~ Bidadarikah Aku? {Bab 9}


Dua minggu berlalu…

Adi Shafeer menangis dengan kuat sekali. Puas Shahriza dan Shahrizana memujuknya. Tadi tidur okey je. Tiba-tiba dia terkejut dan terus menjerit.

“Akak… bagi le Shafeer susu. Dia lapar kut?” ujar Sharizana sambil memandang sayu pada anak saudaranya itu.

“Susu dah habis. Kan petang tadi tin jatuh? Habis tumpah semua langgar dek kucing?” balas Shahriza pula. Dia benar-benar risau melihat akan keadaan anaknya itu. “Tadi lagi akak dah suruh yob belikan. Tapi sampai sekarang yob tak balik-balik lagi.”

“Kejap Zana call yob.” Shahrizana pantas meninggalkan bilik dan terus mencapai telefon bimbitnya di tengah rumah. Seketika kemudian terdengar bunyi nada dering telefon Shahrizal berhampiran dengannya.

“Laaaa… yob tak bawak telefon le pulak! Kacau sungguh. Akak, ayah dengan ibu balik pukul berapa?” kelam kabut Shahrizana bila Adi Shafeer masih terus menangis.

“Akak tak tahu. Ermm… Zana! Biar akak pergi kedai sekejap. Zana tolong tunggu Shafeer,” tiba-tiba terlintas di kepala untuk dia sendiri pergi beli susu. Shahriza segera menukar baju dengan mengenakan baju kurung. Tudung ekspress yang disangkut di kerusi dicapai dan dipakainya.

“Akak jangan lama-lama!” laung Shahrizana sebaik sahaja Shahriza melangkah ke luar pintu.

Shahriza mengambil jalan belakang agar cepat sampai ke kedai runcit yang ada di kampung itu. Kedai itu terletak di seberang jalan besar dan tidak jauh dari rumah mereka. Walaupun keadaan agak sunyi, namun dengan adanya lampu jalan ianya sedikit melegakan Shahriza.

“Assalamualaikum Pak Mail,” Shahriza menegur tuan punya kedai yang kelihatan sedang berkemas untuk menutup kedai. “Nak tutup dah ke?”

“Eh.. Iza. Waalaikumussalam. Haah… dah sembilan lebih ni. Pak Mail nak balik dah. Ada apa-apa yang Iza nak beli?”

“Iza nak susu tepung untuk kanak-kanak. Ada tak?”

“Cuba Iza tengok dekat rak belakang. Ada banyak susu tepung sana. Pilih lah,” Haji Ismail menunding ke arah belakang kedai. Shahriza melangkah ke arah yang ditunjuk Haji Ismail. Ada beberapa jenis susu. Shahriza memilih jenama yang biasa dia gunakan.

“Nah Pak Mail!” Tin susu dihulurkan bersama dua keping wang dua puluh ringgit.

Pak Mail memasukkan tin susu tersebut ke dalam beg plastik dan diserahkan pada Shahriza berserta wang baki.

“Terima kasih Pak Mail. Iza balik dulu. Assalamualaikum,” Shahriza mula melangkah meninggalkan kedai runcit tersebut.

“Waalaikumussalam. Hati-hati jalan tu Iza,” pesan Haji Ismail sebaik sahaja Shahriza melangkah keluar dari kedainya. Shahriza menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

Pada masa yang sama, Sabri, seorang anak muda nakal di kampung itu sedang menuju ke kedai kopi milik Haji Ismail yang bersebelahan dengan kedai runcit tadi. Terbeliak matanya melihat Shahriza yang keluar dari kedai runcit tersebut. Dengan pantas dia berlari ke kedai kopi, di mana Tajul bersama dua lagi rakannya sedang bermain dam.

“Tajul! Tajul!” tercungap-cungap nama Tajul dipanggil Sabri.

“Apa hal kau ni? Macam nampak hantu je…,” balas Tajul kehairanan.

“Bukan nampak hantu, tapi nampak pujaan hati kau baru keluar dari kedai sebelah.”

“Hah! Kau biar betul?” tanya Tajul tidak percaya.

“Betul lah. Dia lalu ikut jalan belakang,” beria-ia Sabri memaklumkan pada Tajul.

“Ish.. jom… cepat… cepat…” kelam kabut mereka meninggalkan kedai kopi tersebut dan terus menuju ke laluan di belakang kedai runcit Haji Ismail itu.

Keempat-empat mereka berlari mengikut jejak Shahriza.

“Shh! Shh! Jangan bersuara!” bisik Tajul pada rakan-rakannya.

Bila mereka kian hampiri Shahriza, Tajul berdehem. Shahriza yang terperanjat terus berpaling. Hatinya benar-benar tidak keruan bila dia lihat Tajul dan rakan-rakan begitu hampir dengan dirinya.

“Hai sayang! Kenapa datang ke kedai tak bagi tahu abang? Kalau tak, boleh abang tolong temankan,” dengan gaya gatalnya Tajul menegur Shahriza.

“Tajul! Tak apa, Iza dah nak balik ni. Terima kasih,” balas Shahriza dengan getar suara yang cuba ditahannya.

“Boleh abang temankan sayang balik?”

“Terima kasih. Iza boleh balik sendiri. Lagipun, bukannya jauh,” Shahriza cuba melayan sebab dia takut Tajul dan rakan-rakannya mengapa-apakannya nanti.

“Janganlah laju sangat jalan tu. Apa kata kita duduk sembang-sembang dulu? Abang rindu dengan sayang,” gatal Tajul makin menjadi. Shahriza semakin panik apatah lagi bila rakan-rakan Tajul sudah mula mengepung dirinya.

“Sayang jangan takut. Abang sekadar nak bermanja dengan sayang. Tu lah, siapa suruh dulu jual mahal sangat. Abang nakkan sayang, sayang pilih Razman tak guna tu. Sekarang apa dah jadi? Dia tinggalkan sayang! Kalau sayang pilih abang, pasti sayang akan abang tatang bagai minyak yang penuh. Lagi pun, sayang sekarang makin cantik, makin mengancam,” tersengih-sengih Tajul bila dia rasa dia bakal memiliki tubuh Shahriza pada malam ini. Rakan-rakannya sudah mula ketawa sesama mereka.

“Teruskan Tajul. Dia tak kan dapat lari ke mana. Kami dah tolong kepungkan ni,” terdengar suara salah seorang rakan Tajul memberi sokongan.

