Purple Flowers

Tuesday, 27 December 2011

Ulasan ringkas ~ CINTA ATAU JODOH


Sinopsis Belakang Novel:-

Tengku Iman Umairah gadis yang jarang sekali menggunakan ‘Tengku’ di pangkal namanya berkahwin atas dasar kehendak datuk angkatnya yang juga datuk Aiman Danish suami kontraknya. Berkahwin menjadi tiket kepada Iman untuk menyambung pelajarannya di luar negara. Dibenci oleh ibu bapa mentua dan suaminya sendiri atas alasan perempuan kampung dan tidak berharta. Tetapi kebencian itu mulai surut selepas kematian datuk dan abang iparnya yang terlibat dalam kemalangan yang turut mencederakan Dato’ Arif bapa mentuanya.

Empat tahun hidup seperti gadis bujang tidak sedikit pun membuatkan Iman terfikir akan perpisahan. Walaupun Iman dan Danish lebih banyak membawa diri masing-masing, tetapi jiwa mereka seperti disatukan dari jauh. Rasa rindu, marah, geram, sayang bercampur aduk setiap masa. Apabila Iman disapa mesra lelaki lain, Danish melenting. Iman pula apabila Danish bermesraan dengan Maya, si gedik yang menyesakkan, dia akan berjauh hati. Masing-masing saling menyintai tetapi ego lebih mengatasi.

Terlalu banyak peristiwa yang membuatkan cinta dalam diam mereka kembali menjadi satu. Dato’ Arif, Datin Hajar, Tengku Farid, Arissa menjadi tulang belakang cinta mereka. Saat cinta bukan milik mereka, jodoh mengikat mereka. Kala hati berirama cinta, jodoh seolah bukan lagi milik mereka. Jodoh atau cinta? Yang mana hak mereka?

Sebuah novel yang agak menarik juga jalan ceritanya. Rasa terbuai-buai bila baca tentang segala apa yang berlaku antara hero dan heroin novel ini. Konflik yang diutarakan juga agak menarik dan rasa seperti lain dari novel lain yang pernah dibaca.

Hanya ada sedikit ketidakpuasan hati bila baca novel ini.  Yakni cara penceritaannya seperti melompat-lompat.  Penulis lebih suka mengimbas kembali akan sesuatu kejadian.  Sebagai contoh, bila berlaku sesuatu peristiwa, tiada penceritaan lanjut tentang apa berlaku selepas itu.  Penulis lebih suka terus ke bab baru suasana baru dan kemudian menyentuh semula akan saat selepas peristiwa yang terjadi itu dalam bentuk mengimbas kembali...

Walau macamana pun... memandangkan ceritanya menarik, kekurangan yang dirasai ini dapat dilupakan. Tahniah penulis!


No comments:

Post a Comment