Shahriza sudah semakin panik. Dia baling tin susu di tangannya tepat ke dada Tajul. Tersenak Tajul sekejap. Dalam pada masa yang sama, Shahriza membuka langkah menuju ke jalan besar. Rakan-rakan Tajul yang terperanjat dengan tindakan Shahriza segera mengejarnya. Tajul mengikut dari belakang. Shahriza yang cuba berlari dalam suasana malam yang kelam, tiba-tiba tersadung pada akar kayu yang menjalar di tanah. Dia tersungkur. Belum sempat dia bangun berdiri, Tajul sudah memegang bahunya.

“Tolong Tajul! Tolong lepaskan aku. Biarkan aku balik. Tolong jangan apa-apakan aku,” rayu Shahriza yang meronta-ronta cuba melepaskan diri dari pegangan Tajul. Dalam rontaannya, baju Shahriza terkoyak akibat direntap Tajul.

“Bodoh lah aku kalau aku lepaskan kau! Dah lama aku idamkan kau. Kalau cara baik aku tak dapat, aku buat cara kasar. Lepas ni aku pasti akan memiliki kau sepenuhnya. Aku berjanji sayang, aku akan bertanggungjawab, asalkan kau sehidup semati dengan aku.” Tajul seperti sudah tidak dapat mengawal dirinya. Tudung Shahriza tersingkap. Makin galak matanya tatkala memandang kulit putih di bahu dan sebahagian dada Shahriza yang kian terdedah akibat rentapannya pada baju Shahriza tadi. Dalam suasana malam yang kelam tu, kulit putih melepak Shahriza menaikkan nafsu Tajul.

Tajul memberi isyarat pada rakan-rakannya untuk memegang Shahriza. Pada masa yang sama tudung Shahriza direntap. Akibat dari itu, rambut Shahriza yang panjang terurai terlepas dari ikatan. Terpegun Tajul melihatkan kejelitaan wanita di hadapannya. Lagi bertambah bernafsu Tajul jadinya. Tubuh Shahriza ditindihnya. Bahu Shahriza dipegang dan dirabanya. Perlahan-lahan rabaannya turun ke dada Shahriza yang kian terdedah.

“Tolong Tajul! Tolong jangan apa-apakan aku. Aku merayu Tajul. Ingatlah pada Allah Tajul,” Shahriza masih cuba memujuk Tajul. Tajul tersengih mendengar rayuan Shahriza.

Dalam pada itu, wajah Shahriza yang sudah dibasahi airmata didekatkan. Bibir Shahriza cuba dipagutnya. Tiba-tiba Tajul terasa perit di pipi. Entah macamana tangan Shahriza yang dipegang rakannya terlepas dan melekap di pipinya. Sempat Shahriza menampar Tajul. Tajul mula berang.

“Melawan ya? Ini yang aku makin geram ni,” menyeringai Tajul menahan perit di pipinya.

Tangannya juga sudah semakin ringan. Dia mula mengangkat tangan untuk membalas tamparan Shahriza tadi. Tiba-tiba…

“Hoi!!! Korang buat apa tu?” terdengar suara sergahan tidak jauh dari tempat mereka berada.

Tajul dan rakan-rakannya yang terperanjat segera melepaskan Shahriza dan mula membuka langkah.

“Lari! Lari! Lari!” teriak dia pada rakan-rakannya.

Lintang pukang mereka berempat bertempiaran melarikan diri. Tajul berlari terus ke jalan besar dan entah macamana pada masa yang sama sebuah lori sedang melalui kawasan tersebut. Kemunculan Tajul di atas jalan tersebut secara tiba-tiba mengejutkan pemandu lori tersebut. Namun tindakan spontan pemandu itu menekan brek, gagal untuk mengelak dari melanggar tubuh Tajul yang juga pada masa yang sama terkejut dengan kehadiran lori yang entah dari mana datangnya. Tubuh Tajul melambung sebelum menghempas ke atas jalan besar. Rakan-rakannya yang sedar akan kejadian itu tergamam. Segera mereka berlari mendapatkan Tajul.

Shahriza yang melihat akan kejadian tersebut, menjerit. Sejurus lepas itu dia tidak sedarkan diri.

Haji Ismail yang menyaksikan semua kejadian ini, bersama pembantunya Salleh, segera menghampiri Shahriza. Beg plastik berisi tin susu yang ditangannya diletakkan ke tanah.

“Salleh, kau pergi tengok Tajul tu. Lepas tu kau kemari semula. Cepat!” Haji Ismail memberi arahan pada pembantunya. Dalam masa yang sama Hajjah Zainab, isteri Haji Ismail menghampiri suaminya yang sedang menutup tubuh Shahriza dengan kain serban milik Haji Ismail.

“Astagfirullahaladzim… macamana ni abang Haji?” Hajjah Zainab pula kelam kabut melihatkan akan kondisi Shahriza.

“Nab, nasib baik kamu datang. Kamu jaga si Iza ni kejap. Dia pengsan jer tu. Aku nak tengok Tajul. Entah hidup entah mati dah budak tu,” ujar Haji Ismail sambil berlalu meninggalkan Hajjah Zainab yang sudah memangku kepala Shahriza. Tudung Shahriza dicapai dan disarungkan kembali.

Haji Ismail menghampiri tubuh Tajul yang kelihatan kaku dan berlumuran darah.

“Dah telefon ambulan?” tanya Haji Ismail tanpa ditujukan pada sesiapa.

“Sudah Tuan Haji. Maafkan saya Tuan Haji. Saya tak sengaja. Saya tak nampak. Tiba-tiba saja dia muncul,” tiba-tiba pemandu lori tadi merayu-rayu.

Haji Ismail memandang wajah pemandu lori tersebut.

“Kau Ghani! Tak apa. Dah nak jadi. Engkau bertenang. Kita ramai saksi dan kita tahu apa yang berlaku. Jangan risau. Sekarang ni kita tunggu polis dan ambulan.” Ujar Haji Ismail tenang. Mata kemudiannya dialih ke arah orang ramai yang mula mengerumuni kawasan tersebut.

“Ada sesiapa pergi bagitahu tok ketua?” tanya Haji Ismail.

“Udah pak aji. Sabri dah pergi. Eh.. pak aji! Tu yob tu…” Salleh menjuihkan mulutnya menunjuk ke arah sebuah motosikal yang baru berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Haji Ismail segera menghampiri Shahrizal.

“Yob!” tegur Haji Ismail.

“Pak Mail? Apa jadi ni? Siapa yang kena langgar?” tanya Shahrizal ingin tahu.

“Lantaklah dia orang. Sekarang ni kau ikut aku,” ujar Haji Ismail tegas.

Shahrizal hairan. Namun dia terus menyorong motosikalnya berjalan di sisi Haji Ismail. Berkerut dahinya bila terlihat Hajjah Zainab sedang memangku seseorang diribanya.

“Yob… tengok adik kamu ni. Elok bawak dia balik,” Hajjah Zainab bersuara sebaik sahaja dia melihat Shahrizal dengan suaminya menghampirinya.

“Ya Allah! Iza! Kenapa ni Mak Nab? Pak Mail?” tubuh Shahriza diterpa dan dipangkunya.

“Kau bawaklah dia balik dulu. Nanti aku datang ke rumah, aku ceritakan semuanya. Biar aku uruskan hal sini dulu.” ujar Haji Ismail.

Tanpa berlengah lagi, Shahrizal segera mencempung tubuh adiknya. Kemudian dia memandang ke arah motosikalnya. Haji Ismail faham dengan renungan Shahrizal itu.

“Salleh!” Haji Ismail melaung memanggil pembantunya. Terkedek-kedek Salleh menghampiri Haji Ismail. “Tolong ikut yob balik. Kau bawak motor dia. Oh ya…” Haji Ismail menunduk dan mengambil tin susu yang dijumpainya tadi dan diletakkannya ke dalam bakul motosikal Shahrizal.

Terlihat saja akan tin susu itu, hati Shahrizal bagai tersentap. ‘Ya Allah… macamana aku boleh lupa?’ getusnya dalam hati. Dia rasa sangat bersalah.

“Dah… cepat balik. Pulihkan balik semangat adik kamu tu. Nab, kamu ikut yob balik. Nanti aku datang,” sempat pula Haji Ismail mengarah isterinya untuk menemani Shahrizal. Hajjah Zainab akur. Dia berjalan di sisi Shahrizal sambil mata sekejap-kejap memerhatikan Shahriza yang masih pengsan didukungan Shahrizal.

“Zana! Zana!” laung Shahrizal sebaik sahaja memasuki kawasan halaman rumah mereka.

Sharizana menjengukkan kepalanya melalui jendela dari atas rumah.

“Ya yob? Ya Allah akak!!!” jeritnya sebaik sahaja melihat keadaan Shahriza. Pantas dia mendukung Adi Shafeer yang sedang tidur dan dibawa berlari ke bawah rumah. Adi Shafeer dibaringkan di atas katil di bilik ibu dan ayahnya. Kemudian dengan pantas Shahrizana segera buka pintu.

“Kenapa ni yob? Apa dah jadi?” tanya Shahrizana risau.

“Cepat bentangkan tilam. Yob nak baringkan akak sini,” arah Shahrizal tanpa menjawab soalan adiknya.

Sebaik sahaja tilam dibentang, Shahriza diletak perlahan. Pada masa yang sama kedengaran bunyi siren ambulans dan kereta polis dari arah jalan besar. Berkerut dahi Shahrizana bila melihatkan abangnya, Hajjah Zainab dan Salleh seperti tidak mempedulikan bunyi siren tersebut. Tumpuan mereka hanya pada Shahriza.

“Kenapa baju akak koyak?” soal Shahrizana tanpa ditujukan pada sesiapa.

“Kita tunggu Pak Mail datang. Nanti biar dia yang cerita. Zana sabar ya?” balas Hajjah Zainab. Belakang Shahrizana digosok lembut.

“Berapa lama dah akak pengsan ni yob?” Shahrizana bertanya pada Shahrizal yang muncul dengan air di dalam mangkuk. Shahrizal membasuhkan wajah Shahriza. Kekesalan yang mengetuk-ngetuk pintu hatinya membuatkan dia tidak berkata-kata langsung. Hanya airmata kelihatan mula bertakung di tubir matanya.

“Yob! Zana tanya ni? Kenapa dengan akak?” desak Shahrizana lagi. Shahrizal masih diam.

“Assalamualaikum?” terdengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” Shahrizal menyahut salam dan segera menyambut kehadiran tetamunya itu. Kelihatan Haji Ismail dan dua orang kampung lagi berdiri di luar.

“Sila masuk Pak Mail. Sila masuk semua,” pelawa Shahrizal.

Kelihatan sebuah kereta memasuki kawasan perkarangan rumah mereka.

“Hah! Ayah dengan ibu dah balik tu,” ujar Shahrizal. Dia cemas. Risau.

Sebaik sahaja kereta berhenti, Haji Shahri dan Hajjah Raja Zarina segera keluar dengan wajah penuh tanda tanya.

“Kenapa ni? Kenapa ramai-ramai malam-malam ni?” tanya Haji Shahri sambil tangan menyalami setiap tetamu yang ada.

“Mari duduk dulu cikgu,” sambut Haji Ismail sambil memeluk bahu Haji Shahri.

Tercengang-cengang kedua suami isteri ini. Namun tanpa banyak soal, mereka masuk ke rumah bersama-sama yang lain. Hajjah Raja Zarina yang terperanjat melihat akan anaknya yang terbaring dan ditemani Shahrizana dan Hajjah Zainab, segera menerpa.

“Iza? Kenapa ni? Apa yang dah terjadi?” tanya Hajjah Raja Zarina yang sudah mula sebak. Matanya mula melingas memandang ke arah tetamu-tetamu yang ada di ruang tamu rumahnya. Wajah anak lelaki tunggalnya juga dipandang tajam.

“Iza? Iza? Kenapa ni? Bangun sayang,” Hajjah Raja Zarina meraup wajah Shahriza perlahan.

“Bagi dekat aku air kosong segelas,” pinta Haji Ismail tiba-tiba.

Shahrizana segera ke dapur. Dia kembali dengan segelas air dan diserahkan pada Haji Ismail. Haji Ismail mengangkat gelas yang berisi air itu dan mulutnya kelihatan berkumat-kamit. Dia membaca sesuatu lalu ditiupkan ke dalam air tadi. Kemudian dia serahkan gelas air itu pada Shahrizal.

“Sapu air ni dekat muka Iza. Lepas tu masukkan sedikit ke dalam mulutnya. Jangan lupa baca selawat,” arah Haji Ismail.

Segera Shahrizal melakukan apa yang disuruh. Setelah itu dia bersama yang lain diam memerhati dan menanti. Tidak lama kemudian, Shahriza tersedak dan terbatuk-batuk.

“Iza!” seru Hajjah Raja Zarina.

“Di mana ni?” tanya Shahriza lemah. Tiba-tiba dia menjerit. “Jangan! Jangan! Jangan!”

Hajjah Raja Zarina pantas menarik tubuh Shahriza dan dipeluknya erat. “Shhh… sayang. Iza dekat rumah ni. Ni ibu sayang. Bukak mata tu,” pujuk Hajjah Raja Zarina lembut.

Shahriza membuka matanya perlahan. Bila dilihat akan ibunya berada di depannya, dia segera memeluk ibunya. Shahriza menangis di dalam dakapan Hajjah Raja Zarina. Shahrizana juga ikut menangis walaupun dia tak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku. Haji Shahri menepuk bahu isteri dan anaknya sebelum dia menumpukan perhatian pada tetamu-tetamunya.

“Apa semua ni yob? Apa sebenar yang dah terjadi?” soal Haji Shahri pada Shahrizal. Shahrizal hanya menundukkan kepalanya. Dia sendiri tak tahu apa yang berlaku. Tapi apa yang dia tahu, semua ini disebabkan kecuaian dia.

“Yob tak tahu apa yang berlaku. Elok cikgu duduk dulu. Saya akan ceritakan semuanya,” pinta Haji Ismail.

Haji Shahri segera duduk di sebelah Haji Ismail. Matanya memandang tepat ke wajah Haji Ismail. Haji Ismail menepuk peha Haji Shahri.

“Begini cikgu. Tadi Iza datang kedai aku. Dia beli susu untuk anaknya. Lepas dia balik, aku pun tutup kedai. Masa tu kak Nab korang ni datang dekat aku. Dia cakap dia tak sedap hati sebab tadi dia tengok Tajul dengan kawan-kawannya cakap psai si Iza ni. Lepas tu mereka tergesa-gesa tinggalkan kedai dan terus menuju ke jalan belakang. Aku cakap ler dekat si Nab ni, tadi Iza datang, tapi dah balik ikut jalan belakang. Tu yang kak Nab korang ni desak aku untuk turut dari belakang. Dia takut Tajul dengan kawan-kawannya apa-apakan Iza. Aku dengan Salleh pun ikut ler. Sampai tengah jalan aku jumpa tin susu yang Iza beli tadi tergolek atas jalan. Aku ambik. Aku dah mula risau. Aku terus jalan dan nampak budak-budak tu tengah pegang si Iza yang dah terbaring atas tanah. Aku nampak Iza lempang si Tajul. Dan bila Tajul nak balas balik, aku tempik. Budak-budak tu terkejut habis bertempiaran lari. Si Tajul lari terus ke atas jalan besar. Masa tu lori Ghani lalu dekat situ. Apa lagi, melanting badan Tajul kena langgar dek lori Ghani. Iza lihat semua tu. Dia menjerit lepas tu langsung pengsan.” panjang lebar cerita Haji Ismail. Semua yang dengar tidak berkutik sedikit pun. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengar.

“Apa jadi dengan Tajul?” tanya Haji Shahri.

“Dah arwah dah!” balas Haji Ismail selamba.

“Innalillahiwainnailaihirojiun….”

Suasana sepi seketika.

“Tak apa lah cikgu. Nampaknya Iza pun dah sedar. Hari pun dah tengah malam. Biar aku balik dulu. Esok, aku kena ke balai buat lapuran. Insyaallah, lepas tu aku datang tengok macamana si Iza ni. Risau kalau dia trauma. Harap-harap dia kuat. Dah semua, jom balik. Nab? Kamu nak duduk sini ker?” tanpa menunggu jawapan Haji Ismail terus meninggalkan rumah Haji Shahri diikuti mereka yang lain.

“Rina, akak balik dulu. Insyaallah, esok akak datang sini. Lepas ziarah jenazah Tajul. Tengok-tengok si Iza ni. Takut malam dia meracau,” pesan Hajjah Zainab sebelum turut mengikut jejak suaminya.

“Apa semua ni yob… Zana..? Kenapa Iza keluar ke kedai malam-malam ni?” tanya Haji Shahri sebaik sahaja pintu rumahnya ditutup.

“Susu Shafeer dah habis ayah. Tadi Shafeer meragam. Tu yang akak ke kedai jugak tu,” jawab Shahrizana takut-takut.

“Bukan ker tadi ibu dah pesan dekat yob minta belikan susu? Yob tak beli ker?” Hajjah Raja Zarina pula bertanya.

“Maafkan yob ayah… ibu… Yob terlupa. Sungguh yob terlupa. Maafkan yob Iza?” Shahrizal gagal menahan sebak yang sedari tadi cuba ditahannya. Akhirnya dia tunduk… menangis. Dia rasa kesal sangat dengan apa yang berlaku. Kalau tak ada Haji Ismail tadi entah apa yang jadi pada adik kesayangannya. Dan kalau Iza tak keluar, tentu Tajul masih hidup! ‘Astagfirullahaladzim… apa aku melalut ni?’ Shahrizal meraup wajahnya. Dia beristighfar berkali-kali, menyesal atas apa yang terlintas difikirannya tadi. ‘Ini takdir! Ini takdir,’ gumamnya sendirian.

Haji Shahri meraup rambutnya ke belakang. Dia benar-benar rungsing. Tak pasai-pasai satu nyawa melayang. Tanpa memperdulikan Shahrizal, Haji Shahri bergerak menuju ke biliknya.

“Udahlah… pergi tidur semua. Esok kita fikirkan. Walaupun ayah kesal apa yang berlaku pada Tajul, namun ayah bersyukur sangat Iza selamat. Yob.. Zana, bawak Iza ke bilik dia. Lepas tu korang pergi tidur,” lemah suara Haji Shahri memberi arahan.

“Abang, biar Iza tidur bawah ni. Boleh saya tengok-tengokkan dia. Takut meracau,” pinta Hajjah Raja Zarina pada suaminya. Haji Shahri memandang ke arah Shahriza yang kelihatan sudah lena.

“Ya lah. Aku tidur dengan cucu aku dalam bilik tu. Apa-apa hal kejutkan aku,” pesan Haji Shahri pada isterinya.

“Zana teman ibu. Biar Zana tidur dengan ibu kat sini.” Shahrizana segera berlari ke biliknya dan muncul kembali dengan toto dan bantal di tangan.

“Yob! Yob naik nanti tolong padam lampu bilik akak ya?” ujar Shahrizana pada Shahrizal yang masih termenung di kerusi.

Hajjah Raja Zarina segera ke bilik air untuk membersihkan dirinya. Setelah itu dia membentang tilam di sebelah Shahriza. Sebaik sahaja dia membaringkan dirinya di sebelah kedua-dua anaknya itu, kelihatan Shahrizal bangun dan terus meniti tangga naik ke atas.

Tidak lama kemudian Shahrizal muncul semula dengan bantal dan selimut di tangan. Lampu di ruang tamu dipadam. Dia melabuhkan punggungnya di sofa. Memandang sekilas ke arah ibu dan adik-adiknya, dia pun baring.

“Maafkan yob, Iza! Maafkan yob!” rintihnya perlahan.




Monday 20 January 2014

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 8}



Malam hari yang sama…
Di Tingkat 15, 
Pangsapuri Seri Lembayong Shah Alam

“Wey kawan! Apahal menung ni? Tak pernah-pernah aku tengok kau menung macam ni?”

Sebuah senyuman manis diberikan pada teman rumahnya. Aidi Haiqal sedar apa yang dimaksudkan oleh temannya itu.

“Aku tanya ni, yang kau tersenyum-senyum ni apahal? Dari tadi aku duk panggil, kau buat tak tahu je. Kau ni dah kena penyakit angaunisme ker?”

“Kau ni merepek apa Zarul? Penyakit apa yang kau sebut tu?” Aidi Haiqal pura-pura bertanya.

“Kau angau ya Qal?” Najmie Akhtar pula mencelah. Zarul Azzam mengeleng kepalanya.

“Muka aku macam orang tengah angau ker?”

“Ni apahal soalan berbalas soalan ni? Bila aku nak dapat jawapan ni?” naik geram Zarul Azzam dengan sikap temannya itu. Sudahnya ketiga-tiga mereka ketawa.

Ketiga-tiga mereka merupakan teman karib yang juga teman serumah. Keakraban mereka memang tidak dapat dipertikaikan. Lebih rapat dari adik beradik sendiri. Ketiga-tiga mereka kenal secara tidak sengaja ketika masing-masing masih menuntut di universiti. Zarul Azzam dan Najmie Akhtar memang teman baik sejak dari kecil. Aidi Haiqal pula hanya ditemui ketika mereka membantunya dalam kesusahan. Pada tika itu Aidi Haiqal sedang dibelasah oleh beberapa orang pemuda. Semenjak itu mereka sentiasa bersama hinggakan Aidi Haiqal menjemput kedua-dua teman karib itu untuk tinggal bersamanya di apartment miliknya.

“Kau nampak aku macam orang sedang angau ker?” Aidi Haiqal bertanyakan pada teman-temannya.

“Ya lah! Tak pernah-pernah aku tengok kau termenung. Senyum-senyum pulak tu. Selalunya kalau ada mana-mana awek yang kau berkenan, kau selamba jer. Tak pulak sampai termenung macam ni,” balas Najmie Akhtar dan dipersetujui Zarul Azzam.

“Okey! Memandangkan korang berdua ni teman rapat aku dunia akhirat, maka aku akan bercerita. Tapi janji tolong jangan gelakkan aku,” Aidi Haiqal merenung kedua-dua temannya itu dengan renungan penuh pengharapan.

“Baiklah. Kami janji.” Zarul Azzam dan Najmie Akhtar mengangkat tangan kanan mereka ibarat bagai sedang bersumpah.

Aidi Haiqal menarik nafas dalam-dalam. Seketika kemudian dihembuskan perlahan. Satu-satu wajah temannya dipandang.

“Begini…” bicara dimulakan. Majalah di tangan diletakkan di atas meja. “… tadi aku accident….”

Zarul Azzam bagaikan ingin membuka mulut untuk komen namun terhenti bila Aidi Haiqal memberi isyarat agar dia dibenarkan untuk terus bercerita. “Dengar dulu baru komen…okey?” katanya.

“Tadi aku langgar kereta seseorang. Dekat traffic light. Kalau ikutkan aku memang dah bengang giler sebab pemandu tu berhenti mengejut walhal lampu kuning. Belum sempat aku nak terjah dia, tiba-tiba muncul satu abang polis trafik. Abang polis tu suruh aku dengan pemandu tu ke tepi sebab lampu dah hijau dan tak mahu ganggu lalu lintas.” Aidi Haiqal berhenti seketika. Di matanya terbayang-bayang akan insiden yang berlaku petang tadi.

“Bila kami dah berhenti di tempat yang lebih sesuai, aku tengok abang polis tu minta pemandu kereta tu keluar. Bila pemandu tu keluar, aku lihat dianya seorang perempuan. Masa mata aku terpandang wajahnya, Mashaallah…. Aku rasa macam aku sedang bermimpi. Bermimpi dipertemukan dengan bidadari….”

Tiba-tiba ketawa meletus. Aidi Haiqal yang sedang asyik bercerita merenung tajam ke arah kedua-dua temannya.

“Kenapa korang gelak?” tanyanya geram.

“Sorry.. sorry… kami gelak sebab kami rasa macam kau ni exaggerate saja. Kat Malaysia ni perempuan cantik memang ramai. Tapi, macam bidadari? Kau biar betul!” tungkah Najmie Akhtar dalam sisa tawanya. Zarul Azzam yang masih ketawa tiba-tiba terdiam bila Aidi Haiqal memandang tajam padanya.

“Tadikan dah janji? Kalau macam ni malaslah aku nak cerita!” merajuk pula dia. Anak teruna siapalah ini!

“Okey! Okey! Kami minta maaf. Bukan sengaja nak gelak. Hanya rasa macam tak masuk akal,” balas Najmie Akhtar perlahan.

“Kira… korang tak percaya ler ni?”

Najmie Akhtar dan Zarul Azzam saling berpandangan. Mereka mengangkat bahu sebelum perhatian dialih kembali pada Aidi Haiqal yang sedang memandang mereka seperti nak ditelannya.

“Baiklah… kalau korang tak percaya. Tunggu sekejap!” Aidi Haiqal bangun dan terus menghilang ke dalam biliknya. Tidak lama lepas itu dia kembali dengan laptop di tangan.

“Korang kata aku angau kan? Hah! Sekarang aku akan tunjuk korang apa yang buatkan aku angau.” Pantas jari jemarinya menekan-nekan papan kekunci di laptop tersebut. Seketika kemudian, dengan senyuman di bibir, dia mengalihkan laptop tersebut dengan membiarkan skrin monitor mengadap kepada kedua temannya itu.

Terbeliak mata kedua-dua temannya pabila mereka melihat akan wajah yang terpamer di skrin. Jelingan Shahriza bagaikan sudah terpanah ke hati mereka.

“Dah! Jangan tengok lama-lama!” pantas laptop ditutup dan terus dipeluknya.

“Woooo… Qal! Mana kau jumpa tu?” tanya Najmie Akhtar bagaikan tidak percaya.

“Kan aku cakap tadi. Aku terlanggar dia. Lepas tu….” Aidi Haiqal terus menceritakan apa yang berlaku padanya petang tadi. Kali ini ceritanya benar-benar mendapat tumpuan sepenuhnya dari kedua-dua temannya itu.

“Betullah kata kau. Dia memang bidadari…,” akhirnya Zarul Azzam bersuara selepas Aidi Haiqal habis bercerita. “… bukan hanya cantik rupa paras, namun sikap dia tu,” sambungnya lagi.

“So… bila kau nak jumpa dia lagi?” soal Najmie Akhtar.

Aidi Haiqal hanya mendiamkan diri. Ada bahagian cerita yang tak disampaikan.

“Kau tanya tak nama dia?” Zarul Azzam pula bertanya.

Aidi Haiqal makin terkebil-kebil. Dia tahu pasti dia akan kena kutuk andai teman-temannya tahu yang dia hanya tahu nama. Dan dia tiada nombor phone.

“Nama dia Shahriza..” jawab Aidi Haiqal perlahan.

“Shahriza? Sedap nama tu,” serentak dari Najmie Akhtar dan Zarul Azzam. Kedua mereka berpandangan sebelum terletus tawa antara mereka.

“Sebuk le kau!” Najmie Akhtar menolak bahu Zarul Azzam. Mereka terus ketawa.

“Eh Qal! Bila kau nak jumpa dia lagi? Boleh aku join sekali?” tanya Najmie Akhtar tanpa berselindung.

Terbeliak mata Aidi Haiqal dengar soalan temannya itu. ‘Tak boleh jadi ni. Silap-silap aku yang terlepas. Nyesal pulak tunjuk gambar tadi…’ getusnya dalam hati.

“Kenapa kau diam? Kau jangan risau ler. Takkan aku nak tikam belakang kau. Aku saja nak tengok dengan mata kepala aku sendiri. Itu ajer,” Najmie Akhtar perasan perubahan wajah Aidi Haiqal tadi.

Sebuah keluhan dilepaskan. “Entah lah! Aku pun tak tahu. Kalau berpeluang aku bertemu lagi dengan dia, maka akan bertemulah aku dengan dia,” begitu pasrah Aidi Haiqal dengan kesilapannya.

“Apa maksud kau? Kau kan dah tahu nama dia? O..oo… don’t tell me kau tak mintak nombor phone dia?” duga Najmie Akhtar.

Perlahan Aidi Haiqal menganggukkan kepalanya. Nampak kekesalan di wajahnya.

“Adoi! Selalu kau ni pantas saja bertindak. Kenapa kali ni pulak kau tak bertindak?” Zarul Azzam menepuk dahinya.

“Aku pun tak tahu. Mungkin sebab aku terpegun dengan wajah dia… renungan mata dia. Bila aku tanya nama dia, dan bila dia beritahu aku nama dia, aku rasa macam aku dah dapat segalanya. Dalam perjalanan baru sedar aku tak minta contact number dia. Tapi aku ada bagi business card aku dekat dia.”

“Kau agak-agakkan, dia akan call kau tak?” tanya Najmie Akhtar. Sinis sekali bunyi soalannya.

Aidi Haiqal memandang wajah teman-temannya satu persatu. Bagaikan baru membuat satu kesalahan. Dia mengeluh lagi.

“Okeylah! Aku nak masuk tidur. Kalau ada jodoh aku dengan dia, Insyaallah aku akan bertemu lagi dengan dia. Dan buat masa ini, aku nak bermimpi kan dia. Bidadari ku!” tutur Aidi Haiqal sambil bangun meninggalkan teman-temannya yang masih terkebil-kebil.

Zarul Azzam melihat jam di dinding. “Baru pukul sepuluh! Awalnya si Qal tu masuk tidur?” omelnya sendiri.

“Hey Qal! Bagi ler aku tengok gambar tu sekali lagi!!!” laung Najmie Akhtar sebaik sahaja Aidi Haiqal menutup pintu biliknya. Tiada response!

Zarul Azzam pandang wajah Najmie Akhtar seketika sebelum remote control tv dicapai. Bila tv dipasang, kedua-dua mereka menumpukan perhatian pada cerita yang terpapar di kaca tv… tanpa suara.



Monday 13 January 2014

~ Bidadari Kah Aku? {Bab 7}




Hari yang sama…

Shahriza mematikan enjin keretanya. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, kelihatan motosikal yang ditunggangi Shahrizal memasuki kawasan perkarangan rumah mereka. Shahrizal berhenti betul-betul di belakang kereta Shahriza.

“Kenapa ni Iza? Accident ker?” tanyanya terus.

Shahriza memandang ke arah bonet keretanya. Keluhan nipis dilepaskan. “Yob dari mana ni?” tanya Shahriza pula tanpa menjawab soalan abangnya itu.

“Yob dari sekolah. Ada kokurikulum. Ni kenapa?” soalnya lagi sambil menunjuk ke arah kereta Shahriza.

“Kena hentam dekat traffic light. Mungkin sebab Iza berhenti mengejut tadi,” balas Shahriza lemah.

“Teruk kereta Iza ni. Iza okey?” tanya Shahrizal lagi.

“Alhamdullillah. Yob jangan risau okey? Iza tak apa-apa,” balas Shahriza. Tangan menyelongkar beg tangannya dan seketika kemudian dia mengeluarkan sesuatu dan terus diletakkan di dalam tangan Shahrizal.

“Apa ni?” berkerut dahi Shahrizal melihatkan lipatan berberapa helai wang kertas RM50 dalam tangannya.

“Orang yang langgar Iza tu kasi. Dia kata kalau tak cukup, call dia. Ada dia sertakan nombor phone dia sekali. Okeylah yob… Iza masuk dulu. Kang terlepas asar.”

“Lima ratus ni! Hmm… banyak juga dia bagi ni Iza.”

Shahriza yang sudah melangkah masuk ke rumah, tiba-tiba berpaling mengadap abangnya.

“Lima ratus? Iza pun tak pasti sebab Iza tak check langsung tadi,” Shahriza mengangkat kedua-dua bahunya.

“Kalau macam ni, nanti yob hantar kereta Iza ke bengkel.”

Shahriza hanya menganggukkan kepalanya dan terus menghilang ke dalam rumah. Shahrizal pula membelek business card yang ada di dalam tangannya.

“Hmm… Aidi Haiqal bin Hamidi. Jurutera Kanan. Boleh tahan,” Shahrizal berbicara sendiri. Tersungging senyuman di bibirnya.

“Assalamualaikum,” suara orang memberi salam mengejutkan Shahrizal.

“Waalaikumussalam. Eh! Norzie. Tak balik lagi?” Shahrizal menyahut salam Norzie, yang merupakan teman karib Shahriza.

“Esok pagi yob. Ni pun baru balik dari KLIA. Nak kemas rumah dulu baru boleh balik,” balas Norzie ceria.

“Mak dengan ayah dah berlepas?”

“Sudah yob. Insyaallah dua minggu mereka di sana. Oh ya! Iza ada yob?”

“Ada kat dalam. Pergilah masuk,” balas Shahrizal sambil menyorong motosikalnya ke tepi rumah.

Norzie berdiri di muka pintu dengan memberi salam. Namun salamnya tidak disahut. Dia segera menanggalkan seliparnya dan melangkah ke dalam rumah.

“Assalamualaikum tuan rumah! Saya masuk ke dalam dah ni…” laungnya tanpa segan.

“Waalaikumussalam. Ya Allah Norzie! Makcik ingat siapa tadi. Kamu tak balik lagi ke?”

“Insyaallah esok makcik. Ni pun baru balik dari KLIA. Ingat nak kemas rumah dulu sebelum balik,” balas Norzie sambil salam dan mencium tangan Hajjah Raja Zarina. “Iza mana makcik?”

“Ada dalam bilik. Solat rasanya. Norzie duduk dulu ya. Makcik ke dapur kejap.”

“Tak apa makcik. Zie ikut makcik ke dapur,” ujar Norzie yang sememangnya sudah biasa di rumah itu. Maklumlah, dahulu dia kerap menghabiskan masanya di rumah ini. Norzie dan Shahriza merupakan teman karib yang begitu rapat. Sentiasa berdua walau ke mana. Hanya setelah Shahriza berkahwin, barulah hubungan mereka renggang sedikit.

“Hello sayang!” Shahriza yang tiba-tiba muncul terus memeluk Norzie dari belakang. Tindakan dia mengejutkan Norzie dan secara spontan temannya itu melatah.

“Adoi Iza! Tak boleh bagi salam ke?” tungkah Norzie sebaik getar jantungnya reda.

“Saja aku nak sergah kau. Aku rindu sangat dengan kau, Zie,” tubuh temannya itu lantas dipeluk dan pipinya dicium berkali-kali.

“Hish.. kau ni Iza. Kalau ya pun rindu layanan laki kau, jangan aku pulak kau kerja kan!”

Terpaku Shahriza dengar tutur Norzie. Terjegil matanya memandang wajah temannya itu. Tak sangka itu tindak balas dari teman karibnya. Norzie yang perasan akan perubahan segera memeluk tubuh Shahriza.

“Iza! Iza! Aku tak sengaja. Aku tak maksudkan begitu. Aku actually nak usik kau saja. Maafkan aku. Maafkan aku. Aku sungguh-sungguh tak berniat nak menyinggung hati kau. Aku terlupa apa yang sedang kau lalui. Maafkan aku Iza. Aku memang nak gurau saja tadi,” bagai bertih mulut Norzie menuturkan maaf di atas ketelanjurannya tadi. Matanya sendiri sudah mula ditakungi air.

Hajjah Raja Zarina hanya memerhati dari dapur. Shahrizal yang baru melangkah masuk, terkaku di pintu. Shahriza yang masih mendiamkan diri, perlahan-lahan menghela nafas panjang. Seketika kemudian dia merenung ke wajah Norzie. Kelihatan airmata meleleh lesu di pipi gadis tersebut. Dengan senyuman segaris di bibir, Shahriza menyeka airmata yang mengalir di wajah teman baiknya itu.

“Zie, aku tahu kau tak sengaja dan aku tak marah pun. Dah.. dah… usah nangis. Aku tak kesah pun. Hanya terperanjat sikit saja,” ujar Shahriza memujuk Norzie.

“Kau betul tak terasa hati dengan aku?” tanya Norzie dalam sedu sedannya.

“Aku okey sayang. Aku rindu sangat dengan kau. Mari peluk aku,” pinta Shahriza yang telah sedia mendepangkan tangannya. Tanpa berfikir panjang, Norzie segera memeluk tubuh temannya itu. Kedua-dua mereka menangis. Menangis gembira sekali dengan menangis melepaskan rindu.

“Iza… Zie… dah tu. Mari minum,” Hajjah Raja Zarina hampiri mereka dengan dulang berisi minuman di tangan. Segera Shahriza menyambut dulang tersebut dan diletaknya di atas meja.

“Iza… kau apa khabar? Aku tengok kau makin langsing dan bertambah cantik. Jeles aku!”

“Aku Alhamdullillah. Aku tengok kau pula makin sihat. Senang hati ya?” balas Shahriza.

“Senang hati sebab aku selesa dengan kehidupan aku sekarang. Aku gembira di tempat kerja. Aku gembira dengan keluarga aku. Aku gembira dapat bertemu kau semula,” terpancar sinar keceriaan di wajah Norzie.

“Kau masih sendiri? Hati kau belum dimasuki sesiapa ker?” tanya Shahriza lagi.

“Yang itu aku tak sedia lagi. Tanggungjawab aku pada adik-adik aku banyak lagi. Aku tak mahu ada yang mengganggu. Lagipun, bila aku dengar apa yang berlaku pada kau, aku takut. Takut tak mampu untuk menghadapinya.”

“Ishhh… kau tak boleh cakap macam tu. Kau tak boleh samakan kebahagiaan dan kedukaan kau hanya dengan melihat apa yang berlaku pada aku. Cuba kau lihat. Ada juga yang bahagia hingga akhir nyawa. Tengok aje mak ayah kita. Itu yang patut dijadikan panduan. Tentang aku, ini sudah ketentuan Allah. Qada dan qadar yang tertulis dan aku terima dengan redha.”

“Aku kagum dengan kau Iza. Dari dulu hingga sekarang kau sentiasa sabar. Mungkin disebabkan itu kau diuji sebegini.” Sayu pandangan mata Norzie pada Shahriza.

Suasana sepi seketika.

“Eh Iza! Apa perancangan kau selepas ini? Kau nak kerja tak?”

“Memang plan nak cari kerja pun sekarang ni.”

“Tempat aku nak pakai orang. Dan aku tahu kau pandai melukis. Apa kata kau kerja dekat tempat aku?”

“Betul ni Zie?”

“Betul lah. Apa yang tak betulnya? Kalau tak betul takkan aku cakap pada kau. Now, aku nak kau punya resume. Esok aku balik aku bagi pada manager aku. Nanti apa-apa hal aku call kau balik.”

“Okey… sekejap aku ambil resume sat,” segera Shahriza ke biliknya. Tidak lama kemudian dia muncul dengan satu sampul surat di tangan. Dia serahkan sampul surat itu pada Norzie.

“Great! Apa-apa nanti aku bagitahu kau,” gembira sungguh Norzie bila dia cuba bayangkan andai teman karibnya ini bertugas di tempat yang sama dengannya.

“Tapi kan Zie. Aku ada apply untuk sambung belajar. Nanti macamana kalau aku diterima untuk sambung belajar dan masa tu aku baru kerja?”

“Itu kita fikir bila tiba masanya. Buat masa ni kita jangan fikir dulu. Yang penting kau kena dapatkan kerja ni dulu. Nanti kau duduk dengan aku. Aku pun duduk sorang je sekarang ni.”

“Assalamualaikum… wey kak Zie bila sampai?” Shahrizana tiba-tiba muncul di pintu. Terus dia melabuhkan punggungnya di sebelah Norzie. Tangan dihulur untuk bersalam.

“Waalaikumussalam. Adalah setengah jam tadi? Zana dari mana ni, cantik bukan main?” tanya Norzie.

“Zana baru balik interview. Penatlah takde transport sendiri,” Shahrizana melepaskan keluhan. Tudung di kepala ditanggal dan disangkut di kerusi.

“Akak, nak air,” pintanya dengan wajah keletihan.

“So.. macamana dengan interview tadi? Any luck?” soal Shahriza sambil menghulurkan secawan teh pada adiknya.

“Entah lah! Dah banyak tempat Zana pergi dalam sebulan ni. Semua kena tunggu,” Shahrizana menghirup teh panas itu dengan kelegaan.

“Apa kata kalau kak Zie tolong sama? I mean, nanti kak Zie tolong tanya dekat kawan-kawan, kalau-kalau tempat diorang ada kosong.”

“Betul kak Zie? Alhamdullillah lah kalau macam tu. Zana sendiri dah penat.”

“Insyaallah. Kak Zie tolong carikan. Kalau dapat area dekat-dekat, boleh ler Zana duduk rumah kak Zie. Rumah kak Zie dekat Shah Alam. Nanti kalau Iza dapat kerja tempat kak Zie, boleh kita bertiga duduk sekali,” terbeliak mata Shahrizana mendengarkan cadangan Norzie.

“Betul ni kak Zie?”

“Betullah. Apa pulak tak betul nya? Kalau tak betul takkan kak Zie suggest kan?”

“Dekat rumah tu kak Zie tinggal dengan siapa?”

“Dah dua bulan duduk sorang. Teman serumah dan kahwin.”

“Kak Zie tak kesah Zana duduk dengan kak Zie?” tanya Shahrizana untuk kepastian.

“Kak Zie lagi happy kalau dapat duduk dengan kalian. Bilik ada tiga. Kita sorang satu.”

“Zie kerja dengan company apa? Nak bawak Iza kerja sana sebagai apa?” Shahrizal yang sedari tadi hanya mendengar, tiba-tiba menyampuk.

“Zie kerja dengan syarikat pengeluar barang mainan kanak-kanak. Tapi bukan toys. Ianya lebih untuk taman permainan. Zie bahagian R & D. Zie ingat nak rekomen Iza kerja bahagian Art & Design. Iza kan hebat pasal lukis melukis ni? Zie yakin Iza sesuai sangat untuk jawatan itu,” jelas Norzie dengan panjang lebarnya.

“Nanti bila rasa nak jalan-jalan, Iza dengan Zana datang ler Shah Alam. Nanti Zie bagi alamat. Lepas tu boleh kita ronda-ronda. Lama tak keluar dengan Iza,” tutur Norzie ceria.

“Kalau macam tu Norzie, makcik rasa lega sangat. Terima kasih banyak-banyak sebab kedatangan Norzie ni dan sudi pula nak tolong anak-anak makcik,” sahut Hajjah Raja Zarina yang muncul dengan pinggan berisi pisang goreng.

“Perkara kecil jer makcik. Lagipun Zie sayang Iza ni,” Norzie mengenyit matanya pada Shahriza.


Monday 6 January 2014

~ What To Do?



Suatu ketika dulu, seringkali terbaca luahan hati dan rungutan dari blogger-blogger tentang response dari pembaca / pengunjung blog-blog mereka.  Response yang langsung tiada!  Semua yang menjengah sekadar mejadi silent reader.

Bila kita baca rungutan dan luahan sebegitu, kita secara spontan akan beri komen "Ala poyo jer!  Itu pun nak paksa-paksa orang komen.  Suka orang ler nak baca ker nak komen ker!"

Sekarang bila kita sendiri dah jadi blogger, kita mula sedar kenapa blogger-blogger terdahulu merungut.  Mana taknya... bila kita letak sesuatu di blog, kita mengharapkan ada yang membaca.  Dan bila ada yang sudi membaca, (thanx for that!) kita mengharapkan mereka tinggalkan komen. Dalam erti kata lain berbual dengan kita... berkomunikasi.  At least kita nak tahu feedback tentang apa yang kita paparkan.  Kita nak ler berkomunikasi two ways.  Tak pun kita berbual demi silaturrahim.

Bagaimana seorang blogger hendak berterima kasih pada pengunjung blognya bila mana dia tak tahu siapa yang pernah singgah?  Dekat overview pun hanya menunjukkan jumlah pengunjung dan tidak menyatakan siapa yang datang berkunjung.

Kalau begini berterusan, rasanya mood untuk menjadi blogger aktif pasti akan bertukar.  Dari anxious untuk buka post baru telah bertukar jadi malas.

So... nampaknya kena pantau se minggu dua dulu.  Kalau keadaan masih sama, maka blog ni terpaksa di PRIVATE kan untuk jadi blog syok sendiri!

Wallahualam...




~ waiting to read and reply comments... if any! ~